Thursday, January 7, 2016

Falsafah Sebenar Ilmu Faraid



Uniknya syariat Islam meliputi semua aspek termasuklah tentang pembahagian harta pusaka atau dikenali dengan ilmu faraid. Pada zaman sebelum kedatangan Islam, wanita tidak mempunyai hak langsung terhadap harta pusaka si mati bahkan wanita itu sendiri turut dianggap sebagai harta pusaka yang boleh diwarisi. Ramai wanita yang kehilangan hak apabila kematian suami atau bapa.

Kemudian setelah kedatangan Islam, syariat Islam mengajar tentang pembahagian harta pusaka yang sepatutnya dan bersifat wajar. Contohnya, di satu masa bahagian wanita adalah kurang daripada bahagian yang diterima oleh lelaki. Ini berlaku dalam kes pembahagian harta pusaka untuk adik-beradik yang kehilangan bapa atau ibu. Bahagian untuk anak lelaki dua kali ganda berbanding bahagian anak perempuan.

Biasanya ketika terjadi pembahagian seperti itu ramai yang beranggapan bahawa Islam ini seolah-olah tidak adil. Ini kerana pembahagian pusaka tersebut tidak menyamakan bahagian antara lelaki dan perempuan dan seolah-olah lagi ia telah melebihkan lelaki berbanding perempuan.

Sebenarnya syariat Islam adalah bersifat adil dalam menentukan pembahagian harta pusaka para ahli waris dan tidak benar sama sekali jika dikatakan syariat Islam hanya melebihkan kaum lelaki sahaja. Ini kerana ada situasi-situasi di mana bahagian yang diterima oleh wanita sama banyak dengan bahagian yang diterima oleh lelaki. Contohnya, jika seseorang mati dan meninggalkan waris iaitu bapa, ibu dan anak. Berdasarkan surah al-Nisa’ ayat 11 menunjukkan bahawa ketika itu ibu dan bapa mendapat bahagian pusaka yang sama jumlahnya.

Bahkan, ada juga situasi-situasi di mana bahagian yang diterima oleh waris wanita lebih banyak dibandingkan dengan waris lelaki. Contohnya apabila seseorang mati dan meninggalkan satu-satunya anak perempuan, maka anak perempuannya itu berhak mendapat setengah dari keseluruhan harta pusaka ayahnya. Atau seseorang mati dengan meninggalkan dua orang anak perempuan dan tidak mempunyai saudara lelaki, maka mereka berhak mendapat dua pertiga bahagian dari harta ayahnya. Atau seseorang mati meninggalkan dua orang anak perempuan dan seorang bapa, maka bapanya itu hanya mendapat satu perenam sahaja bahagian, dan bahagian itu kurang daripada yang diterima oleh dua orang anak perempuan. Ini adalah berdasarkan nas yang sudah termaktub di dalam surah al-Nisa’ ayat 11.


Kesimpulannya, Islam sangat memberikan perhatian dalam perkara pewarisan harta atau faraid. Islam juga mempunyai falsafah faraid yang jelas iaitu menjamin keadilan waris-waris. Sekiranya waris lelaki menerima bahagian yang lebih banyak ia adalah kerana tanggungjawab lelaki dalam menguruskan harta khususnya dalam rumahtangga lebih besar. Oleh yang demikian, pewarisan harta menurut Islam mempunyai motif memberikan hak yang sepatutnya diterima oleh waris berdasarkan hikmah-hikmah yang telah ditunjukkan di dalam al-Quran. 

No comments:

Post a Comment