Tuesday, October 22, 2013

Sesatkah Konsep Nur Muhammad?


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Segala pujian bagi Allah SWT dan selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW berserta keluarganya. 

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian, 
Pada kali ini penulis berminat untuk membawakan perbincangan tentang konsep Nur Muhammad. Apakah yang dimaksudkan dengan Nur Muhammad? Dan apa pula hukum meyakininya menurut ulama?

KONSEP NUR MUHAMMAD

Berdasarkan pengamatan penulis, terdapat beberapa versi tafsiran tentang Nur Muhammad. Wujudnya beberapa versi ini adalah kerana tafsiran atau pemahaman tentangnya adalah berbeza-beza. Antaranya:

Versi Tafsiran Pertama: 
Nur Muhammad ada sebelum adanya makhluk. Maka Nur Muhammad adalah wujud azali. Ini adalah merupakan kepercayaan sebahagian orang yang didapati oleh penyelidik.

Versi Tafsiran Kedua: 
Nur Muhammad adalah seawal-awal makhluk ciptaan Allah SWT dan bersifat dengan sifat yang baharu (bukan qadim), dan tidak pula terdapat padanya unsur-unsur ketuhanan.

Versi Tafsiran Ketiga: 
Nabi Muhammad SAW adalah nur (cahaya). Ia berdasarkan daripada firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 15, mafhumnya: 

"Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah, cahaya (yakni Rasulullah SAW) dan kitab yang jelas (yakni al-Quran)." 

Oleh itu, baginda Muhammad SAW adalah nur (cahaya) yang menerangi. Rasul yang menyampaikan kebenaran. Yang menerangi kegelapan yang menyelubungi manusia. Cahaya dari segi fizikal, tugasnya sebagai penyuluh kepada kebenaran dan kiasan kepadanya.  

HUKUM MEYAKININYA MENURUT ULAMA

Versi Tafsiran Pertama:
Menurut para ulama, konsep Nur Muhammad berdasarkan tafsiran pertama ini adalah sesat. Dan haram bagi setiap orang berpegang kepadanya. 

Ini kerana jika Muhammad ada sebelum adanya makhluk, maka Muhammad tidak termasuk makhluk, dan apa yang wujud sebelum makhluk adalah Allah, maka keyakinan bahawa Muhammad adalah sejuzuk atau zat daripada Allah SWT itu jelas bertentangan dengan akidah Islam. 

Versi Tafsiran Kedua: 
Menurut Jabatan Mufti Sarawak, konsep Nur Muhammad berdasarkan tafsiran yang kedua ini adalah tidak bercanggah dengan akidah dan syariah Islam. 

Ini kerana tidak sedikit ulama yang berpendapat sedemikian, antaranya Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami, Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikh Ja'far al-Barzanji dan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani dan lain-lain. 

Versi Tafsiran Ketiga: 
Tafsiran yang ketiga ini adalah bersumberkan daripada seorang mufti besar Republik Mesir iaitu Syeikh Dr. Ali Jum'ah dalam kitab Bayanul Qawim Litashih Ba'dhil Mafahim. Beliau berpendapat Nabi Muhammad SAW adalah nur dan kepercayaan itu adalah benar serta merupakan dasar dalam akidah Islam.

Sebenarnya penulis sekadar mengkaji dan mengamati perbezaan pemahaman dan tafsiran yang pelbagai tentang hal ini. Dan penulis tidak ingin menyatakan pendirian penulis yang sebenar. Walau bagaimanapun, penulis sangat senang hati dengan versi tafsiran ketiga oleh Dr. Ali Jum'ah itu. 

Oleh yang demikian, sebelum kita menuduh seseorang sesat kerana mempercayai Nur Muhammad, adalah wajar bertanya kepadanya kefahamannya tentang konsep tersebut. Dan jika tafsiran yang diberikan, jangan cepat-cepat menuduhnya sesat, tetapi sampaikanlah kepadanya tafsiran yang murni dan sebenar, yang bebas daripada pengaruh falsafah sesat. 

Sekian,
Wabillahi tawfiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sumber:
Buku
1. Fatwa Syeikh Ali Jumaah. Albaqir Enterprise. Penter: Abu al-Baqir al-Dusuqi.
2. Allah Antara Tasawuf Dengan Akidah. Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdulfatah Haron Ibrahim. 

Laman Web





2 comments: