Saturday, February 12, 2011

Sentuh Wanita Batal Wuduk

  Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad. Inilah kaedah fiqh yang dapat menjelaskan kepada kita bahawa perbezaan pendapat dalam kalangan mujtahid mutlak seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad menjadi hujah. Ini kerana mereka tidak hanya berhujah tanpa dalil yang kukuh.

   Perbezaan pendapat mereka sama ada sentuh wanita akan membatalkan wudhuk atau tidak, berpunca daripada perbezaan pemahaman tentang maksud lafaz pada ayat 43 surah an-Nisa’ dan surah al-Maidah ayat 6:

وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ
 فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً

Maksudnya:
Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air.




   Imam Abu Hanifah fahami maksud sentuh tersebut dengan maksud majaz. Manakala Imam Syafi’i memahami maksud tersebut bukan majaz. Keduanya dipandang baik.

   Hujah Imam Abu Hanifah ialah berdasarkan penafsiran seorang sahabat nabi yang pakar ilmu al-Qur’an iaitu Abdullah bin Abbas r.a.. Di samping itu, terdapat hadis daripada Saidatina Aisyah r.a. yang menyebut bahawa ia pernah tersentuh kaki Nabi s.a.w. ketika baginda sedang solat.
عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهَا قَالَتْ كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَىْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلاَىَ فِى قِبْلَتِهِ ، فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِى ، فَقَبَضْتُ رِجْلَىَّ ، فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا . قَالَتْ وَالْبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ.
Maksudnya:
Daripada Saidatina Aisyah r.a. isteri Nabi s.a.w. sesungguhnya ia berkata: Aku pernah tidur dalam keadaan kedua kakiku di hadapan kiblat Rasulullah s.a.w. kemudian apabila baginda mahu sujud ia memegang kakiku, lalu aku pun mengalihkan kakiku. Apabila baginda bangun aku kembali melunjurkan kakiku. Ketika itu tiada lampu dirumah. Riwayat al-Bukhari.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَيْلَةً مِنَ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِى عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِى الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ « اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لاَ أُحْصِى ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ ».
Maksudnya:
Daripada Saidatina Aisyah r.a. berkata sesungguhnya aku telah kehilangan Rasulullah s.a.w. pada suatu malam di tempat tidurku. Aku meraba-raba untuk mencari baginda, lalu kedua tanganku tersentuh perut kakinya. Ketika itu baginda berada di dalam masjid dan sedang menegakkan kakinya serta berdoa: Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu. Riwayat Muslim.

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلاَةِ وَلَمْ يَتَوَضَّأْ.
Maksudnya:
Daripada Saidatina Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. mencium sebahagian isterinya kemudian keluar menunaikan solat tanpa berwudhuk lagi. Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, menurut Imam al-Bukhari hadis ini Daif. 

   Demikian hujah yang disertai dalil yang cukup baik oleh mazhab Hanafi yang berpendapat sentuh wanita tidak membatalkan wudhuk. Imam Malik dan Imam Ahmad pula berpendapat bahawa persentuhan dengan nafsu syahwat sahaja yang akan membatalkan wudhuk. Ini berdasarkan pemahaman kritis terhadap semua dalil yang telah dibentangkan dan termasuklah atsar daripada sahabat berikut:
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ كَانَ يَقُولُ مِنْ قُبْلَةِ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ الْوُضُوءُ. رواه مالك.
Maksudnya:
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. sesungguhnya ia berkata: Daripada ciuman seorang lelaki kepada kepada isterinya, hendaklah berwudhuk. Riwayat Malik.

   Manakala Imam Syafi’i tegas mengatakan bahawa maksud persentuhan dengan wanita berdasarkan surah an-Nisa’ ayat 43 dan surah al-Maidah ayat 6 tadi bukan dengan pengertian majaz (jimak), tetapi persentuhan sebenar berdasarkan pemahaman kritis beliau terhadap semua dalil berkaitan dengan masalah ini dan termasuklah atsar daripada sahabat berikut:
عن سالم بن عبد الله عن أبيه قال قبلة الرجل امرأته وجسها بيده من الملامسة فمن قبل امرأته أو جسها بيده فعليه الوضوء. رواه مالك.
Maksudnya:
Daripada Salim bin Abdullah daripada bapanya, Abdullah bin Umar r.a. berkata: Lelaki yang mencium isterinya atau menyentuhnya dengan tangan berlaku daripadanya  persentuhan.  Maka siapa yang mencium isterinya atau menyentuhnya dengan tangan, hendaklah berwudhuk. Riwayat Malik.

   Imam Syafi’i juga menjawab bahawa hadis-hadis Aisyah r.a. yang menunjukkan kemungkinan persentuhan yang terjadi itu adalah persentuhan dengan berlapik yang tidak akan membatalkan wudhuk atau persentuhan itu hanya khusus kepada Nabi s.a.w. sahaja.

   Namun, kebanyakan ulama yang berbeza pendapat dengan Imam Syafi’i berpandangan bahawa pendapat beliau itu lemah jika ditinjau berdasarkan zahir hadis. Sekali lagi saya berpendapat bahawa suatu ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad. Oleh itu, saya bersetuju juga dengan kata-kata Imam as-Suyuthi di dalam kitabnya, al-Itqan fi Ulum al-Qur’an:
وقد خرجت على هذا قديماً الاختلاف الوارد عن ابن عباس وغيره في تفسير آية أولا مستم هل هو الجماع أوالجس باليد. فالأول تفسير لقراءة لامستم. والثاني لقراءة لمستم ولا اختلاف.
Dan sejak dahulu saya memahami perbezaan daripada Ibnu Abbas dan lainnya pada tafsir dari ayat أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ apakah maknanya adalah jimak atau persentuhan dengan tangan? Tafsiran yang pertama adalah berdasarkan bacaan (qiraah) لَامَسْتُم dan tafsiran yang kedua adalah berdasarkan bacaan (qiraah) لَمَسْتُم. Jadi, tiada perbezaan.  

   Qiraah yang kedua berdasarkan Qiraah Mutawatir daripada Imam Hamzah dan al-Kisa’i. Manakala Imam Qiraat Mutawatir lainnya membaca dengan Qiraah yang pertama.  Intihanya, berlapang dada dalam menghadapi perbezaan pendapat antara kita sesama muslim wajar dipertimbangkan oleh setiap pihak. Ini kerana para imam mujtahid mutlak tidak berhujah tanpa dalil. Dan saya secara peribadi mengesyorkan supaya para lelaki atau wanita berwuduk kembali jika ingin mengerjakan solat Fardu setelah terjadi persentuhan dengan sesama mereka. Ini kerana hadis Aisyah r.a. yang tersentuh kaki Nabi s.a.w. ketika sedang solat itu merupakan solat Sunat, bukan solat Fardu. Oleh itu, pendapat Imam Syafi'i-lah yang dipandang lebih terjamin (ihtiyathi). 
 
Wallahu a’lam bis shawab.

Rujukan:
1. al-Umm.
2. al-Fiqh al-Manhaji 'ala Madzhab asy-Syafi'i.
3. al-Itqan fi Ulum al-Qur'an.
4. Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtashid.
5. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu.
6. Asybah wan Nazho'ir.
7. Kitab Ma'ani al-Qiraat. Al-Azhari.

3 comments: