Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Saturday, September 28, 2013

Buku Mazhab Imam Asy-Syafie

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT dengan limpah kurnia, rahmat-Nya saya diberi kemampuan untuk menghasilkan sebuah karya penulisan yang berjudul:

"Mazhab Imam Asy-Syafie". 



Sekilas Tentang Buku Ini:
Apa yang mendorong penulis menghasilkan karya ini kerana rata-rata penduduk di Malaysia bermazhab Syafie, dan kebanyakan mereka ingin mengetahui perihal mazhab ini.

Terbitan: Pustaka Azhar, Larkin Sentral, Johor Bahru.
Harga senaskah: RM22.00.

Isi Kandungan Buku Ini:

BAHAGIAN 1: IMAM AL-SYAFI’I
1. Nasab Imam al-Syafi’i
2. Kelahiran Imam al-Syafi’i
3. Perjalanan Pertama Imam al-Syafi’i
4. Imam al-Syafi’i Hafaz al-Quran
5. Imam al-Syafi’i Mendalami Bahasa Arab
6. Imam al-Syafi’i Hafaz Hadis
7. Imam al-Syafi’i Pakar Fiqh
8. Imam al-Syafi’i Merintis Jalan Ahli Sunnah
9. Keluarga Imam al-Syafi’i
10. Guru-guru Imam al-Syafi’i
11. Murid-murid Imam al-Syafi’i
12. Kronologi Kisah Imam al-Syafi’i
13. Kisah Dialog dan Perdebatan Imam al-Syafi’i
14. Untaian Kata-kata Imam al-Syafi’i
15. Kewafatan Imam al-Syafi’i
16. Karya Imam al-Syafi’i
17. Metodologi Istinbat Imam al-Syafi’i

BAHAGIAN 2: MAZHAB SYAFI’I
1. Pengenalan Mazhab
2. Hukum Bermazhab
3. Hukum Pindah Mazhab
4. Hukum Berlepas Diri Dari Mazhab
5. Sebab-sebab Kelahiran Mazhab
6. Bahaya Fanatik Mazhab
7. Pelbagai Qaul Mazhab Syafi’i
8. Qaul Qadim dan Qaul Jadid Mazhab Syafi’i
9. Imam Syafi’i Terkeluar Daripada Mazhab Syafi’i?
10. Mazhab Syafi’i, Mazhab Fiqh atau Hadis?
11. Kitab-kitab Mazhab Syafi’i
12. Tokoh-tokoh Mazhab Syafi’i
13. Peringkat Mujtahid Mazhab Syafi’i
14. Usul al-Fiqh Mazhab Syafi’i
15. Kaedah Fiqh Mazhab Syafi’i
16. Fatwa Muktamad Mazhab Syafi’i
17. Istilah-istilah Dalam Mazhab Syafi’i
18. Penyebaran Mazhab Syafi’i di Tanah Arab
19. Penyebaran Mazhab Syafi’i di Nusantara
20. Beberapa Contoh Fiqh Mazhab Syafi’i
21. Pengikut Mazhab Syafi’i                                                                           

Sunday, October 28, 2012

Bank Islam Bantu Ummah Atau Cari Untung?




Bank Islam Bantu Ummah Atau Cari Untung?

Alhamdulillah, rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih dihidupkan dan masih diberi kemampuan untuk terus menulis di sini. Semalam ketika membaca majalah ‘Dewan Ekonomi’ Edisi September 2012 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saya tertarik dengan sebuah artikel yang berjudul, “Matlamat Perbankan Islam: Ummah Atau Untung?” Oleh itu, saya berhasrat untuk berkongsi secara ringkas tentang artikel tersebut di sini.

Penulisnya (Muhammad Hafiz) menjelaskan bahawa terdapat 2 pendapat dalam persoalan tersebut:

Pendapat Pertama: Matlamat perbankan Islam adalah untuk ummah.

   Hujahnya, perbankan Islam tidak berasaskan riba’, tidak mempunyai unsur ‘gharar’  dan tidak membiayai aktiviti haram seperti judi, arak dan lain-lain. Kesemua hal tersebut boleh menyebabkan kehancuran ummah. Maka, perbankan Islam dikira membantu ummah.

Pendapat Kedua: Matlamat perbankan Islam adalah untuk keuntungan semata-mata.

   Hujahnya, perbankan Islam hanya bertanggungjawab terhadap pemegang saham. Juga perbankan Islam perlu terus mendapatkan keuntungan bagi melangsungkan hidupnya. Jika keuntungan semakin berkurangan dikhuatiri pemegang saham akan mengeluarkan modal mereka dan melabur ke dalam syarikat lain yang lebih menguntungkan. Ini jelas menunjukkan persaingan di antara sebuah bank Islam dengan bank Islam yang lain dan persaingan di antara sebuah bank Islam  dengan bank Konvensional.

   Setelah penulis (Muhammad Hafiz) menerangkan secara panjang lebar, beliau membuat kesimpulan: “Namun pada hakikatnya, untung menjadi matlamat utama bank Islam, manakala matlamat (maqasid) syariah, Islam, dan patuh-syariah hanyalah alat pemasaran yang baharu dan popular.”

   Daripada ucapan tersebut dapat kita fahami bahawa matlamat utama perbankan Islam adalah semata-mata meraih keuntungan. Dan label “Islam” pada perbankan Islam hanyalah sebuah strategi pemasaran. Saya fikir mungkin yang dimaksudkan oleh penulis adalah merujuk kepada bank-bank yang mempunyai 2 sistem sekaligus: perbankan konvensional dan perbankan Islam.

    Walau bagaimanapun, saya berpendapat sebenarnya sebuah bank Islam mampu menjadikan ummah dan untung sebagai dua matlamat utama mereka. Ini kerana hakikatnya kini mereka (perbankan Islam) mampu melaksanakan kedua-duanya dengan baik yakni menjalankan urusniaga tanpa berasaskan riba’, tanpa ada unsur ‘gharar’, tanpa membiayai aktiviti haram, memberi tajaan kepada aktiviti atau program keislaman dan menunaikan zakat di samping meraih keuntungan dan bersaing dalam pasaran ekonomi.

Wallahu a’lam bis shawab.



Monday, March 19, 2012

Tokoh-tokoh Mazhab al-Syafi'i



Tokoh-tokoh Madzhab Syafi’i
*(Mengikut tertib tarikh kewafatan)
  1. Al-Khuzza’i (w.234 H)
  2. Syeikh Abu ‘Utsman al-Qadhi (w.240 H)
  3. Abu Hatim al-Razi (w.277 H)
  4. Abu Muhammad al-Andalusi (w.277 H)
  5. Abu Ya’qub al-Isfarayini (w.284 H)
  6. Abu al-Qasim al-Anmathi (w.288 H)
  7. Al-Janujardi (w.293 H)
  8. Muhammad bin Nashr al-Marwazi (w.294 H)
  9. Abu Ja’far al-Tirmidzi (w.295 H)
  10. Abu Zur’ah al-Razi (w.302 H)
  11. Abu Bakar al-Farisi (w.305 H)
  12. Abu al-Hasan al-tamimi (w.306 H)
  13. Ibn Suraij (w.306 H)
  14. Abu Yahya al-Saji (w.307 H)
  15. Abu Thib al-Dhabbi (w.308 H)
  16. Muhammad b. Jarir al-Thabari (w.310 H)
  17. Ibn al-Mundzir (w.310 H)
  18. Abu Hafsh bin al-Wakil (w.310 H)
  19. Ibn Khuzaimah (w.311 H)
  20. Abu ‘Awanah (w.313 H)
  21. Abu Ali bin Khairan (w.320 H)
  22. Muhammad al-Khudhari (w.320 H)
  23. Abu Bakar al-Naisaburi (w.324 H)
  24. Abu al-Hasan al-Baihaqi (w.324 H)
  25. Abu Sa’id al-Ishtakhri (w.328 H)
  26. Abu Bakar al-Shayrafi (w.330 H)
  27. Abu al-Qash al-Thabari (w.335 H)
  28. Abu Ali al-Hushairi (w.338 H)
  29. Abu Hamid al-Marwazi (w.340 H)
  30. Abu Ali bin Abu Hurairah (w.345 H)
  31. Abu Hamid al-Thusi (w.345 H)
  32. Ibnu al-Haddad al-Mishri (w.345 H)
  33. Abu al-Walid al-Naisaburi (w.349 H)
  34. Abu Ali al-Thabari (w.350 H)
  35. Ibn al-Qaththan (w.359 H)
  36. Abu Ishaq al-Marwazi (w.362 H)
  37. Muhammad bin al-Husain al-Abari (w.363 H)
  38. Al-Qaffal al-Kabir (w.365 H)
  39. Ibnu al-Mazriban (w.366 H)
  40. Abu Zaid al-Marwazi (w.371 H)
  41. Abu al-Qasim al-Darki (w.375 H)
  42. Abu al-Hasan al-Masirkhasi (w.384 H)
  43. Al-Daruqutni (w.385 H)
  44. Abu al-Qasim al-Shaymari (w.386 H)
  45. Abu Mansur al-Khamsyadi (w.388 H)
  46. Abu Sulaiman al-Busti (w.388 H)
  47. Abu Ali al-Sarkhasi (w.389 H)
  48. Abu al-Qasim al-Dinawari (w.397 H)
  49. Abu Ali al-Zujaji (w.400 H)
  50. Abu Abdullah al-Jurjani (w.403 H)
  51. Al-Baqillani (w. 403 H)
  52. Ibn al-Bai’ (w.405 H)
  53. Al-Qadhi bin Kajj (w.405 H)
  54. Abu Ali al-Daqqaq (w.405 H)
  55. Abu Hamid al-Isfarayini (w.406 H)
  56. Ibnu al-Muhamili (w.415 H)
  57. Al-Qaffal al-Marwazi (w.417 H)
  58. Abu Ishaq al-Isfarayini (w.418 H)
  59. Abu Abdullah al-Mas’udi (w.420 H)
  60. Abu ‘Ali al-Bandaniji (w.425 H)
  61. Al-Tsa’labi (w.427 H)
  62. Abu Ali al-Sanaji (w.436 H)
  63. Abu Muhammad al-Juwaini (w.438 H)
  64. Abu Mansur al-Azdi (w.443 H)
  65. Nashir al-Marwazi (w.444 H)
  66. Ibnu al-Lubban (w.446 H)
  67. Abu al-Qasim al-Karkhi (w.447 H)
  68. Muhammad bin al-Shabbagh (w.448 H)
  69. Abu al-Hasan al-Mawardi (w.450 H)
  70. Ahmad al-Ruyani (w.450 H)
  71. Al-Qadhi Abu al-Thayyib al-Thabari (w.450 H)
  72. Al-Mawardi (w.450 H)
  73. Abu al-‘Ashim al-‘Ibadi (w.458 H)
  74. Al-Baihaqi (w.458 H)
  75. Al-Fawrani (w.461 H)
  76. Al-Qadhi al-Husain (w.462 H)
  77. Abdul Karim al-Qusyairi (w.465 H)
  78. Abu Ishaq al-Syairazi (w.476 H)
  79. Ibnu al-Shabbagh (w.477 H)
  80. Abu al-Ma’ali Imam al-Haramain (w.478 H)
  81. Abdul Rahman al-Sarkhasi (w.494 H)
  82. Abu al-Qasim al-Tsabiti (w.495 H)
  83. Al-Ruyani (w.502 H)
  84. Abu al-Husain al-Ramli (w.504 H)
  85. Imam al-Ghazali (w.505 H)
  86. Abu Bakar al-Syasyi al-Mustazhhiri (w.507 H)
  87. Al-Baghawi (w.510 H)
  88. Ibnu Burhan (w.518 H)
  89. Yusuf al-Hamazani (w.535 H)
  90. Malkadad al-‘Amriki (w.535 H)
  91. Syahrastani (w.548 H)
  92. Ibnu al-Khall (w.552 H)
  93. Ibn al-Bazzar (w.560 H)
  94. Abu al-‘Abbas al-Arbali (w.567 H)
  95. Abu al-Ma’ali  (w.570 H)
  96. Abu al-Qasim bin’Asakir (w.571 H)
  97. Ibnu ‘Abi Ashrun (w.585 H)
  98. Imam al-Razi (w.606 H)
  99. Ibnu al-‘Atsir (w.606 H)
  100. Ibnu ‘Asakir (w.620 H)
  101. Al-Rafi’I (w.623 H)
  102. Abu Amr bin al-Solah (w.643 H)
  103. Izzuddin bin Abdussalam (w.660 H)
  104. Kamaluddin al-Arbali (w.670 H)
  105. Tajuddin al-Fazari (w.670 H)
  106. Al-Nawawi (w.676 H)
  107. Ibn Khillikan (w.681 H)
  108. Al-Zahir al-Tazmanati (w.682 H)
  109. Al-Muzani (w.687 H)
  110. Abu al-‘Abbas al-Qalyubi (w.691 H)
  111. Ibnu al-‘Aththar (w.691 H)
  112. Ibnu Daqiq al-‘Ied (w.702 H)
  113. Ibnu al-Rif’ah (w.710 H)
  114. Kamaluddin al-Zamlakani (w.727 H)
  115. Najmuddin al-Mishri (w.729 H)
  116. Syarafuddin al-Barazi (w.738 H)
  117. Al-Mizzi (w.743 H)
  118. ‘Imaduddin al-Balbisi (w.749 H)
  119. Taqiyuddin al-Subki (w.756 H)
  120. Tajuddin al-Subki (w.769 H)
  121. Ibn Katsir (w.774 H)
  122. Jalaluddin al-Mahalli  (w.835 H)
  123. Ibnu Ruslan (w.844 H)
  124. Ibnu Hajar al-‘Asqalani (w.852 H)
  125. Jalaluddin al-Suyuti (w.911 H)
  126. Qasthalani (w.923 H)
  127. Zakaria al-Ansari (w.926 H)
  128. Ibnu Hajar al-Haitami (w.974 H)
  129. Al-Khatib al-Syarbini (w.977 H)
  130. Al-Ramli (w.1004 H)
  131. Nuruddin al-Raniri (w.1068 H)
  132. Al-Syarqawi (w.1227 H)
  133. Muhammad Arsyad al-Banjari (w.1227 H)
  134. Al-Syanwani (w.1233 H)
  135. Al-Bajuri (w.1276 H)
  136. Ahmad bin Zaini Dahlan (w.1304 H)
  137. Abu Bakar Syatha (w.1310 H)
  138. Nawawi Banten (w.1315 H)
  139. Utsman al-‘Alawi (w.1333 H)
  140. Ahmad Khatib (w.1334 H)
  141. Yusuf al-Nabhani (w.1350 H)
  142. Mustafa Husein (w.1370 H)
  143. Sulaiman al-Rasuli (w.1390 H)

Friday, January 13, 2012

Meminang Gaya Islam


MEMINANG GAYA ISLAM

Ada yang bertanya kepada saya, bagaimanakah cara bertunang (meminang) yang dianjurkan dalam Islam?

