Saturday, February 12, 2011

Al-Asy’ari dan al-Maturidi

Imam al-Asy’ari
   Imam al-Asy’ari atau nama sebenarnya, Abu al-Hasan Ali bin Ishaq al-Asy’ari, telah dilahirkan di Basrah pada tahun 260 H/ 874 M. Berdasarkan retrospeksi ulama, Abu al-Hasan al-Asy’ari pada mulanya telah berguru dengan al-Jubba’i yang bermazhab Muktazilah. Kemudian apabila usianya telah mencapai 40 tahun, beliau beralih ke mazhab Ahli Sunnah. Sekaligus membuktikan bahawa mazhab Ahli Sunnah memang sudah wujud sebelum perpindahan Abu al-Hasan al-Asy’ari ke dalamnya. Perpindahan ini terjadi akibat perselisihan pendapat beliau dengan gurunya yang bermazhab Muktazilah. Sejak peristiwa itu, Abu al-Hasan al-Asy’ari mula aktif berdebat dengan para pengikut Muktazilah yang lain demi membela mazhab Ahli Sunnah. Imam al-Asy’ari mempunyai sekolah atau tempat pengajaran sendiri bagi menyampaikan pelajaran Akidah Ahli Sunnah. Ketokohan beliau dalam bidang Akidah telah mengangkat kedudukannya di mata pengikut mazhab Ahli Sunnah. Beliau telah wafat pada tahun 324 H/ 935 M.

Imam al-Maturidi  
   Imam al-Maturidi atau nama sebenarnya ialah Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi. Panggilan al-Maturidi diambil sempena nama tempat asalnya iaitu, Maturid. Seperti Imam al-Asy’ari, Imam al-Maturidi juga mempunyai sekolah sebagai tempat untuk menyebarkan Akidah mazhab Ahli Sunnah. Beliau telah wafat pada tahun 333 H/ 944 M.



Perbezaan Antara Aliran al-Asy’ari dan al-Maturidi
   Hakikatnya terdapat banyak perbezaan pelajaran antara Aliran al-Asy’ari dan al-Maturidi. Di sini, saya hanya menyebutkan sebelas sahaja perbezaan antara dua aliran tersebut.

   Pertama, Aliran al-Asy’ari atau terkenal dengan sebutan Asya’irah berpendapat bahawa kehendak Allah s.w.t. tidak terikat dengan apa pun. Tetapi, Aliran al-Maturidi atau terkenal dengan panggilan Maturidiyah mengakui bahawa manusia mempunyai kebebasan kehendak.

   Kedua, Asya’irah berpandangan bahawa Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa boleh menyalahi ancaman-Nya. Namun, Maturidiyah berpandangan bahawa Allah s.w.t. yang Maha Benar tidak boleh menyalahi ancaman-Nya.

   Ketiga, Asya’irah berpendapat bahawa bahagia atau celakanya pada kematian seseorang sudah ditentukan sejak azali. Tetapi, Maturidiyah berpendapat bahawa kebahagiaan atau kecelakaan seseorang adalah merupakan keadaan sekarang.

   Keempat, Asya’irah mengatakan bahawa harus atau boleh jika seseorang itu untuk menyebut, “Insya Allah, saya mukmin”. Namun, Maturidiyah menegaskan bahawa tidak boleh mengucapkan, “Insya Allah, saya mukmin”.

   Kelima, Asya’irah berpendapat menegaskan bahawa Qadha kembali kepada sifat zat atau ianya Qadim (Bukan Baharu). Tetapi, Maturidiyah mengatakan bahawa Qadha kembali kepada sifat perbuatan.

   Keenam, Asya’irah mengatakan bahawa Qadar kembali kepada sifat perbuatan atau ianya Jadid (Baharu). Berbeza dengan Maturdiyah yang berpendapat bahawa Qadar kembali kepada sifat Ilmu.

