Showing posts with label Syariah. Show all posts
Showing posts with label Syariah. Show all posts

Thursday, January 7, 2016

Falsafah Sebenar Ilmu Faraid



Uniknya syariat Islam meliputi semua aspek termasuklah tentang pembahagian harta pusaka atau dikenali dengan ilmu faraid. Pada zaman sebelum kedatangan Islam, wanita tidak mempunyai hak langsung terhadap harta pusaka si mati bahkan wanita itu sendiri turut dianggap sebagai harta pusaka yang boleh diwarisi. Ramai wanita yang kehilangan hak apabila kematian suami atau bapa.

Kemudian setelah kedatangan Islam, syariat Islam mengajar tentang pembahagian harta pusaka yang sepatutnya dan bersifat wajar. Contohnya, di satu masa bahagian wanita adalah kurang daripada bahagian yang diterima oleh lelaki. Ini berlaku dalam kes pembahagian harta pusaka untuk adik-beradik yang kehilangan bapa atau ibu. Bahagian untuk anak lelaki dua kali ganda berbanding bahagian anak perempuan.

Biasanya ketika terjadi pembahagian seperti itu ramai yang beranggapan bahawa Islam ini seolah-olah tidak adil. Ini kerana pembahagian pusaka tersebut tidak menyamakan bahagian antara lelaki dan perempuan dan seolah-olah lagi ia telah melebihkan lelaki berbanding perempuan.

Sebenarnya syariat Islam adalah bersifat adil dalam menentukan pembahagian harta pusaka para ahli waris dan tidak benar sama sekali jika dikatakan syariat Islam hanya melebihkan kaum lelaki sahaja. Ini kerana ada situasi-situasi di mana bahagian yang diterima oleh wanita sama banyak dengan bahagian yang diterima oleh lelaki. Contohnya, jika seseorang mati dan meninggalkan waris iaitu bapa, ibu dan anak. Berdasarkan surah al-Nisa’ ayat 11 menunjukkan bahawa ketika itu ibu dan bapa mendapat bahagian pusaka yang sama jumlahnya.

Bahkan, ada juga situasi-situasi di mana bahagian yang diterima oleh waris wanita lebih banyak dibandingkan dengan waris lelaki. Contohnya apabila seseorang mati dan meninggalkan satu-satunya anak perempuan, maka anak perempuannya itu berhak mendapat setengah dari keseluruhan harta pusaka ayahnya. Atau seseorang mati dengan meninggalkan dua orang anak perempuan dan tidak mempunyai saudara lelaki, maka mereka berhak mendapat dua pertiga bahagian dari harta ayahnya. Atau seseorang mati meninggalkan dua orang anak perempuan dan seorang bapa, maka bapanya itu hanya mendapat satu perenam sahaja bahagian, dan bahagian itu kurang daripada yang diterima oleh dua orang anak perempuan. Ini adalah berdasarkan nas yang sudah termaktub di dalam surah al-Nisa’ ayat 11.


Kesimpulannya, Islam sangat memberikan perhatian dalam perkara pewarisan harta atau faraid. Islam juga mempunyai falsafah faraid yang jelas iaitu menjamin keadilan waris-waris. Sekiranya waris lelaki menerima bahagian yang lebih banyak ia adalah kerana tanggungjawab lelaki dalam menguruskan harta khususnya dalam rumahtangga lebih besar. Oleh yang demikian, pewarisan harta menurut Islam mempunyai motif memberikan hak yang sepatutnya diterima oleh waris berdasarkan hikmah-hikmah yang telah ditunjukkan di dalam al-Quran. 

Sunday, December 20, 2015

Fasakh Bantu Hindar Kemudaratan Pasangan

Fasakh ialah melepaskan atau memutuskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri kerana sebab-sebab tertentu. Terdapat permasalahan yang berkaitan dengan fasakh.

Dalam Islamic Family Law (State of Selangor) Enactment 2003 (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 ada menyatakan antara sebab dibenarkan fasakh ialah bila berlaku lazim menyakiti terhadap suami atau isteri maka diharuskan kepada pasangan yang menjadi mangsa disakiti untuk memohon fasakh. Frasa itu dinyatakan dalam Seksyen 53(1)(h)(i):
lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya”

Frasa dalam terjemahan bahasa Inggeris dinyatakan sebagai berikut:
“habitually assaults her or him or makes her or his life miserable by cruelty or conduct”

Walau bagaimanapun, diperselisihkan sama ada maksud ‘lazim menyakiti’ itu bermakna pukulan fizikal atau mempunyai makna lain iaitu penganiayaan dari segi mental. Dalam kes Hairun Mohd. Syarif lwn Omar Mohd Noor, Plaintif ingin memohon fasakh kerana Defendan telah memukul Plaintif selaku isterinya sebanyak dua kali. Yang Arif Hakim kemudian telah menolak tuntutan Fasakh Plaintif kerana merasakan pukulan sebanyak dua kali belum mencapai tahap ‘lazim menyakiti’ seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang. Oleh itu, dapat dilihat dalam kes ini diandaikan bahawa perkataan ‘lazim menyakiti’ adalah bermaksud penderaan berbentuk fizikal.

Namun, Plaintif tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan kemudian meluluskan permohonan Fasakh  Plaintif dan membahagikan penganiayaan dalam dua bentuk iaituk bentuk fizikal dan dalam bentuk mental. Ini kerana perkataan lazim menyakiti atau dalam frasa inggerisnya ‘assault’ tidak semestinya bermaksud pukulan fizikal ‘battery’ tetapi dengan perkataan ‘assault’ yang bermakna menyakiti meliputi penderaan mental.


Kesimpulannya, perkataan ‘lazim menyakiti’ menurut Undang-undang Keluarga Islam tidak semestinya bermaksud penderaan fizikal semata-mata malah boleh juga diertikan sebagai penderaan mental. Ini kerana frasa dalam terjemahan bahasa Inggeris menggunakan perkataan ‘assault’ yang bererti menyakiti dan bukan dengan perkataan ‘battery’ yang bererti memukul.

Saturday, December 19, 2015

Krisis Pertindihan Bidangkuasa Mahkamah Syariah Dan Sivil

Negara kita Malaysia telah mencapai kemerdekaan melebihi 50 tahun. Namun, terdapat sesuatu yang masih merunsingkan para ahli perundangan, masyarakat Islam dan bukan Islam dek kerana isu pertindihan bidangkuasa di antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil telah menjadi satu krisis yang lama.

Ia umpama mimpi ngeri apabila kita terpaksa berhadapan dengan kondisi-kondisi di mana mahkamah syariah menutup peluang kemasukan kes kekeluargaan orang bukan Islam manakala mahkamah sivil pula menutup peluang membicarakan kes kekeluargaan orang Islam.

Contohnya dalam kes Izwan Abdullah seorang mualaf yang berusaha mendapatkan hak jagaan anak daripada bekas isterinya, S.Deepa. Mahkamah Persekutuan memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepada bekas isterinya. Dalam masa yang sama, Mahkamah Syariah Seremban memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepada Izwan Abdullah memandangkan anak-anak itu telah diislamkan. Ini amat mengejutkan semua pihak sehingga polis turut campur tangan untuk membantu Izwan, bekas isteri dan anak-anaknya.

Lebih ironi apabila dalam perkara muamalat seperti perbankan Islam turut diadili oleh mahkamah sivil dan bukan dibicarakan di mahkamah syariah.  Sewajarnya mahkamah syariah diberikan bidangkuasa untuk mengadili segala kes yang berhubungan dengan perkara hukum syarak. Indikasinya ialah para hakim di mahkamah syariah lebih faham dan lebih mahir dengan prinsip-prinsip syariah.

Apabila mahkamah syariah membicarakan kes-kes yang berhubungan di antara orang Islam dan bukan Islam, bukan bermakna hakim perlu memenangkan orang Islam. Ia mestilah dengan berdasarkan kepada prinsip-prinsip keadilan yang sebenar. Sejarah Islam juga telah menunjukkan bahawa hakim pernah memenangkan orang bukan Islam kerana hujahnya lebih kuat dan benar.


Justeru, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu diluaskan penafsirannya dan dimartabatkan. Dan Butiran 1 Senarai Dua Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda agar segala perkara yang berhubungan dengan hukum syarak  sama ada dalam hal kekeluargaan, muamalat dan lain-lain mahkamah syariah diberikan bidangkuasa untuk mengadilinya walaupun yang melibatkan kes orang bukan Islam seperti mualaf atau perbankan. Asasnya, bidangkuasa pengadilan kes yang berhubungan dengan hukum syarak mestilah di bawah bidangkuasa mahkamah syariah. Kini, Negara Brunei telah pun menjadi contoh dengan memulakan idea ini dengan membenarkan mahkamah syariah turut membicarakan kes yang berhubungan dengan orang bukan Islam selain kes orang Islam.

Sunday, December 6, 2015

Status Perkahwinan Mangsa Nahas Kapal Terbang

Kini kapal terbang semakin banyak dan ramai orang yang telah menaiki kapal terbang. Kepesatan teknologi ini mewujudkan permasalahan-permasalahan yang baru khususnya melibatkan kes syariah kekeluargaan.

Antara permasalahan yang wujud berkaitan nahas kapal terbang ialah bagaimana status perkahwinan mangsa nahas kapal terbang, terbubar atau tidak?

Bagi merungkaikan permasalahan tersebut ialah kes mangsa nahas kapal terbang dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama ialah mangsa nahas kapal terbang yang dijumpai mayatnya dan dapat dikenalpasti. Jawapan untuk kategori pertama ini jelas mengesahkan kematian suami atau isteri dan menjadikan ikatan perkahwinan sudah tiada dan harta pusaka boleh dibahagikan.

Kategori kedua ialah mangsa nahas kapal terbang yang tidak dijumpai mayatnya dan usaha mencari pasangannya menemui kegagalan. Walaupun media memaklumkan tragedi nahas kapal terbang dan melaporkan semua penumpang dipercayai terkorban, jawapan bagi keadaan ini ialah status perkahwinan mereka belum terbubar.. Dalam kes seperti ini, ia dianggap kehilangan. 

Walau bagaimanapun, bagi pasangan yang ingin memfailkan perceraian secara fasakh boleh berbuat demikian dengan mendapatkan Anggapan Kematian di Mahkamah Tinggi berdasarkan seksyen 108, Akta Keterangan 1950. Dan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mengeluarkan sijil kematian sebaliknya hanya mengemaskini maklumat kematian si mati.

Kesimpulannya, jika mangsa nahas kapal terbang dijumpai mayatnya dan dapat dikenalpasti maka status perkahwinan mereka jelas sudah tiada. Manakala jika mayat mangsa nahas kapal terbang tidak dapat dijumpai dan usaha mencarinya menemui kegagalan maka ia dianggap kes kehilangan. Dan menurut undang-undang, apabila kehilangan suami sudah mencapai empat tahun maka pasangan yang masih hidup boleh memohon fasakh. 

Monday, November 30, 2015

Usaha Memperkasa Hukuman Jenayah Syariah

Dalam nas-nas syarak dan ilmu fiqh telah menyebutkan terdapat 6 jenis hukuman hudud iaitu Zina, Qazaf (Tuduh Zina), Minum Arak, Mencuri, Merompak dan Riddah (Murtad). Bagi penzina yang belum berkahwin akan dihukum dengan 100 kali sebatan manakala bagi penzina yang sudah berkahwin akan dihukum dengan  rejam sehingga mati. Bagi penuduh zina yang tidak membawakan bukti perlu dihukum dengan 80 kali sebatan kerana cuba mencemari maruah seorang wanita yang suci. Bagi kesalahan minum arak pula akan dihukum dengan 40 kali sebatan. Bagi kesalahan mencuri akan dihukum dengan potong tangan. Menurut sebahagian ulama setakat pergelangan tangan sahaja. Bagi kesalahan merompak pula jika dia melakukan pembunuhan maka akan dihukum bunuh tetapi jika hanya merompak sahaja maka akan dipotong tangan dan kakinya secara bersilang. Dan bagi kesalahan murtad (keluar dari agama) akan dihukum dengan hukuman bunuh jika sudah diminta bertaubat sebanyak 3 kali tetapi masih enggan.

Melihat kepada hukuman-hukuman ini ramai dalam kalangan masyarakat yang terbahagi kepada dua kumpulan. Sebahagian umat Islam di negara kita menyokong pelaksanaan Hudud ini di Malaysia. Manakala sebahagian lagi tidak bersetuju dan menolak iaitu terdiri dalam kalangan orang bukan Islam.

Fenomena ini dapat kita lihat pada masa pembentangan Rang Undang-undang Persendirian Negeri Kelantan Kanun Jenayah Syariah II 2003 oleh parti Parti Islam Semalaysia (PAS) yang mana telah mendapat majoriti undi sebanyak 43 undi. Namun, ia hangat diperkatakan sehingga terdapat bantahan daripada bukan Islam di laman-laman social. Tambahan pula, Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru berpendapat bahawa ‘Hudud Adalah Tidak Mengikut Perlembagaan, Mendeskriminasi dan Memecahbelahkan’. Antara kes yang dirujuk ialah Che Omar Bin Che Soh v. Public Prosecutor (1988), Negara Malaysia adalah sekular kerana Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular.

Namun, ia dibantah oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang menjelaskan bahawa tiada pernyataan ‘Negara Islam’ dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna negara  ini adalah negara sekular.  Ia berdasarkan kes Menteri Dalam Negeri & Ors v. Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (2013) yang menegaskan bahawa ‘struktur asas’ Perlembagaan Persekutuan adalah Islam.

Masyarakat seharusnya tidak perlu risau dengan hukuman hudud ini kerana terdapat hikmah disebaliknya iaitu pelaksanaan hukum hudud ini tidak lain hanya bertujuan mendidik dan pencegahan agar kes-kes jenayah dapat dikurangkan. Menurut Kajian Saintifik oleh Saintis Rusia, Dr. Sergei Speransky dan Dr. Marina Chuhrova, menyatakan bahawa hukuman sebatan dengan rotan boleh mengurangkan kadar alkohol dalam badan dan menyedarkan peminum arak.[1] 

Oleh yang demikian, pindaan perlu dilakukan pada Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah Syariah) dan Perkara 76A(1), Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksaan hukum hudud.[2] Untuk peringkat permulaan ini bukan semua jenis hukuman hudud mahu dilaksanakan sebaliknya pada peringkat awal ini hanya 3 jenis hukuman hudud sahaja yang mahu dilaksanakan dan ianya fokus kepada hukuman sebatan iaitu kesalahan minum arak, kesalahan zina orang belum berkahwin dan kesalahan menuduh seseorang wanita berzina dengan tanpa bukti yang kukuh.[3] Dan tanpa disangkal lagi cara sebatan sivil lebih berat berbanding cara sebatan syariah.




[1] http://www.news-medical.net/news/2005/03/29/8788.aspx
[2] Akhbar: Berita Harian. Ruangan Agama. Mohd Fasha Musthafa. 25 Mac 2015.
[3] Akhbar: Harian Metro. Ruangan Jenayah Syariah. Wan Asrudi Wan Hasan. 30 Mac 2015.