Jawapan saya: Saya minta maaf, saya tidak arif tentang itu kerana ketika ditanya  saya sendiri belum tahu bagaimana cara bertunang yang dianjurkan dalam Islam.

Tetapi, setelah saya meneliti apa yang disebutkan di dalam kitab-kitab ulama, peminang seharusnya:

(1) Sudah bersedia untuk berumah tangga.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنِ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ
Ertinya: “Barangsiapa yang sudah berkemampuan untuk berumah tangga, maka berkahwinlah!”  (Riwayat al-Bukhari)

(2) Melihat wanita yang ingin dipinang.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا ». قَالَ لاَ. قَالَ « فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا ».
Ertinya:
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Pada suatu hari, sedang aku berada hampir dengan Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki mengkhabarkan kepada baginda “Aku akan mengahwini seorang wanita.” Lantas Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “Sudahkah kamu lihat wanita tersebut?” Lelaki itu menjawab, “Belum.” Rasulullah SAW pun bersabda, “Pergilah dan lihatlah kepadanya.!” (Riwayat Muslim)

(3) Memilih wanita yang baik agamanya.

Sabda Rasulullah SAW:
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا ، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Ertinya: “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang baik agamanya. Jika tidak, kamu akan berdukacita.” (Riwayat al-Bukhari)

(4) Berjumpa dengan keluarga wanita tersebut dan menyatakan hasrat untuk melamar.

عَنْ عُرْوَةَ أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - خَطَبَ عَائِشَةَ إِلَى أَبِى بَكْرٍ فَقَالَ لَهُ أَبُو بَكْرٍ إِنَّمَا أَنَا أَخُوكَ ، فَقَالَ « أَنْتَ أَخِى فِى دِينِ اللَّهِ وَكِتَابِهِ وَهْىَ لِى حَلاَلٌ » .
Ertinya: Daripada Urwah RA, sesungguhnya Nabi SAW pergi meminang Aisyah kepada Abu Bakar. Lalu Abu Bakar berkata kepadanya, “Sesungguhnya saya ini adalah saudaramu.” Rasulullah SAW bersabda, “Kamu adalah saudaraku seagama dan menurut kitabnya (di sisi al-Quran), sedang Aisyah adalah halal untuk saya kahwini.” (Riwayat al-Bukhari)

(5) Melamar janda dengan menggunakan orang tengah.

عَنْ أَنَسٍ وَهَذَا حَدِيثُ بَهْزٍ قَالَ لَمَّا انْقَضَتْ عِدَّةُ زَيْنَبَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- لِزَيْدٍ « فَاذْكُرْهَا عَلَىَّ ».

Ertinya: Daripada Anas RA, ini adalah hadis Bahz RA, dia berkata: “Ketika Zainab (bekas isteri Zaid) telah selesai ‘iddah, Rasulullah SAW bersabda kepada Zaid, “Wahai Zaid, pergilah kamu melamar Zainab untukku.” (Riwayat Muslim)

(6) Memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah semasa meminang.

Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ أَمْرٍ ذِى بَالٍ لاَ يُبْدَأُ فِيهِ بِالْحَمْدِ أَقْطَعُ


Ertinya: “Setiap perkara yang bernilai tetapi tidak dimulakan dengan memuji Allah adalah cacat.”  (Riwayat Ibnu Majah)

(7) Menyatakan hasrat untuk melamar.

“Kami datang untuk meminang anak kamu.”

Habib Ali al-Jufri dalam salah satu ceramahnya menyarankan supaya berkata kepada bapa atau wali wanita itu:

“Jika kamu melihat pada diri saya sesuatu yang diredhai oleh Allah, maka terimalah lamaran saya.”

(8) Menanti jawapan wanita yang dipinang.

« لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ وَلاَ تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ » . قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ إِذْنُهَا قَالَ « أَنْ تَسْكُتَ »
Ertinya: “Seorang janda tidak boleh dikahwinkan begitu saja sebelum meminta persetujuannya, dan seorang gadis (anak dara) tidak (baik) dikahwinkan sebelum meminta persetujuannya.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana caranya (untuk mengetahui persetujuannya)?” Rasulullah SAW bersabda, “Diamnya (itulah tanda persetujuannya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sumber Rujukan:
(1)   Al-Fiqh al-Manhaji. Dr. Mustafa al-Bugha, Dr. Mustafa al-Khen, Ali al-Syarbaji.
(2)   Sistem Kekeluargaan Dalam Islam. Prof. Madya Dr. Musa bin Fathullah Harun.
(3)   Maktabah Syamilah: Sunan al-Sittah.

Wednesday, August 10, 2011

Kewafatan Imam al-Syafi'i

Kewafatan Imam al-Syafi’i.
Lutfi Latif©

Sepanjang menetap di Mesir, Imam al-Syafi’i selalu sibuk dengan segala macam kerjanya yang dilakukan seharian. Antara kerja-kerja yang dilakukannya ialah belajar, mengajar, berdialog dan mengarang.

Nampaknya, kesibukan yang dialami oleh Imam al-Syafi’i telah menyebabkan dirinya kurang terurus terutama terhadap kesihatannya.

Lalu, beliau terkena penyakit buasir dan badannya mulai mengeluarkan banyak darah sehingga mengakibatkan tubuh badan beliau menjadi semakin lemah.

Di kala itu, murid-murid yang setia denganya iaitu al-Rabi’ dan al-Muzani sering menziarahi Imam al-Syafi’i, bertanya khabar tentang kesihatan dan berbual sebentar dengan si Imam. Al-Muzani menjenguk Imam al-Syafi’i dan berkata, “Bagaimana keadaanmu, wahai ustaz?” Imam al-Syafi’i menjawab, “Aku akan meninggalkan dunia dan akan berpisah dengan para sahabatku. Aku berharap agar aku dapat meneguk secangkir air syurga dan menghadap Tuhanku yang Maha Pemurah. Sesungguhnya aku benar-benar tidak tahu ke mana ruhku akan kembali, sama ada ke syurga yang dengannya aku akan bahagia atau ke neraka yang dengannya aku berduka.” Kemudian Imam al-Syafi’i membaca bait syair, “Aku tidak akan putus harapan. Sekalipun diriku akan dimasukkan ke neraka Jahannam. Disebabkan dosa-dosaku. Sungguh besar (banyak) dosaku. Sama ada dosa terdahulu mahupun sekarang. Namun, keampunan-Mu lebih besar.”

Setelah berada di Mesir selama 6 tahun sejak akhir bulan Syawal 198 H, maka beliau pun wafat pada hari Khamis malam Jumaat 29 Rejab 204 H bersamaan 820 M, selepas Maghrib.

Ketika jenazah Imam al-Syafi’i dalam perjalanan ke tanah perkuburan tiba-tiba Sayyidah Nafisah (salah seorang guru Imam al-Syafi’i) meminta supaya jenazah Imam di bawa masuk sebentar ke dalam rumahnya untuk disolatkan. Kemudian seusai solat, Sayyidah Nafisah berdoa, “Semoga Allah SWT merahmati Imam al-Syafi’i kerana semasa hidupnya beliau selalu menyempurnakan wuduk.”



Gabenor Mesir turut serta dalam menguruskan jenazah Imam al-Syafi’i, termasuklah memandikan, mendirikan solat jenazah, mengiring ke tanah perkuburan dan melunaskan segala pinjaman Imam al-Syafi’i.




Akhirnya, jenazah Imam al-Syafi’i ditanam di perkuburan Banu Zahrah iaitu di Qarafah Sughra, lokasinya terletak di bawah kaki Gunung al-Muqattam, di Mesir.

Selepas kewafatan Imam al-Syafi’i, seseorang telah datang ke majlis pengajian beliau dengan harapan semoga dapat bertemu dengannya. Kata orang tersebut, “Di manakah bulan dan matahari bagi majlis ini?” Orang-orang yang ada di majlis pengajian memberitahu kepadanya bahawa Imam al-Syafi’i telah wafat. Orang itu pun menangis seraya berkata, “Semoga Allah merahmati dan mengampuninya. Sesungguhnya beliau adalah kunci kepada pintu hujah yang tertutup dan selalu menutup wajah lawannya dengan hujah yang terang.”

Beginilah pengakhiran kisah seorang pemuda yang tampan, putih kulitnya, tinggi dan indah rupa parasnya. Semoga Allah merahmati dan mengampuninya.

Tuesday, July 19, 2011

Sketsa: Pengikut Sunnah lwn Pengikut Fuqaha'

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Pada kali ini, saya berhasrat untuk menceritakan sketsa tentang perbezaan fikrah yang telah melanda umat Islam, iaitu pertarungan intelektual yang hangat (hot) terjadi di antara pengikut sunnah dan pengikut fuqaha'.

Siapa Pengikut Sunnah? Dan Siapa Pengikut Fuqaha'?
Penulis menisbahkan pengikut sunnah kepada mereka yang mengaku bahawa mereka adalah 'pengikut sunnah' dan memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW serta menolak perkara-perkara baru (bid'ah).

Manakala nisbah pengikut fuqaha' adalah merujuk kepada golongan yang mengaku mengikuti pendapat orang-orang yang mengerti (faqih) akan syariat Islam mencakupi kefakihan Rasulullah SAW, kefakihan para sahabat, kefakihan para tabiin, kefakihan tabi' al-tabiin dan kefakihan yang diwarisi oleh alim ulama' fiqh seterusnya.

Perbezaan Di antara Pengikut Sunnah dan Pengikut Fuqaha'

(1) Bid'ah

Pengikut Sunnah:
"Semua bid'ah adalah sesat dan setiap yang sesat, maka tempatnya di neraka."

Pengikut Fuqaha':
"Bid'ah mempunyai pembahagian. Ada ulama yang membahagikan kepada dua bahagian: Pertama, Bid'ah Hasanah dan Kedua, Bid'ah Dholalah. Manakala ulama' lain membahagikan bid'ah kepada 5 pembahagian: Wajib, Sunat, Mubah (Harus), Makruh dan Haram."

(2) Ibadat

Pengikut Sunnah:
"Sesuatu ibadah itu batil melainkan ada nas dari al-Qur'an dan al-Sunnah." 

Pengikut Fuqaha':
"Sesuatu ibadah itu batil, melainkan ada dalil.  Dan bilangan dalil adalah berbeza menurut mazhab yang masyhur (Hanafi, Maliki Syafi'i dan Hanbali). Dalil yang telah disepakati ialah al-Qur'an, al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Ini sebagaimana menurut mazhab Syafi'i. Adapun mazhab yang lain telah menambahkan bilangan dalil tadi." 

(3) Hukum Syariat Islam

Pengikut Sunnah:
"Syariat Islam perlu dinilai sama ada ianya Sunnah atau Bid'ah."

Pengikut Fuqaha':
"Syariat Islam perlu dinilai sama ada hukumnya Wajib, Sunat, Mubah (Harus), Makruh atau Haram."

(4) Sifat-sifat Allah

Pengikut Sunnah:
"Sifat-sifat Allah seperti mata, wajah, tangan, kaki, istiwa' dan nuzul itu telah maklum. Tidak diketahui caranya. Dan sesungguhnya Allah tidak sama dengan makhluk."

Pengikut Fuqaha':
"Nas al-Qur'an dan hadis yang menceritakan tentang sifat-sifat Allah adalah mutasyabihat (samar). Tidak dapat difahami kerana maknanya hanya diketahui oleh Allah SWT. Beriman terhadap ayat-ayat Mutasyabihat adalah wajib. Dan sesungguhnya Allah tidak sama dengan makhluk."

(5) Taklid

Pengikut Sunnah:
"Taklid adalah Haram."

Pengikut Fuqaha':
"Taklid adalah Haram bagi Mujtahid dan Wajib bagi mereka yang tidak mampu berijtihad. Dan taklid yang haram jika berlaku 3 perkara, iaitu (1) taklid kepada mereka yang bukan ahli, (2) taklid buta yang bertentangan dengan syariat Islam dan (3) taklid kepada hujah yang lemah."  

(6) Sunnah

Pengikut Sunnah:
"Baca surah Yasin pada malam Jumaat dan malam Nisfu Syaaban bukan sunnah Rasulullah SAW. Sesiapa yang menyandarkan bahawa perbuatan itu adalah sunnah Rasulullah SAW, maka nerakalah tempatnya."

Pengikut Fuqaha':
"Memang benar tidak ada hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW membaca surah Yasin pada malam Jumaat atau malam Nisfu Syaaban. Tetapi, tidak ada hadis bukan bererti Rasulullah SAW tidak pernah buat atau bukan Sunnah. Sebab, kalau berani mengatakan Rasulullah SAW tidak 'pernah buat'  sesuatu itu padahal sebenarnya Rasulullah SAW pernah buat, maka berlaku pendustaan atas nama Rasulullah SAW, maka nerakalah tempatnya. Perkataan yang benar ialah [kami tidak mengetahui hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW melakukannya]."  

(7) Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Pengikut Sunnah:
"Dr. Yusuf al-Qaradhawi bukan 'Ulama Sunnah."

Pengikut Fuqaha':
"Dr. Yusuf al-Qaradhawi adalah Ulama Fiqh."

Demikianlah sketsa yang sering terjadi di antara Pengikut Sunnah dan Pengikut Fuqaha'.

Jadi, anda berada di pihak yang mana?

Sekian.
Wassalamualaikum.


Saturday, May 21, 2011

Jom Kenali Ulama...!

  1. Syeikh ‘Atiyyah Saqr. Pakar Fiqh di Mesir.
  2. Syeikh Abd Hayy al-Katani. Ulama Hadis Mesir.
  3. Syeikh Abdul Aziz bin Baz. Mufti Besar Arab Saudi.
  4. Syeikh Abdul Fatah al-Husaini. Pakar Fiqh dan Usul Fiqh di Mesir.
  5. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Ulama Hadis Syria.
  6. Syeikh Abdul Halim Mahmud. Ulama besar tafsir, fiqh dan kesusasteraan arab. Grand Syeikh of al-Azhar.
  7. Syeikh Abdul Karim Zaidan. Berasal dari Irak. Pakar bidang Dakwah, Fiqh dan Usul Fiqh. Professor Universiti al-Iman, Yaman. Anggota Ikhwan Muslimin Iraq.
  8. Syeikh Abdul Majid az-Zindani. Presiden Univeristi al-Iman, Sanaa, Yaman.
  9. Syeikh Abdul Majid Deraz. Ulama fiqh.
  10. Syeikh Abdul Malik as-Sa’di. Pakar Fiqh Muqaran. Bekas Mufti Iraq.
  11. Syeikh Abdul Muhsin al-Turki. Tinggal di Saudi. Ketua Gabungan Universiti-universiti Islam Sedunia.
  12. Syeikh Abdul Qadir Arnout. Ulama Hadis Syria.
  13. Syeikh Abdul Rahman ash-Shaguri. Ulama Pendidikan dan Tasawwuf.
  14. Syeikh Abdul Razak as-Sanhuri. Ulama Undang-Undang dan Fiqh di Mesir.
  15. Syeikh Abdul Wahab Abu Sulaiman. Pakar bidang Fiqh, Usul Fiqh, dan Fiqh Muamalat di Universiti Umm al-Qura, Mekah.
  16. Syeikh Abdul Wahab Khallaf. Ulama hadis, fiqh, usul- al-fiqh, perbandingan fiqh dan perundangan islam.
  17. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan. Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malik Abd Aziz, Jeddah, Saudi (1980).
  18. Syeikh Abu al-A’la al-Maududi. Tokoh Pemikir Islam. Ketua Jemaah Islam Pakistan.
  19. Syeikh Abu Hasan Ali al-Nadwi. Ulama India & Pemikir Islam. Pernah berjawatan penting dalam Rabitah Alam Islamy di Mekah, Dewan Ilmu Pengetahuan dan bahasa Arab di Damaskus, Majlis Pertimbangan di Universiti Madinah serta ketua lektor Pusat Pengkajian Islam di Oxford University.
  20. Syeikh Ahmad bin Muhammad bin al-Sadiq al-Ghumari. Pakar Hadis Mesir.
  21. Syeikh Ahmad Deedat. Lahir di India, kemudian berpindah ke Afrika Selatan. Pendakwah juga Pendebat terkenal dalam menegakkan kebenaran Islam.
  22. Syeikh Ahmad Muhammad Syakir. Pakar Hadis Mesir.
  23. Syeikh Ahmad Mustafa al-Maraghi. Syeikh al-Azhar dalam bidang Tafsir. Pengarang kitab Tafsir al-Maraghi.
  24. Syeikh Aidh Abdullah al-Qarni. Penulis kitab La Tahzan. Meraih kedoktoran di Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud. Ulama Arab Saudi.
  25. Syeikh Ali Ahmad Salus. Pakar Fiqh Muamalat di Qatar. Ahli Majma’ Fiqh.
  26. Syeikh Ali Zainul Abidin al-Jufri. Ulama dari Hadramaut, Yaman.
  27. Syeikh Ali as-Syarbaji. Ulama Fiqh Mazhab Syafii di Syria.
  28. Syeikh 
  29. Syeikh Bakar Abu Zaid. Bekas Ketua Majma’ Fiqh Dunia.
  30. Syeikh Bashir al-Bari. Khateeb of Masjid al-Umawi and former Mufti of Damascus.
  31. Syeikh Fadl Hasan 'Abbas. Ulama buta. Pakar dalam bidang Tafsir. Pensyarah Universiti al-Yarmouk, Jordan.
  32. Syeikh Fathi Yakan. (Pendakwah) Anggota Jamaah Islamiyah di Lubnan.
  33. Syeikh Fazlur Rahman. Pernah dilantik sebagai anggota Advisory Council of Islamic Ideology Pemerintah Pakistan (1964). Kemudian berhijrah ke University of Chicago, sebagai guru besar Kajian Islam Dalam Segala Aspek di Department of Near Eastern Languages and Civilization.
  34. Syeikh Harun Yahya. Nama sebenarnya Adnan Oktar. Seorang pendakwah dan ilmuwan Turki terkenal.
  35. Syeikh Hasan al-Habbannakah. Ulama Fiqh dan Akidah di Syria.
  36. Syeikh Hasan al-Syazili. Tinggal di Kuwait. Ahli Majma’ Fiqh.
  37. Syeikh Hassan al-Bana. Pendakwah terkenal dan pengasas Gerakan Ikhwan Muslimin Syria.
  38. Syeikh Hassan Heito. Berasal dari Syria. Ulama besar Fiqh (Mazhab Syafii) dan Usul Fiqh. Anggota Ikhwan Muslimin Syria.
  39. Syeikh Hussein Mahmud Badran. Ulama Mazhab Syafii dalam bidang bahasa dan Fiqh.
  40. Syeikh Ibrahim al-‘Ali. Pakar Hadis dan Sirah di Jordan.
  41. Syeikh Imad al-Din al-Rasyid. Ulama Hadis dan Fiqh.
  42. Syeikh Kariyyim Rajih. Qari’ di Damsyik, Syria.
  43. Syeikh Kurshid Ahmad. Pakar Ekonomi Islam di Universiti Markfield, United Kingdom.
  44. Syeikh Mahmud bin Muhammad Syaltut. (Syeikh al-Azhar) Ulama Besar Mesir dalam bidang Tafsir dan Fiqh.
  45. Syeikh Mahmud Thahan. Bekas Pensyarah Musthalahul Hadis di Kuliah Syariah, Universiti Madinah.
  46. Syeikh Manna’ Khalil Qaththan. Pensyarah Universiti Imam Muhammad bin Saud.
  47. Syeikh Muhammad Abu Zahra. Ulama Usul al-Fiqh, Fiqh perbandingan dan Sejarah. Professor Perundangan Islam di Universiti Kaherah (Cairo University).
  48. Syeikh Muhammad al-‘Uqlah al-Ibrahim. Dekan Kuliah Syariah Universiti Irbid dan Pensyarah Universiti al-Yarmouk, Jordan.
  49. Syeikh Muhammad al-Baltaji. Pensyarah Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Kaherah, Mesir.
  50. Syeikh Muhammad al-Ghazali. Ulama Besar Mesir. Bekas Professor di Universiti Qatar, Pensyarah Universiti Umm al-Qura dan Universiti al-Azhar.
  51. Syeikh Muhammad Ali as-Shabuni. Pakar Ulum Quran. Bekas Pensyarah di Universiti Madinah.
  52. Syeikh Muhammad al-Khidr Husain. Ulama besar tafsir, kesusasteraan arab dan fiqh mazhab Maliki. Grand Syeikh of al-Azhar.
  53. Syeikh Muhammad al-Makhluf al-Maliki. Ulama Besar Mesir.
  54. Syeikh Muhammad al-Yaqoubi. Ulama Fiqh.
  55. Syeikh Muhammad al-Zuhaili. Pensyarah Fiqh & Usul Fiqh. Dekan Kuliah Syariah UAE.
  56. Syeikh Muhammad Bakar Ismail. Ulama al-Azhar, Mesir.
  57. Syeikh Muhammad bin Sayyid Alawi al-Maliki. Ulama besar Arab Saudi.
  58. Syeikh Muhammad bin Shaleh al-Utsaimin. Pensyarah Universiti Imam Muhammad bin Saud Qashim. Fakulti Syariah dan Usuluddin.
  59. Syeikh Muhammad Fathi al-Duraini. Pakar Fiqh, Undang-undang dan Lughah (Bahasa).
  60. Syeikh Muhammad Jawad Mughniyah. Ulama Syiah Lebanon. Pengarang al-Fiqhu ‘ala al-Mazhâhib al-Khamsah (Fiqh Lima Mazhab).
  61. Syeikh Muhammad Mutawali Sya’rawi. Ulama Tafsir. Pensyarah Syariah di Universiti Ummul Qura, Mekkah.
  62. Syeikh Muhammad Na’im Yasin. Pakar bidang Fiqh, Usul Fiqh, Aqidah, dan Siyasah Syariyyah. Pensyarah di Universiti Jordan.
  63. Syeikh Muhammad Noori al-Dirshawi al-Kurdi. Ketua Qari’ di Kurdistan.
  64. Syeikh Muhammad Rasyid Redha. Berasal dari Syria. Pendakwah terkenal dalam bidang Akidah.
  65. Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti. Dekan Kuliah Usuluddin di Fakulti Perundangan Islam, Universiti Damaskus, Syria.
  66. Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi. Bekas Mufti Besar Mesir. Kini, Syeikh al-Azhar.
  67. Syeikh Muhammad Syuqair. Ulama Mazhab Syafii juga seorang Qari’.
  68. Syeikh Muhammad Uthman Syabir. Pakar bidang Fiqh, Usul Fiqh, Fiqh Muamalat dan Fiqh Perubatan. Pensyarah Universiti Qatar.
  69. Syeikh Muhammad Yusuf bin Ilyas al-Kandahlawi. Ulama Hadis dan Fiqh. Ketua Jemaah Tabligh di Pakistan.
  70. Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari. Berasal dari Turki. Ulama hadith, fiqh perbandingan.
  71. Syeikh Muhammad Zakaria bin Muhammad Yahya al-Kandahlawi. Tinggal di Madinah.Ulama hadis dan fiqh Hanafi.
  72. Syeikh Mustafa al-Bugha. Pakar bidang Fiqh dan Usul Fiqh. Ulama Mazhab Syafii di Syria.
  73. Syeikh Mustafa al-Sobri. Ulama hadith, fiqh, falsafah dan politik di Turki.
  74. Syeikh Mustafa al-Zarqa. Ulama Fiqh, Usul Fiqh dan Undang-undang di Jordan.
  75. Syeikh Mustafa as-Siba’ei. Dekan Kuliah Syariah Universiti Damaskus. Anggota Ikhwan Muslimin Syria.
  76. Syeikh Mustafa Said al-Khen. Pakar bidang Fiqh dan Usul Fiqh. Ulama Mazhab Syafii Syria.
  77. Syeikh Nashiruddin al-Albani. Ulama Hadis Jordan.
  78. Syeikh Nazih Hammad. Bekas Pensyarah di Universiti Umm al-Qura, Mekah. Sekarang Pensyarah di Universiti Kanada. Pakar bidang Muamalat dan Ekonomi Islam. Ahli Majma’ Fiqh Dunia.
  79. Syeikh Nejatullah al-Shiddiqi. Berasal dari India. Pakar Ekonomi Islam. Pensyarah di Universiti Markfield, United Kingdom.
  80. Syeikh Nuruddin ’Itr. Guru Besar Tafsir dan Hadis di Fakulti Syariah, Universiti Damaskus, Syria.
  81. Syeikh Omar Hasyim. Bekas Rektor al-Azhar Kaherah, Mesir.
  82. Syeikh Rabi’ Hadi al-Madkhali. Guru Besar Universiti Madinah.
  83. Syeikh Rafiq al-Mashri. Pakar Ekonomi Islam dan Konvensional di Syria.
  84. Syeikh Sa’id Hawa. Bekas Pemimpin Ikhwan Muslimin Syria.
  85. Syeikh Sayyid Qutb. Anggota Ikhwan Muslimin Mesir. Pernah menjadi Perdana Menteri dan Ketua Dewan Revolusi Mesir.
  86. Syeikh Sayyid Sabiq. Ulama Besar Arab Saudi. Pengarang kitab Fiqh Sunnah.
  87. Syeikh Shadiq al-Habbannakah. Pakar Fiqh dan Lughah (Bahasa) di Syria.
  88. Syeikh Shaleh bin Fauzan al-Fauzan. Anggota Haiah Kibaril Ulama’ dan Commite Fiqh Rabithah Alam Islamiy di Mekkah serta anggota Commite Pengawas Du’at Haji sekaligus mengepalai keanggotaan Lajnah Daimah Lil Buhuts Wal Ifta’.
  89. Syeikh Shodiq Dharir. Pakar Fiqh Muamalat. Pensyarah di Universiti al-Khurthum, Sudan. Ahli Majma’ Fiqh.
  90. Syeikh Sholah Abd Fattah al-Khalidi. Pakar Tafsir, Ulum Quran dan Sirah di Jordan.
  91. Syeikh Subhi al-Shaleh. Ulama terkenal Lubnan.
  92. Syeikh Syuaib al-Arnaout. Berasal dari Syria. Pakar bidang Hadis.
  93. Syeikh Tahir Muhammad ’Asyur. Dari Tunisia. Pakar Tafsir & Usul Fiqh.
  94. Syeikh Toha Rayyan. Pakar Fiqh Muqaran di Mesir.
  95. Syeikh Tunusi. Ulama Hadis.
  96. Syeikh Umar Chapra. Pakar Ekonomi Islam. Bekas Pensyarah di Universiti Markfield, United Kingdom.
  97. Syeikh Umar Sulaiman al-Asyqar. Pensyarah di Universiti Zarqa, Jordan. Pakar bidang Fiqh dan Usul Fiqh.
  98. Syeikh Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili. Professor (Dekan) Kuliah Syariah di Universiti Damaskus, Syria.
  99. Syeikh Yusuf al-Qardhawi. Dekan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Qatar (1977-1990). Pengarah Pusat Pengkajian Sunnah dan Sirah, Universiti Qatar (1991).
  100. Syeikh Yusuf al-Rifa’i. Lahir di Kuwait. Ulama Mazhab Syafii.