   Ketujuh, Asya’irah berpendapat bahawa para nabi lebih mulia daripada para malaikat. Dan para malaikat lebih mulia daripada manusia selain nabi. Bertentangan dengan pendapat Maturidiyah yang mengatakan bahawa para Rasul dalam kalangan manusia lebih mulia daripada para rasul dalam kalangan malaikat. Manakala, para rasul malaikat lebih mulia daripada manusia secara umum (selain rasul). Dan para manusia selain rasul lebih mulia daripada malaikat secara umum.

   Kelapan, Asya’irah mengatakan bahawa taubat tidak akan diterima pada waktu ghargharah (saat nyawa dicabut) dan pintu taubat akan ditutup apabila matahari terbit pada arah Barat. Maturidiyah pula mengatakan bahawa taubat orang kafir yang tidak diterima secara khusus, tetapi taubat orang yang beriman yang melakukan maksiat masih dapat diterima.

   Kesembilan, Asya’irah berpendapat bahawa sifat Maani ada tujuh. Namun, Maturidiyah menambah satu lagi sifat Maani, iaitu Takwin, dan jumlah menjadi lapan.

   Kesepuluh, Asya’irah mengatakan bahawa sifat perbuatan (fi’il) merupakan kejadian yang baharu. Ini berbeza dengan Maturidiyah yang menegaskan bahawa sifat perbuatan (fi’il) Allah merupakan sifat yang Qadim (Bukan Baharu) dan berdiri dengan zat Allah.

   Terakhir, Asya’irah menegaskan bahawa wajibnya mengenali Allah (Makrifatullah) melalui hukum Syarak dan disyaratkan juga penyertaan akal. Sebaliknya, Maturidiyah berpendapat bahawa kewajipan mengenali Allah (Makrifatullah) adalah dengan akal.

   Demikianlah perbezaan antara Asya’irah dan Maturidiyah. Dan perbezaan ini tidak membuat keduanya terkeluar daripada mazhab Ahli Sunnah, kerana perbezaan mereka disandarkan pada dalil yang dapat dipastikan kehujahannya. Oleh itu, semoga kedua aliran ini sentiasa berganding bahu dan berusaha membela mazhab Ahli Sunnah demi menjaga kemurnian agama Islam.

Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalaamu ‘alaikum warahmatullahi wabaarakatuh.   

Rujukan:
1) Hidayatul Murid ila Jauharit Tauhid. Syeikh Bakri Rejab.
2) Aqidatun Najin. Zainal Abidin Muhammad al-Fatani. 

4 comments:

  1. Assalamualaikum sheikh lutfi aljohori, saya ingin kalau boleh dapat diberi contoh pada setiap perbezaan supaya bertambah faham akan saya

    suffian

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumus salaam sheikh Suffian. Perbezaan ini disebabkan penelitian ulama terhadap kesemua dalil syarak dan berdasarkan ijtihad mereka. Contohnya, Allah s.w.t. telah menyatakan di dalam al-Qur'an bahawa mereka yang memakan riba' itu kelak akan dimasukkan di dalam neraka (Surah al-Baqarah ayat 275). Nah, itu merupakan suatu bentuk ANCAMAN. Namun, persoalannya adakah ancaman ini merupakan suatu bentuk JANJI YANG PASTI?? Maka, ulama berselisih pendapat. Imam al-Asy'ari berpendapat Allah boleh menyalahi ancamannya (rujuk contoh no.2 dlm artikel ini) yakni memberikan keampunan dan memasukkan orang tersebut ke dalam Syurga. Akan tetapi, Imam al-Maturidi mengatakan bahawa Allah s.w.t. tidak boleh menyalahi ancamannya yakni orang tersebut mesti diseksa dahulu di dalam neraka. Wallahu a'lam bis shawab.

    ReplyDelete
  3. salam ustaz,bolehkah dilanjutkan perbincangan dgn cth pada perbezaan ke 5,6,7,8,9;10,tima kasih ustaz,saya faham sifat istigna dan sifat iftiraq dlm kuliah ust kazim dgn jelas
    Suffian

    ReplyDelete