Uniknya syariat Islam meliputi semua
aspek termasuklah tentang pembahagian harta pusaka atau dikenali dengan ilmu
faraid. Pada zaman sebelum kedatangan Islam, wanita tidak mempunyai hak
langsung terhadap harta pusaka si mati bahkan wanita itu sendiri turut dianggap
sebagai harta pusaka yang boleh diwarisi. Ramai wanita yang kehilangan hak
apabila kematian suami atau bapa.
Kemudian setelah kedatangan Islam,
syariat Islam mengajar tentang pembahagian harta pusaka yang sepatutnya dan
bersifat wajar. Contohnya, di satu masa bahagian wanita adalah kurang daripada
bahagian yang diterima oleh lelaki. Ini berlaku dalam kes pembahagian harta
pusaka untuk adik-beradik yang kehilangan bapa atau ibu. Bahagian untuk anak
lelaki dua kali ganda berbanding bahagian anak perempuan.
Biasanya ketika terjadi pembahagian
seperti itu ramai yang beranggapan bahawa Islam ini seolah-olah tidak adil. Ini
kerana pembahagian pusaka tersebut tidak menyamakan bahagian antara lelaki dan
perempuan dan seolah-olah lagi ia telah melebihkan lelaki berbanding perempuan.
Sebenarnya syariat Islam adalah
bersifat adil dalam menentukan pembahagian harta pusaka para ahli waris dan
tidak benar sama sekali jika dikatakan syariat Islam hanya melebihkan kaum
lelaki sahaja. Ini kerana ada situasi-situasi di mana bahagian yang diterima
oleh wanita sama banyak dengan bahagian yang diterima oleh lelaki. Contohnya,
jika seseorang mati dan meninggalkan waris iaitu bapa, ibu dan anak. Berdasarkan surah
al-Nisa’ ayat 11 menunjukkan bahawa ketika itu ibu dan bapa mendapat bahagian
pusaka yang sama jumlahnya.
Bahkan, ada juga situasi-situasi di
mana bahagian yang diterima oleh waris wanita lebih banyak dibandingkan dengan
waris lelaki. Contohnya apabila seseorang mati dan meninggalkan satu-satunya
anak perempuan, maka anak perempuannya itu berhak mendapat setengah dari keseluruhan
harta pusaka ayahnya. Atau seseorang mati dengan meninggalkan dua orang anak
perempuan dan tidak mempunyai saudara lelaki, maka mereka berhak mendapat dua
pertiga bahagian dari harta ayahnya. Atau seseorang mati meninggalkan dua orang
anak perempuan dan seorang bapa, maka bapanya itu hanya mendapat satu perenam
sahaja bahagian, dan bahagian itu kurang daripada yang diterima oleh dua orang
anak perempuan. Ini adalah berdasarkan nas yang sudah termaktub di dalam surah al-Nisa’
ayat 11.
Kesimpulannya, Islam sangat
memberikan perhatian dalam perkara pewarisan harta atau faraid. Islam juga
mempunyai falsafah faraid yang jelas iaitu menjamin keadilan waris-waris.
Sekiranya waris lelaki menerima bahagian yang lebih banyak ia adalah kerana
tanggungjawab lelaki dalam menguruskan harta khususnya dalam rumahtangga lebih
besar. Oleh yang demikian, pewarisan harta menurut Islam mempunyai motif
memberikan hak yang sepatutnya diterima oleh waris berdasarkan hikmah-hikmah yang telah ditunjukkan di dalam al-Quran.