Tuesday, May 3, 2011

Siapa Ulama?

    Dengan nama Allah Tuhan yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala pujian bagi-Mu wahai Tuhan Pemberi Rezeki dan Pemberi Nikmat kepada sekalian makhluk. Kepada-Mu jua tempat kami kembali.

   Perkataan “Ulama” memang sering kita dengari. Namun, masih ada orang yang biasa mendengar perkataan “Ulama” tanpa mengetahui apa maksudnya dan apakah pula ciri-ciri sebenar Ulama. Hal inilah mendorong saya untuk menjelaskan secara ringkas tentang Ulama pada penulisan kali ini.

  Ulama merupakan jamak dari perkataan “Alim” iaitu orang yang mengetahui atau orang yang berilmu pengetahuan. Dari segi istilah, sering merujuk kepada mana-mana orang yang memiliki keluasan ilmu pengetahuan dalam hal ehwal agama, dan menjadi rujukan penting bagi masyarakat sekeliling. Pengertian sebegini tidak lari dengan pengertian yang telah digariskan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat iaitu ulama ialah orang yang ahli atau pakar dalam pengetahuan agama Islam.

   Mengapa sebahagian dalam kalangan kita menyebut “Ulama” walau hanya kepada seorang, tidak dengan sebutan “Alim”? Ini semata-mata Takzim yakni memuliakan orang yang berilmu pengetahuan, seolah-olah keilmuwan seorang alim itu seperti keilmuwan beberapa orang alim lainnya.



