Showing posts with label Fiqh. Show all posts
Showing posts with label Fiqh. Show all posts

Sunday, August 12, 2012

Fiqh Hujah Hukum Muzik




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dengan nama Allah SWT. Segala pujian kepada-Nya dan selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia Muhammad Rasulullah SAW. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk menulis dan mengemaskini blog ini. Tulisan saya pada kali ini adalah berkisar tentang hukum muzik. Pemilihan terhadap topik ini adalah kerana sudah berkali-kali telinga saya mendengar pertanyaan orang di sekeliling tentang hukumnya, sama ada boleh atau tidak, harus atau haram. Oleh itu, saya berharap tulisan saya ini mampu memberikan sedikit pencerahan ke atasnya.

Pendapat Ulama Tentang Hukum Muzik
Secara umumnya, dalam masalah ini ulama terbahagi kepada tiga kumpulan. Sebahagiannya mengharamkan muzik secara mutlak iaitu (seingat saya) Ibnu al-Qayyim. Sebahagian lagi mengharuskan muzik kecuali jika melibatkan penggunaan alat muzik yang bertali seperti gitar iaitu (seingat saya-memang saya mengarang dengan mengandalkan daya ingatan) fatwa Mufti Brunei. Manakala sebahagian yang lain mengharuskan dengan syarat tidak sampai melalaikan dan tidak terdapat unsur-unsur yang haram iaitu (seingat saya) Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Dalil-dalil

Kelompok yang mengharamkan memberikan hujah berdasarkan dalil berikut:

حَدَّثَنِى أَبُو عَامِرٍ - أَوْ أَبُو مَالِكٍ - الأَشْعَرِىُّ سَمِعَ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - يَقُولُ « لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِى أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ

Ertinya: Telah diriwayatkan daripada Abu Aamir atau Abu Malik al-Asy’ari, dia telah mendengar Nabi SAW bersabda, “Akan datang suatu kaum dalam kalangan umatku yang akan menghalalkan zina, sutera, arak dan alat muzik.” (Riwayat al-Bukhari)

Kelompok yang mengharuskan muzik memberikan hujah berdasarkan dalil berikut:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِىُّ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - « يَا عَائِشَةُ مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ »

Ertinya: Daripada Aisyah bahawa seorang wanita telah dikahwinkan dengan seorang pemuda dalam kalangan Ansar, lantas Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Aisyah! Adakah tidak ada sesuatu yang dapat menghiburkan mereka? Sesugguhnya kaum Ansar amat sukakan hiburan.” (Riwayat al-Bukhari)

عَنْ أَبِى مَالِكٍ الأَشْعَرِىِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنَّهُ قَالَ :« لَيَشْرَبَنَّ أُنَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا وَتُضْرَبُ عَلَى رُءُوسِهِمُ الْمَعَازِفُ يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمُ الأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ قِرَدَةً وَخَنَازِيرَ ».

Ertinya: Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Rasulullah SAW bahawasanya baginda telah bersabda, “Sebahagian dalam kalangan umatku akan meminum arak tetapi menamakannya bukan dengan nama arak dan diiringi dengan alunan muzik hingga Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan menjadikan dalam kalangan mereka kera dan babi.” (Riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi)

Fiqh (Kefahaman) Dalil dan Hujah

1.      Kelompok yang mengharamkan berhujah bahawa hadis pertama tadi disokong dengan hadis yang ketiga. Dalam erti kata yang lain hadis ketiga yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi menyokong hadis pertama yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Oleh itu, hukum muzik adalah haram.

2.      Kelompok yang mengharuskan muzik kecuali jika melibatkan alat muzik yang bertali seperti gitar berhujah bahawa hadis yang menunjukkan keharusan muzik adalah hadis yang kedua yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, tetapi dalam masa yang sama dikecualikan daripadanya alat muzik yang bertali kerana hadis pertama yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari itu ada menyebutkan “al-ma’azif” iaitu merujuk kepada alat muzik yang bertali.


3.      Manakala kelompok yang mengharuskan muzik tetapi dengan syarat tidak sampai melalaikan dan tidak terdapat unsur-unsur yang haram berhujah dengan hadis yang kedua dan ketiga. Hadis kedua jelas menunjukkan diperbolehkan sesuatu hiburan. Sedang hadis ketiga yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi dilihat bukan untuk menyokong hadis pertama tetapi mengikat (taqyid) hadis pertama yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Jadi, bermain alat muzik tidak haram tetapi jika disertai dengan majlis maksiat maka hukumnya adalah haram. Oleh itu, muzik pada asalnya adalah harus, tetapi boleh menjadi haram sekiranya sampai melalaikan dan terdapat unsur-unsur yang haram.


