Monday, March 25, 2013

Pendirian Imam al-Asy'ari Masalah Istiwa'


Pendirian Imam al-Asy'ari Masalah Istiwa'

Dengan nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala pujian ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW yang menjadi panutan (uswatun hasanah) bagi kita umatnya.

Dalam tulisan kali ini, saya suka untuk membawakan tentang ungkapan Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari tentang permasalahan istiwa’.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran:

الرحمن على العرش استوى

Ertinya:
“Allah Yang Maha Pemurah, beristiwa’ di atas Arasy.” (Thaha: 5)

Kata Imam al-Asy’ari dalam kitabnya al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah:

إن قال قائل : ما تقولون في الاستواء ؟ قيل له: نقول: إن الله عز و جل يستوي على عرشه استواء يليق به من غير طول استقرار

“Jika seseorang bertanya, bagaimana pendapat kamu tentang istiwa’? Maka katakanlah kepadanya, sesungguhnya Allah SWT beristiwa’ di atas ‘Arasy-Nya sesuai dengan kemuliaan-Nya dengan  tanpa menetap.”

Sebenarnya ucapan ini tidak bertujuan untuk menetapkan arah atau tempat bagi Allah SWT. Tetapi, soalan yang dikemukakan oleh seseorang kepada Imam al-Asy’ari itu, sekadar ingin mengetahui tentang pendirian Imam al-Asy’ari, sama ada beliau bersikap tafwidh (tidak mentakwil atau mentafsir) atau mengambil jalan takwil.

Maka, daripada ucapan Imam al-Asy’ari yang telah dinukilkan di atas, difahami daripadanya bahawa beliau tidak mengambil jalan takwil terhadap ayat tersebut. Beliau memilih untuk bersikap tafwidh, iaitu tidak mentakwilnya. Ini kerana para ulama dalam kalangan Ahli Sunnah berpendapat bahawa ayat tersebut adalah termasuk ayat mutasyabihat, yakni ayat yang tidak diketahui makna yang sebenarnya melainkan Allah SWT.

Dengan sebab itu jugalah, pada awal tulisan beliau telah menjelaskan tentang perkara istiwa’ ini:

وأن الله تعالى استوى على العرش على الوجه الذي قاله وبالمعنى الذي أراده استواء منزها عن الممارسة والاستقرار والتمكن والحلول والانتقال لا يحمله العرش بل العرش وحملته محمولون بلطف قدرته ومقهورون في قبضته .

Ertinya:
“Allah beristiwa’ di atas ‘Arasy adalah seperti yang telah Dia firmankan dan dengan makna yang dikehendaki-Nya. Allah beristiwa’ dengan tanpa memerlukan latihan, tanpa menempati tempat, tanpa menurun dan berpindah tempat. Allah tidak dipikul oleh ‘Arasy, bahkan ‘Arasy dan malaikat yang memikul ‘Arasylah yang dipikul dengan rahmat dan kekuasaan-Nya. Mereka tunduk di bawah kekuasaan-Nya.

Ungkapan beliau “tanpa menempati tempat” dan “tanpa menurun” menunjukkan bahawa Allah tidak bertempat dan berarah seperti makhluk. Dan beliau memilih untuk bersikap tafwidh tanpa mentakwil ayat Istiwa’. Sesungguhnya bersikap tafwidh (tidak banyak bicara tentang ayat mutasyabihat) adalah sikap para salafussoleh.

Kesimpulannya, tidak benar jika dikatakan bahawa Imam al-Asy’ari cenderung kepada fahaman Allah bertempat di atas ‘Arasy. Oleh yang demikian, pendirian Imam al-Asy’ari dalam masalah istiwa’ ialah beliau bersikap tafwidh dan tidak mentakwil, apatah lagi menetapkan bahawa ‘Arasy adalah tempat bagi Allah SWT.

Wallahu a’lam bis shawab. 

Sunday, October 28, 2012

Bank Islam Bantu Ummah Atau Cari Untung?




Bank Islam Bantu Ummah Atau Cari Untung?

Alhamdulillah, rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih dihidupkan dan masih diberi kemampuan untuk terus menulis di sini. Semalam ketika membaca majalah ‘Dewan Ekonomi’ Edisi September 2012 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saya tertarik dengan sebuah artikel yang berjudul, “Matlamat Perbankan Islam: Ummah Atau Untung?” Oleh itu, saya berhasrat untuk berkongsi secara ringkas tentang artikel tersebut di sini.

Penulisnya (Muhammad Hafiz) menjelaskan bahawa terdapat 2 pendapat dalam persoalan tersebut:

Pendapat Pertama: Matlamat perbankan Islam adalah untuk ummah.

   Hujahnya, perbankan Islam tidak berasaskan riba’, tidak mempunyai unsur ‘gharar’  dan tidak membiayai aktiviti haram seperti judi, arak dan lain-lain. Kesemua hal tersebut boleh menyebabkan kehancuran ummah. Maka, perbankan Islam dikira membantu ummah.

Pendapat Kedua: Matlamat perbankan Islam adalah untuk keuntungan semata-mata.

   Hujahnya, perbankan Islam hanya bertanggungjawab terhadap pemegang saham. Juga perbankan Islam perlu terus mendapatkan keuntungan bagi melangsungkan hidupnya. Jika keuntungan semakin berkurangan dikhuatiri pemegang saham akan mengeluarkan modal mereka dan melabur ke dalam syarikat lain yang lebih menguntungkan. Ini jelas menunjukkan persaingan di antara sebuah bank Islam dengan bank Islam yang lain dan persaingan di antara sebuah bank Islam  dengan bank Konvensional.

   Setelah penulis (Muhammad Hafiz) menerangkan secara panjang lebar, beliau membuat kesimpulan: “Namun pada hakikatnya, untung menjadi matlamat utama bank Islam, manakala matlamat (maqasid) syariah, Islam, dan patuh-syariah hanyalah alat pemasaran yang baharu dan popular.”

   Daripada ucapan tersebut dapat kita fahami bahawa matlamat utama perbankan Islam adalah semata-mata meraih keuntungan. Dan label “Islam” pada perbankan Islam hanyalah sebuah strategi pemasaran. Saya fikir mungkin yang dimaksudkan oleh penulis adalah merujuk kepada bank-bank yang mempunyai 2 sistem sekaligus: perbankan konvensional dan perbankan Islam.

    Walau bagaimanapun, saya berpendapat sebenarnya sebuah bank Islam mampu menjadikan ummah dan untung sebagai dua matlamat utama mereka. Ini kerana hakikatnya kini mereka (perbankan Islam) mampu melaksanakan kedua-duanya dengan baik yakni menjalankan urusniaga tanpa berasaskan riba’, tanpa ada unsur ‘gharar’, tanpa membiayai aktiviti haram, memberi tajaan kepada aktiviti atau program keislaman dan menunaikan zakat di samping meraih keuntungan dan bersaing dalam pasaran ekonomi.

Wallahu a’lam bis shawab.