   Ulama mempunyai ciri-ciri tertentu sampai kehadirannya menunjukkan kepada kita bahawa dia seorang yang pakar dalam pengetahuan agama Islam. Terlalu banyak ciri-ciri Ulama. Antara yang sempat saya sebutkan di sini ialah:

  1. Niat yang murni dan ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW telah bersabda: “Setiap amalan dikira berdasarkan niat, dan setiap orang akan mendapat atas apa yang diniatkannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

  1. Sangat takut kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT (Ertinya):
“Sesungguhnya yang benar-benar takut kepada Allah SWT ialah Ulama.”  
(Surah Fathir: 28)


  1. Menunjukkan komitmen terhadap Sunnah dan menjauhi Bid’ah.

Rasulullah SAW bersabda: “…(Ertinya) Ikutilah sunnahku dan sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham (dengan teguh). Berjaga-jagalah kamu terhadap perkara baru (Muhdats / Bid’ah)! Ini kerana setiap Bid’ah adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmidzi)

  1. Berakhlak mulia.

Rasulullah SAW bersabda: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada. Dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan melenyapkannya. Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang terpuji.” (Riwayat Al-Tirmidzi)

  1. Dimuliakan oleh Allah SWT di sisi sekalian manusia.

Firman Allah SWT (Ertinya):
“…Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu pengetahuan dengan beberapa darjat…”
(Al-Mujadilah: 11)

  1. Berpegang kepada Al-Qur’an.

Firman Allah SWT (Ertinya):
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu.” 
(Surah al-Nisa’: 105)

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

  1. Berpegang kepada Al-Sunnah.

Firman Allah SWT (Ertinya): 
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah.”
(Surah Al-Hasyr: 7)

  1. Berpegang kepada Ijmak.

Firman Allah SWT (Ertinya):
“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang BUKAN JALAN ORANG-ORANG MUKMIN, Kami biarkan ia terus dalam kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.”
 (Surah Al-Nisa’: 115)

  1. Berpegang kepada Qiyas atau Ijtihad jika tiada dalil daripada Al-Qur’an, Al-Sunnah dan Ijmak. 

Firman Allah SWT (Ertinya):
“Maka ambillah (kejadian itu) sebagai pengajaran.”
(Surah Al-Hasyr: 2)

Imam Al-Syafi’i berkata di dalam kitabnya Al-Risalah: “Bila terjadi perselisihan tentang sesuatu perkara setelah Rasulullah s.a.w. wafat, maka hendaklah dikembalikan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah, yakni Al-Qur’an atau setelah itu kepada apa yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. yakni as-Sunnah. Apabila tidak ada yang sesuai, maka persoalan itu diselesaikan dengan jalan Qiyas.”  

  1. Pengetahuan yang mendalam terhadap bidang diceburinya.  

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT kebaikan maka diberikan pengetahuan yang mendalam dalam agama (Islam).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

  1. Mengetahui perkara yang telah disepakati (Ijmak) dan perkara yang diperselisihkan (Ikhtilaf).

Firman Allah SWT (Ertinya): “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Rasul serta Ulil Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah Al-Nisa’: 59)

Menurut Dr. Abd Wahhab Khallaf, ayat ini menunjukkan tentang perkara yang telah disepakati (Ijmak) dan perkara yang diperselisihkan (Qiyas/ Ijtihad). Sila lihat ulasan beliau berkaitan dengan ayat ini di dalam kitabnya ‘Ilm Usul al-Fiqh.

  1. Mengetahui sebab-sebab perselisihan ijtihad atau fatwa atau pendapat ulama.

Imam Jalaluddin Al-Suyuti menceritakan di dalam kitabnya Al-Itqan fi Ulum al-Qur’an: “Dan sejak dahulu saya memahami perbezaan daripada Ibnu Abbas dan lainnya pada tafsir dari ayat أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ apakah maknanya adalah jimak atau persentuhan dengan tangan? Tafsiran yang pertama adalah berdasarkan bacaan (qiraah) لَامَسْتُم dan tafsiran yang kedua adalah berdasarkan bacaan (qiraah) لَمَسْتُم.”

  1. Menjadi rujukan masyarakat.

Firman Allah SWT (Ertinya): “Bertanyalah kepada mereka yang berilmu pengetahuan (ulama) jika kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Nahl: 43)


   Inilah di antara ciri-ciri ulama yang sempat saya muatkan pada penulisan kali ini. Dan disertakan juga dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Al-Sunnah ditambah dengan Kisah Ulama agar menjadi iktibar dan pedoman bersama. Semoga kita sentiasa berusaha menjadi orang yang berilmu pengetahuan dan merintis jalan para ulama. Insya Allah. Wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
  

Friday, April 8, 2011

Sambutan Maulidur Rasul


   Segala pujian bagi Allah s.w.t. dengan limpah kurnia-Nya kita masih dihidupkan dan masih lagi mengingati Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.. Penulisan pada kali ini bertujuan untuk mengupas isu yang menjadi polemik sejak sekian lama di antara pendokong sambutan Maulidur Rasul dan pihak yang menolak sambutan tersebut.

   Golongan yang menolak sambutan Maulidur Rasul menolak atas beberapa hujah: Pertama, sambutan ini suatu bid’ah kerana belum pernah diadakan sejak zaman Nabi s.a.w. dan para salafus soleh. Kedua, sambutan ini diadakan pada 12 Rabi’ul Awwal, ini bertentangan dengan pendapat ahli falak Mahmud Basya yang dianggap tepat yang mengatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi s.a.w. bersamaan 9 Rabi’ul Awwal. Ketiga, sambutan ini boleh mencemarkan Islam itu sendiri kerana berlaku pergaulan antara lelaki dan wanita. Keempat, sambutan ini menyebabkan pembaziran makanan yang keterlaluan. Kelima, banyak lagi perkara yang diamalkan dalam sambutan ini yang tidak sahih periwayatan dan tidak boleh dijadikan hujah.  

   Itulah hujah golongan yang menolak sambutan Maulidur Rasul. Namun begitu, hujah pendokong Maulidur Rasul lebih kuat kalau kita sudi menganalisis hujah kedua-dua pihak dalam isu ini. Namun di sini, saya yang daif ini tidak mampu untuk menjawab kembali hujah pihak yang menolak, melainkan sekadar yang termampu.

   Sebenarnya hampir kepada kesalahan jika kita mengatakan Nabi s.a.w. dan para salafus soleh tidak menyambut Maulidur Rasul, padahal realitinya para salafus soleh meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w. iaitu dengan berpuasa pada hari Isnin demi mengikuti perbuatan Rasulullah s.a.w. yang sering berpuasa pada hari Isnin. Demikian menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. dan para salafus soleh memang menyambut ulangtahun kelahiran Baginda s.a.w. (Maulidur Rasul).

عَنْ أَبِى قَتَادَةَ الأَنْصَارِىِّ رضى الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الاِثْنَيْنِ فَقَالَ « فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَىَّ ».
Ertinya:
Daripada Abu Qatadah al-Anshori r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya mengenai amalan baginda berpuasa pada hari Isnin. Lalu Baginda menjawab: Pada hari itu aku dilahirkan dan diturunkan kepadaku (al-Qur’an). (Riwayat Muslim)


   Perbuatan berpuasa ini dilakukan semata-mata kecintaan mereka terhadap Baginda s.a.w. melebihi manusia lain.

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - « لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ » .
Ertinya:
Daripada Anas r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda: Tidak dikira beriman salah seorang di antara kamu sehingga aku lebih dicintainya berbanding dengan ibu bapa mereka dan anak-anak serta seluruh umat manusia. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

   Menurut ulama, perbuatan berpuasa pada hari Isnin itu hukumnya Sunat, bukan Wajib. Dan tidak semestinya meraikan Maulidur Rasul hanya dengan berpuasa sunat. Tetapi, boleh juga dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunat yang lain seperti membaca al-Qur’an, memperbanyakkan selawat, menceritakan atau mendengarkan tentang kisah Nabi Muhammad s.a.w.; kemuliaannya di sisi Allah s.w.t., bersedekah kepada fakir miskin, membuat jamuan makanan dan lain-lain lagi ibadah sunat yang dipandang baik di sisi syarak.