Mana Yang Rajih?
Wallahu a’lam bis shawab. Saya tidak mampu untuk mentarjihkan salah satu daripada pendapat-pendapat tersebut. Tulisan ini sekadar perkongsian dan pencerahan. Sekian. Wabillahi tawfiq wal hidayah. Wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

*Mohon doakan kebaikan buat saya di dunia dan akhirat. Terima kasih.

Friday, May 18, 2012

Pendapat Imam al-Bukhari Tentang Anjing



Dengan Nama Allah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 

Segala pujian bagi Allah SWT dengan limpah kurnia, rahmat dan kasih sayang-Nya, saya masih diberikan kudrat untuk menulis di blog ini. Saya juga bersyukur kerana pada kali ini, Allah SWT telah memberikan saya semangat untuk membaca kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al- Bukhari karya Syeikh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani

Baru-baru ini teman saya ada membawakan sebuah rakaman video tentang fiqh Imam al-Bukhari berkaitan dengan anjing. Apakah ianya najis atau tidak? Perkara inilah yang mendorong saya untuk menulis tentang anjing  dan apakah yang telah disyarahkan oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani. 

Imam al-Bukhari pada awal perbincangan berkaitan dengan anjing telah membawakan pendapat Atha' bin Abi Rabah, al-Zuhri dan Sufyan al-Tsauri tentang kesucian air liur anjing. 

وَكَانَ عَطَاءٌ لاَ يَرَى بِهِ بَأْسًا أَنْ يُتَّخَذَ مِنْهَا الْخُيُوطُ وَالْحِبَالُ ، وَسُؤْرِ الْكِلاَبِ وَمَمَرِّهَا فِى الْمَسْجِدِ . وَقَالَ الزُّهْرِىُّ إِذَا وَلَغَ فِى إِنَاءٍ لَيْسَ لَهُ وَضُوءٌ غَيْرُهُ يَتَوَضَّأُ بِهِ . وَقَالَ سُفْيَانُ هَذَا الْفِقْهُ بِعَيْنِهِ ، يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى ( فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا ) وَهَذَا مَاءٌ ، وَفِى النَّفْسِ مِنْهُ شَىْءٌ ، يَتَوَضَّأُ بِهِ وَيَتَيَمَّمُ .

Kemudian, Imam al-Bukhari telah membawakan beberapa hadis yang menjadi dalil bagi pendapat tersebut. Pertama, hadis yang menyebut "Jika anjing minum dalam bekas salah seorang di antara kalian, maka basuhlah bekas tersebut sebanyak 7 kali."

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « إِذَا شَرِبَ الْكَلْبُ فِى إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا »

Hadis yang semakna dengannya telah dijadikan dalil di sisi mazhab Syafi'i tentang kenajisan anjing. Tetapi hadis-hadis ini mendapat kritikan yang hebat. Ini kerana hadis-hadis yang menyebutkan tentang basuhan jilatan anjing itu adalah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, padahal Abu Hurairah sendiri tidak mengamalkan hadis tersebut kerana berfatwa memadai membasuh sebanyak 3 kali sahaja. Oleh sebab itu, ulama mengkritik hadis ini kerana perawi (orang yang meriwayatkan) sendiri tidak mengamalkan hadis tersebut. 

Tetapi, Syeikh Ibnu Hajar telah memberitahu bahawa kenyataan itu tidak boleh diterima, kerana terdapat riwayat lain yang menyebutkan bahawa Abu Hurairah menyuruh membasuh sebanyak 7 kali akan jilatan anjing. 

Kritikan kedua terhadap hadis tersebut ialah ada hadis lain yang menyebutkan bukan bilangan 7 kali basuhan, tetapi sebanyak 8 kali basuhan dan riwayat 8 kali basuhan ini adalah riwayat yang sahih.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ ».

Seolah-olah menunjukkan bahawa Mazhab Syafi'i dan Mazhab Hanafi sama-sama tidak mengamalkan hadis, sebab menurut mazhab Syafi'i perlu basuh sebanyak 7 kali. Tetapi menurut mazhab Hanafi, memadai basuh 3 kali. 

Kemudian, Syeikh Ibnu Hajar berkata bahawa riwayat yang menyebutkan bilangan 7 kali dan 8 kali itu mungkin boleh digabungkan. Jika mengamalkan riwayat yang menyebut 8 kali maka sekaligus mengamalkan riwayat yang menyebut 7 kali, tetapi tidak sebaliknya. Sungguhpun demikian, ada ulama yang menjelaskan bahawa riwayat yang menyebut 8 kali itu bilangan kelapan ialah sebagaimana yang disebutkan oleh teks hadis, "dengan tanah." 

