Monday, September 19, 2011

Tafsir Surah Al-Hadid ayat 27




Firman Allah SWT:

ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَى آَثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآَتَيْنَاهُ الْإِنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلَّا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآَتَيْنَا الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ

Ertinya:
Kemudian Kami iringkan di belakang mereka dengan rasul-rasul Kami, dan Kami iringkan (pula) dengan Isa putera Maryam, dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang yang fasik.” [Al-Hadid: 27]


Terdapat dua penafsiran oleh mufassirun (para ahli tafsir) berkenaan dengan ayat ini:
  1. Secara ringkas maksud ayat ini adalah ditujukan kepada orang-orang yang mengadakan rahbaniyyah, akan tetapi mereka mengingkari (tidak mahu beriman) dengan nabi Allah yang datang kepada mereka iaitu Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Maka, perbuatan rahbaniyyah tadi dikira jelek (bid’ah).
  2. Menurut sebahagian mufassirun, ayat ini bererti bolehnya melakukan rahbaniyyah, tetapi dengan dua kemestian, iaitu (1) selaras dengan tuntutan syarak semasa (tidak bercanggah dengan syariat Islam) dan (2) istiqamah dalam mengerjakannya.

Penafsiran pertama mengikut hadis:
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, ia berkata: Rasulullah SAW bertanya kepadaku: Wahai Ibnu Mas’ud! “Ya, saya”, jawabku kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Tahukah kamu bahawa Bani Israel berpeceah kepada 72 golongan. (Namun) yang selamat hanya 3 golongan sahaja, iaitu (golongan) selepas Nabi Isa dan di celah-celah kerajaan tirani dan dictator (pada masa itu). Mereka ialah:

  1. Golongan yang tampil berdakwah kepada agama Allah dan agama Isa bin Mayram. Mereka memerangi para pemerintah tirani. Ramai terbunuh, namun, mereka sabar dan akhirnya mereka berjaya dan selamat.
  2. Golongan yang menyeru kepada agama Allah dan agama Isa bin Maryam. Mereka berjuang memerangi raja-raja dictator dan pemerintah tirani. Ramai dalam kalangan mereka terbunuh, digergaji dan dibakar dengan api. Tetapi mereka tabah dan akhirnya berjaya dan selamat.
  3. Golongan ini tidak berdaya untuk berperang dan berjuang. Tidak mampu menegakkan keadilan. Mereka hanya mampu membawa diri di gua-gua untuk beribadat dan menjadi rahib. Golongan inilah yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat (yang ertinya): “…mereka mengada-adakan rahbaniyyah, padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka…” (Al-Hadid: 27)

Penafsiran kedua berdasarkan hadis:
Said bin Mansur dan Ismail al-Qadhi meriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili RA, ia berkata, “Kalian mengadakan qiyamulail pada bulan Ramadan padahal hal demikian tidak diwajibkan atas kalian. Apa yang diwajibkan atas kalian hanyalah puasa. Maka, teruskanlah bangun malam jika kamu memang mengerjakannya dan jangan kamu tinggalkan, kerana Bani Israel mengadakah bid’ah yang tidak diwajibkan oleh Allah kepada mereka semata-mata tujuan mencari keredhaan Allah, namun mereka tidak memeliharanya dengan semestinya. Oleh sebab itu, Allah menegur mereka kerana meninggalkannya.” Ia lalu membaca, “…dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah…” (Al-Hadid: 27)

Terdapat beberapa kesimpulan yang boleh kita ambil:
  1. Boleh menggunakan ayat ini untuk menentang perkara bid’ah, tetapi pengecualian kepada bid’ah hasanah atau disebut juga sebagai sunnah hasanah dalam syariat Islam.
  2. Istiqamah dalam mengerjakan rahbaniyyah atau bid’ah hasanah adalah penting. Sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya al-Tafsir al-Munir:

هذه الآية : ورهبانية ابتدعوها... دالة على أن كل محدثة بدعة، فينبغي لمن ابتدع خيراً أن يدوم عليه ولا يعدل عنه إلى ضده فيدخل في الآية.
Ertinya:
Ayat ini, “..dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah..” menunjukkan bahawa setiap perkara yang baru itu adalah bid’ah. Justeru, wajar bagi sesiapa yang mengerjakan bid’ah yang baik (bid’ah hasanah/ sunnah hasanah) agar konsisten (istiqamah) dalam mengerjakannya dan tidak menyimpang daripada maksud asal...”

Wallahu a’lam bis shawab.

Sumber:
  1. Al-Tafsir al-Munir. Dr. Wahbah al-Zuhaili. Dar al-Fikr. 1998 M/ 1418 H.
  2. Tafsir al-Jalalain. Imam Jalaluddin al-Mahali & Imam Jalaluddin al-Suyuti.
  3. Itqan al-Shan’ah. Syeikh Abdullah ibn al-Siddiq al-Ghumari.
  4. Al-I’tisham. Imam al-Syatibi.


No comments:

Post a Comment