   Kata Sheikh Al-Hafiz Abu al-Fadhl Ibnu Hajar:
“Asal usul amalan maulid adalah bid’ah yang tidak pernah dinukilkan daripada generasi salafus soleh sejak tiga abad dari zaman kenabian. Walaupun begitu, dalam amalan ini terangkum perkara-perkara yang baik, dan perkara yang sebaliknya. Sesiapa yang melakukan amalan yang baik dan menjauhkan amalan yang buruk, maka amalan itu dikira sebagai bid’ah yang baik.”

   Menurutnya lagi:
“Ternyata kepada saya bahawa amalan ini mempunyai asasnya, iaitu seperti yang disebutkan dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa apabila Nabi s.a.w. sampai ke Madinah, baginda dapati orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Lantas Nabi bertanya kepada mereka tentang hal itu. Mereka menjawab: Hari ‘Asyura’ ialah hari Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Nabi Musa. Lantaran itu kami menyatakan kesyukuran kepada Allah.”

   Berikut hadis yang lengkap:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا يَعْنِي عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ وَهُوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ فَقَالَ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.

Ertinya:
“Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. ketika tiba di Madinah, mendapati mereka (orang Yahudi) berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka berkata: Ini adalah hari raya iaitu hari ketika Allah menyelamatkan Musa dan menenggelamkan Fir’aun, lalu nabi Musa a.s. berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Akulah yang lebih utama (dekat) terhadap Musa dibandingkan dengan mereka. Maka Baginda berpuasa pada hari itu dan menganjurkan umatnya berpuasa pada hari itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

   Syeikh Jalaluddin al-Suyuti berkata:
“Amalan maulid Nabi s.a.w. dilakukan dalam bentuk perkumpulan manusia, membaca sesuatu daripada al-Qur’an, meriwayatkan kisah-kisah yang berkaitan dengan perjuangan  awal Rasulullah s.a.w., tanda-tanda kebesaran yang berlaku semasa keputeraan baginda. Kemudian diadakan jamuan makanan. Kemudian mereka pun beredar tanpa membuat apa-apa penambahan yang lain. Amalan ini termasuk dalam bid’ah hasanah (sesuatu yang baik), yang diberikan pahala kepada mereka yang menjalankannya. Ini kerana di dalam amalan ini terdapat unsure penghormatan dan pengagungan terhadap taraf Nabi s.a.w., menzahirkan rasa gembira dan sukacita dengan keputeraan Nabi yang mulia.” 

   Menurut Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah:
“Memuliakan hari Maulid Nabi dan menyelenggarakan peringatannya secara rutin banyak dilakukan orang. Mengingat maksudnya yang baik dan bertujuan memuliakan Rasulullah s.a.w., adalah layak jika dalam hal itu mereka beroleh ganjaran pahala yang besar.” (Iqtidha’us Shirath al-Mustaqim-Ibnu Taimiyyah)

   Berkata pula Mufti Mesir, Dr. Ali Jum’ah:
"Sesungguhnya Salafussoleh telah mengamalkan sambutan maulid sejak kurun yg ke 4 dan ke 5 lagi. Mereka menghidupkan malam Maulid dengan melakukan pelbagai ibadah seperti menjamu makanan, membaca al-Quran dan zikir, mendendangkan syair-syair dan puisi-puisi memuji Baginda s.a.w. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ramai ahli sejarah dan ulama seperti Ibnul Jauzi, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar dan Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi, semoga Allah merahmati mereka semua."

   Mahmud Basya, seorang ahli falak Islam yang agung telah membuat pengiraan akan tarikh kelahiran Nabi s.a.w. dan mendapati tarikh itu menunjukkan 9 Rabi’ul Awwal, bukan 12 Rabi’ul Awwal seperti tarikh yang disebutkan oleh Ibnu Ishaq, seorang ahli sejarah Islam yang agung, yang ada dinyatakan di dalam kitab al-Sirah al-Nabawiyyah li Ibn Hisyam. Lalu, sebahagian pihak menjadi lebih cenderung untuk mendukung pendapat Mahmud Basya kerana beliau merupakan seorang yang ahli dalam ilmu falak dan menolak mentah-mentah pendapat ahli sejarah Islam, Ibnu Ishaq.

   Lagi menurut pihak yang menolak bahawa 12 Rabi’ul Awwal itu merupakan tarikh kewafatan Baginda s.a.w., maka tidak boleh menyambut pada tarikh berkenaan kerana seolah-olah menyambut kewafatan Rasulullah s.a.w..

   Saya secara peribadi melihat hujah pihak yang menolak ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak daripada meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal. Ini kerana kalau mereka berpendapat demikian, maka mereka juga dilarang sama sekali dari berpuasa pada hari Isnin kerana Nabi s.a.w. wafat pada hari Isnin. Padahal, berpuasa pada hari Isnin bertujuan bagi meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w.. Oleh sebab itu, dalam hal ini, berbalik kepada niat ibadah tadi. Kalau niatnya semata-mata untuk beribadah pada hari atau tarikh kelahiran Nabi s.a.w. demi mengharapkan keredaan Allah s.w.t. maka demikian itu sangat baik.

   Selain itu, ada kaedah yang menyebut bahawa “ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad”. Secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa pengiraan Mahmud Basya tadi hanyalah merupakan sebuah ijtihad yang boleh diterima dan ditolak, sama juga seperti tarikh yang dinyatakan oleh Ibnu Ishaq. Maka, perselisihan ini tidak boleh dijadikan hujah bagi menolak dari meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal.

   Berkaitan dengan percampuran pergaulan antara lelaki dan wanita serta pembaziran makanan, hal ini tidak menolak hukum asal keharusan menyambut Maulidur Rasul. Ini kerana masalah-masalah tadi merupakan sesuatu yang bersifat mendatang, bukan sedia ada. Jadi, ia hanya haram setakat berlakunya perbuatan itu terjadi tetapi masih harus meraikan sambutan Maulidur Rasul tanpa sebarang kemaksiatan.

   Natijahnya, apa-apa yang baik yang mempunyai dasarnya di sisi syarak seperti sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bagi memuliakan Rasulullah SAW wajar diterima dan disambut baik oleh masyarakat Islam umumnya. Semoga sambutan Maulidur Rasul yang diadakan secara baik tanpa melakukan perkara-perkara yang munkar mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT. Wallahu a’lam bis shawab.


Rujukan:
  1. Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam.
  2. Nurul Yaqin. (Dr. Khudari Bik)
  3. al-Raheeq al-Makhtum. (Sofiyurrahman al-Mubakfuri)
  4. Argumentasi Ulama Syafi’iyyah. (Mujiburrahman)
  5. Liku-liku Bid’ah dan Masalah Khilafiyyah. (alHamid alHusaini)
  6. al-Bayanul Qowim Litashih Ba’dhil Mafahim. (Dr. Ali Jum’ah)
  7. Itqan as-Shan’ah fi Tahqiq ma’na al-Bid’ah. (Sheikh Abdullah al-Ghumari)
  8. al-Bid’ah fil Mafhum al-Islami ad-Daqiq. (Dr. Abd Malik Abd Rahman as-Sa’di)