Jadi, mereka yang basuh sebanyak 7 kali basuhan kerana pada salah satu basuhan itu telah dicampurkan air dengan tanah (air + tanah = air tanah). 

Manakala riwayat yang menyebut sebanyak 8 kali itu sekiranya tidak dicampurkan air dengan tanah (maksudnya mula-mula bekas itu digosok dengan tanah kemudian dibasuh sebanyak 7 kali basuhan dengan air). 

Setelah itu, Imam al-Bukhari membawa pula sebuah hadis tentang seorang lelaki melihat seekor anjing yang kehausan, lalu ia mengisi air pada kasutnya dan membawa air itu kepada anjing untuk diminum, Allah pun redha syurga buat lelaki itu. 

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - « أَنَّ رَجُلاً رَأَى كَلْبًا يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ ، فَأَخَذَ الرَّجُلُ خُفَّهُ فَجَعَلَ يَغْرِفُ لَهُ بِهِ حَتَّى أَرْوَاهُ ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَأَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ » .

Menurut Syeikh Ibnu Hajar, hukum hadis tersebut belum tentu dapat diterapkan pada masa umat Muhammad SAW, kerana hal ini melibatkan perbincangan seputar Syar' Man Qablana (Syariat Sebelum Kita). Boleh jadi hukumnya sudah terhapus dengan adanya hadis yang menyebutkan suruhan agar membasuh jilatan anjing. Atau mungkin, lelaki tadi bawa air dengan kasutnya tetapi tidak meminumkan anjing tersebut langsung dengan kasutnya. Atau mungkin setelah meminumkan anjing tersebut, lelaki itu mencuci kasutnya. 

Selanjutnya, Imam al-Bukhari telah membawa sebuah hadis untuk menunjukkan kesucian anjing menerusi sebuah hadis yang menunjukkan bahawa pada masa Nabi SAW, anjing-anjing kencing merata-rata dan memasuki kawasan masjid. Namun, mereka tidak pula memerciki air pada tempat yang dilalui oleh anjing tersebut. 

حَدَّثَنِى حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ كَانَتِ الْكِلاَبُ تَبُولُ وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِى الْمَسْجِدِ فِى زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ .

Menurut al-Mundziri, anjing-anjing itu sebenarnya kencing di luar kawasan masjid, kemudian melalui kawasan masjid, kerana pada saat itu masjid masih terbuka (terdedah atau tidak tertutup). 

Syeikh Ibnu Hajar pula berpendapat bahawa anjing-anjing itu melalui kawasan masjid pada saat awal permulaan Islam, ketika itu kemuliaan masjid belum dijaga sebaiknya kerana terdedah. Tetapi setelah itu terdapat riwayat daripada Saidina Umar RA yang menyuruh memuliakan masjid dan menjaga kesucian masjid. 

Saya (Lutfi) mengatakan mungkin ada ulama yang menjadikan hadis ini sebagai dalil untuk menunjukkan kesucian anjing jika dalam keadaan kering, tetapi tidak suci jika terdapat basahan daripada anjing tersebut, kerana anjing yang berada di luar kawasan masjid tadi dalam keadaan basah, manakala ketika berada dalam kawasan masjid ia berada dalam keadaan kering. Walaupun dalil yang lebih tepat dalam hal ini adalah dalil tentang jilatan anjing yang telah disebutkan tadi. 

Kemudian Imam al-Bukhari membentangkan pula sebuah hadis yang menyebut bahawa binatang yang diburu oleh anjing buruan boleh dimakan. Ini menunjukkan kesucian anjing. 

عَنْ عَدِىِّ بْنِ حَاتِمٍ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - فَقَالَ « إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ الْمُعَلَّمَ فَقَتَلَ فَكُلْ ، وَإِذَا أَكَلَ فَلاَ تَأْكُلْ ، فَإِنَّمَا أَمْسَكَهُ عَلَى نَفْسِهِ » .

Tetapi Syeikh Ibnu Hajar membantah andaian tersebut kerana hadis itu sekadar untuk menunjukkan bahawa buruan anjing adalah buruan secara syar'i. Rasulullah SAW tidak menyuruh supaya membasuh binatang yang diburu oleh anjing buruan kerana sahabat tersebut sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan terhadap binatang yang diburu oleh anjing buruan, yakni mesti dibasuh terlebih dahulu pada bahagian yang dijilat oleh anjing sebelum memasak atau memanggangnya. 

