Saturday, February 12, 2011

Baca Surah Yasin Pada Malam Jumaat




   Masyarakat Melayu Islam di Malaysia sudah lazim membaca surah Yasin pada malam Jumaat. Amalan ini bukan baru dikerjakan sekarang tetapi ianya sudah berlarutan lama dahulu. Kini, muncul sebahagian orang yang lantang menegaskan bahawa amalan ini suatu bid’ah, dan pelaku bid'ah akan dicampak ke dalam api neraka. Kemudian, orang yang mendengar sesi ceramah mereka yang menolak membaca surah Yasin pada malam Jumaat ini berasa gusar, sedih dan kesal serta berada dalam dilema yang berpanjangan tentang apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini.

   Ahli ilmu itu berpendapat bahawa amalan membaca surah Yasin pada malam Jumaat merupakan bid’ah kerana bertentangan dengan galakan membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat.
عَنْ أَبِى سَعِيدٍ الْخُدْرِىِّ قَالَ : مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.
Maksudnya:
Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya: Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya akan memancar baginya daripada cahaya antara ia dengan Baitul Atiq yakni Kaabah. Riwayat ad-Darimi.

   Juga menurut mereka, amalan membaca surah Yasin secara berterusan ini amat dilarang pada malam Jumaat berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : لاَ تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِى وَلاَ تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الأَيَّامِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ فِى صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ.
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang telah bersabda: Jangan kamu mengkhususkan pada malam Jumaat untuk bangun beribadah di antara malam-malam lainnya. Dan jangan kamu mengkhususkan berpuasa pada hari Jumaat di antara malam-malam lainnya. Melainkan jika kamu sudah biasa mengerjakannya. Riwayat Muslim.

   Sebenarnya memang timbul salah faham jika tidak memahami dua hadis ini secara kritis. Kita perlu ingat bahawa membaca al-Qur’an tanpa mengira mana-mana surah hukumnya Sunat. Dan membaca al-Qur’an ini tidak terikat dengan masa. Maka, pada bila-bila masa sahaja kita boleh membaca al-Qur’an. Selain itu, membaca mana-mana surah daripada al-Qur’an akan memperoleh syafaat untuk ke syurga, dan bukan ke neraka. Andai ada yang menyebutkan bahawa membaca surah Yasin pada malam Jumaat akan dilempar ke dalam api neraka, ketahuilah ia seorang pendusta dan sekiranya anda percaya kata-kata mereka ternyata anda sendiri sudah tertipu olehnya.
عَنْ أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِىُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya:
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. berkata bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah al-Qur’an, kerana ia datang pada hari kiamat kelak sebagai pemberi syafaat bagi pembacanyaRiwayat Muslim.

   Oleh yang demikian, ulama yang membenarkan membaca surah Yasin pada malam Jumaat dapat menjawab secara automatik bahawa hukum membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat bukan Wajib, tetapi hanya Sunat sahaja. Apakah boleh amalan yang hukumnya Sunat (yakni membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat) menegah atau mengharamkan amalan yang hukumnya juga Sunat (iaitu membaca surah Yasin)? Tidak patut andai keluar dari tutur kata anda bahawa amalan Sunat menegah amalan Sunat yang lain.

   Adapun hukum mengkhususkan ibadah pada malam Jumaat dan puasa pada Hari Jumaat ialah Makruh. Realitinya, orang-orang yang membaca surah Yasin pada malam Jumaat tidak sekadar membacanya pada malam itu sahaja, bahkan setiap kali bertemu dengan orang-orang yang sudah nazak dan meninggal dunia.

   Sebenarnya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari (ulama) telah menerangkan di dalam kitabnya Sabilal Muhtadin bahawa maksud hadis tersebut ialah makruh mengkhususkan solat sunat pada malam Jumaat. Kata beliau: "Makruh mengkhususkan solat (sunat) pada malam Jumaat kerana Nabi s.a.w. bersabda: [Jangan kamu mengkhususkan ibadah solat pada malam Jumaat di antara malam lainnya]. Tetapi kalau mengkhususkan malam Jumaat untuk membaca selawat dan membaca al-Qur'an tidaklah Makruh bahkan Sunat."  

   Hendaklah kita ketahui bahawa lebih dituntut (muakkad) membaca surah al-Kahfi pada siang hari Jumaat tempohnya selepas solat Subuh sampai sebelum khutbah Jumaat. Ini seperti yang telah disebutkan oleh Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari dalam kitabnya Fathul Mu’in:
(و) سن (قراءة) سورة (كهف) يوم الجمعة وليلتها، لاحاديث فيها.وقراءتها نهارا آكد، وأولاه بعد الصبح، مسارعة للخير.
Maksudnya:
Sunat membaca surah al-Kahfi pada siang hari Jumaat atau pada malam harinya berdasarkan hadis yang menerangkannya. Membaca pada siang hari dihukumi lebih muakkad (dituntut), dan yang paling utama dilakukan setelah solat Subuh, segera lebih baik..

   Amalan membaca surah Yasin pada malam Jumaat itu disebabkan ingin menyampaikan bacaan surah tersebut kepada orang Islam (Muslim) yang mati dari semasa ke semasa. Galakan membaca surah Yasin kepada orang yang telah mati dapat kita lihat berdasarkan sebuah hadis:
عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس  
Maksudnya:
Daripada Ma’qil bin Yasar, Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda: Bacakanlah ke atas orang telah mati di antara kamu Surah Yasin. Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

   Imam ad-Daruquthni menilai hadis ini tidak Sahih. Maka ada ulama hadis yang menilai hadis tersebut Daif seperti Sheikh al-Albani. Tetapi Imam an-Nawawi berkata di dalam kitab al-Adzkar bahawa Imam Abu Daud tidak menilainya Daif. Bahkan, Sheikh Ibnu Hibban menilainya Sahih. Ianya diperselisihkan oleh para ahli hadis, maka berlapang dada lebih baik. 

   Kesimpulannya, jika anda mahu membaca al-Qur'an buat orang yang meninggal dunia, maka lebih utama membaca surah Yasin pada malam Jumaat. Berdasarkan hadis Rasululullah s.a.w. bersabda: "Bacakanlah surah Yasin buat orang yang meninggal dunia di antara kamu." (Riwayat Ibnu Hibban). 

   Akan tetapi, jika mahu mendapatkan lebih banyak pahala, lebih utama jika membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat. Sebab, semakin panjang sesuatu surah, semakin banyak dapat ganjaran pahala, selain itu dapat mengikuti sunnah; seolah-olah meraih cahaya yang memancar antara dirinya dengan Kaabah. 

Wallahu a'lam bis shawab.

5 comments:

  1. Saya berpendapat yg membaca surah yasin pada malam jumaat dengan niat baik dan iklas adalah satu amalan suci, sebelum mengetahui pelbagai pendapat dari ahli ahli ilmu.
    Bagi saya, dolak dalik mengenai isu ini adalah tidak sesuai dengan keadaan surau dan masjid masjid yg masih lengang, dan menambah bantutnya usaha usaha kita untuk menggalak saudara saudara muslimin setempat pergi berjemaah.

    ReplyDelete
  2. Apa yang masyarakat faham ialah baca Yasin pada malam jumaat satu keutamaan walhal ianya di larang kerana menjadi rutin dan ketetapan apabila diamalkan. Bacalah mana mana ayat Al Quran tidak pilih malam malam tertentu, adalah mengikut sunnah.

    ReplyDelete
  3. Sebenarnya hadis baca Yasin itu salah diertikan untuk' orang mati' kerana bahasa arab '...mautakum...; ertinya orang yang hampir mati yakni sedang nazak. Jadi tafsiran sebenar hadis amat berbeza dengan pengertian orang yang sudah mati.

    ReplyDelete
  4. http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/2014/01/kelebihan-surah-yasin.html

    ReplyDelete
  5. lebih baik baca al kafi sbb dpt phala baca quran dan pahala ikut sunnah

    ReplyDelete