Kesimpulannya, menurut Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani, fiqh Imam al-Bukhari dalam masalah anjing ialah haiwan tersebut tidak najis. Ironinya, pensyarah kitab Sahih al-Bukhari, yakni beliau sendiri (Syeikh Ibnu Hajar) pula berpendapat bahawa anjing adalah najis dan membawakan pelbagai argumen (hujah). 

Wallahu a'lam bis shawab.

Sekian. Wabillahi tawfiq wal hidayah. 
Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Rujukan:
1. Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, karya Syeikh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani.
2. Al-Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri' al-Islami, karya Dr. Mustafa al-Siba'i.

Monday, March 26, 2012

Jangan Bertengkar Jika Kamu Berbeza Lafaz


Mungkinkah Ultraman dan Raksasa Bertengkar Kerana Berbeza Lafaz? :)

Dengan nama Allah Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani. Segala pujian ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW, imam yang benar dan imam bagi sekalian para anbiya’.

Semalam ketika sedang membaca kitab al-Risalah karya Imam al-Syafi’i, saya terjumpa sebuah kisah yang sangat memberi kesan di hati. Maka, saya tertarik untuk membawakan kisah tersebut ke dalam blog saya agar dapat menjadi iktibar buat diri kita bersama. Kisah ini ada kaitannya dengan perbezaan lafaz.

Sebahagian ahli ilmu telah sedia maklum bahawa perbezaan lafaz boleh terjadi dalam banyak perkara syariat, misalnya perbezaan lafaz dalam membaca al-Quran, perbezaan lafaz dalam membaca doa, perbezaan lafaz dalam membaca tasyahud, perbezaan lafaz dalam selawat, perbezaan lafaz dalam zikir dan lain-lain.

Imam al-Syafi’i bersama rakan dialognya berbicara tentang perbezaan lafaz yang terjadi dalam riwayat-riwayat tasyahud. Lafaz tasyahud Umar, Ibnu Mas’ud, Abu Musa, Aisyah dan Ibnu Umar berbeza-beza.

Kemudian Imam al-Syafi’i membentangkan sebuah dalil kepada rakan dialognya.

Umar bin al-Khattab menceritakan:
Aku telah mendengar Hisyam bin Hakim bin Hizam membaca surah al-Furqan dengan cara yang berbeza daripada bacaan sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi sendiri kepadaku, sebab itu aku menjadi keliru dengannya.

Tetapi aku menunggu sehingga dia selesai membaca dan membawanya kepada Nabi, lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, saya mendengar orang ini membaca surah al-Furqan berbeza dengan apa yang engkau ajarkan kepadaku.

Rasulullah SAW bersabda: Bacalah! Kemudian dia pun membacanya dengan cara seperti yang aku telah dengar tadi. Maka Rasulullah SAW bersabda: Beginilah yang diturunkan kepadaku.

Selanjutnya ia bersabda: Al-Quran diturunkan dengan 7 huruf, maka bacalah apa yang mudah baginya.

Setelah itu, Imam al-Syafi’i berkata:
“Oleh kerana Allah mengasihi kita yang tidak memiliki kesempurnaan daya hafal, maka Allah pun memperbolehkan adanya variasi bacaan dengan tujuh huruf (bacaan) tanpa mengganggu keutuhan makna yang dimaksud. Jika hal ini boleh terjadi pada kitab Allah, maka bagi yang selainnya tentu lebih boleh lagi jika perbezaan tersebut tidak lari daripada keutuhan maksud.”

Kemudian Imam al-Syafi’i membawa ucapan daripada seorang Tabiin:
“Saya telah mendengar beberapa riwayat daripada sebahagian sahabat Nabi yang sama dalam makna tetapi berbeza dalam kata-kata (lafaz). Saya telah membicarakan masalah ini dengan salah seorang daripada mereka, lalu katanya, “Tidak mengapa asalkan maknanya yang sebenar tidak berubah.” 

Lalu saya (Lutfi) berfikir, “Betapa pengasihnya para fuqaha kerana dapat menerima perbezaan lafaz yang berbeza dalam kalangan masyarakat, selagi perbezaan lafaz tersebut tidak mengubah makna dan tujuan sebenar. Betapa pengasihnya para tabiin kerana dapat menerima perbezaan lafaz yang terjadi antara sekalian sahabat nabi. Betapa pengasihnya para sahabat kerana mereka mula memahami dan dapat menerima perbezaan lafaz  yang terjadi sesama mereka. Dan betapa pengasihnya Baginda Rasulullah SAW kerana dapat menerima perbezaan lafaz yang terjadi antara dua sahabat beliau.” 

“Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia”

Sekian.
Wabillahi tawfiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Wednesday, September 21, 2011

Hakikat Tawassul

Dari sudut etimologi, tawassul bermaksud ‘mendekatkan diri’.

Dari sudut terminologi, ianya memberi erti mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mentaati serta beribadah kepada-Nya, mengikuti para nabi dan rasul-Nya dan dengan setiap amalan yang dicintai serta diredhai oleh-Nya.

Terdapat pelbagai jenis tawassul. Sebahagian jenis tawassul telah disepakati oleh para ulama akan keharusannya (mubah-boleh dilakukan). Dan sebahagian jenis tawassul yang lain diperselisihkan hukumnya.

Adapun tawassul yang telah disepakati oleh para ulama akan keharusannya ialah:

  1. Bertawassul dengan zat, nama dan sifat Allah SWT.

Dalilnya ialah firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: “Hanya milik Allah nama-nama yang baik, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama tersebut. Dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (al-A’raaf: 180)

  1. Bertawassul dengan amal soleh.

Dalilnya ialah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim serta al-Nasa’i daripada Abdullah bin Umar (Ibn Umar) RA mengenai kisah tiga orang yang terperangkap di dalam gua.

Orang pertama, bermohon kepada Allah SWT dengan bertawassul terhadap amal solehnya yang telah berbuat bakti kepada kedua ibu bapa.

Orang kedua, bermohon kepada Allah SWT dengan bertawassul terhadap amal solehnya yang telah menghindari zina semata-mata takut kepada Allah.

Orang ketiga, bermohon kepada Allah SWT dengan bertawassul terhadap amal solehnya yang telah memulangkan bayaran upah pekerjanya dengan berlipat kali ganda.

Lalu, gua yang tertutup tadi terus terbuka dengan izin Allah SWT, dan akhirnya ketiga-tiga mereka dapat keluar daripada gua tersebut.

  1. Bertawassul dengan doa orang lain.

Dalilnya ialah firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Ertinya: “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian di dalam hati kami, terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (Al-Hasyr: 10)

Manakala, jenis tawassul yang diperselisihkan hukumnya ialah:
  1. Bertawassul dengan zat, atau peribadi seseorang sama ada nabi, rasul atau wali.
  2. Bertawassul dengan kedudukan, hak, kehormatan atau berkat seseorang sama ada nabi atau wali.
  3. Bertawassul dengan bersumpah atas Allah dengan seseorang, sama ada rasul, nabi atau wali.

Menurut pendapat yang pasti, bertawassul dengan nabi Muhammad SAW adalah diperbolehkan dan hujah untuk melakukan demikian adalah kuat. Ini kerana Rasulullah SAW adalah pemimpin bagi sekalian anak Adam, dan kemuliaan baginda SAW sudah tidak dapat disangkal lagi. Adapun bertawassul kepada selain Rasulullah SAW, tidak sekuat jikalau dibandingkan dengan bertawassul kepada baginda SAW.

Wallahu a’lam bis shawab.

Sumber:
“Pengantar Tasawwuf Islam.” Dr. Musa bin Fathullah Harun.


Ibu bapa Nabi Muhammad SAW


Terdapat hadis yang menunjukkan bahawa bapa Rasulullah SAW berada di dalam neraka. Dan pada riwayat lain menunjukkan bahawa baginda juga tidak dapat memohon keampunan buat ibunya.

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِى شَيْبَةَ حَدَّثَنَا عَفَّانُ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيْنَ أَبِى قَالَ « فِى النَّارِ ». فَلَمَّا قَفَّى دَعَاهُ فَقَالَ « إِنَّ أَبِى وَأَبَاكَ فِى النَّارِ ».

Diceritakan kepada kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah, diceritakan kepada kami Affan, diceritakan kepada kami Hammad bin Salamah, daripada Tsabit, daripada Anas bahawa seorang sahabat lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, di manakah bapaku?” Rasulullah SAW bersabda, “Di dalam neraka.” Kemudian setelah lelaki tadi beredar Rasulullah SAW memanggilnya semula, dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ وَمُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ - وَاللَّفْظُ لِيَحْيَى - قَالاَ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ بْنُ مُعَاوِيَةَ عَنْ يَزِيدَ - يَعْنِى ابْنَ كَيْسَانَ - عَنْ أَبِى حَازِمٍ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لأُمِّى فَلَمْ يَأْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأَذِنَ لِى ».

Diceritakan kepada kami oleh Yahya bin Ayyub dan Muhammad bin Abbad, dengan lafaz Yahya, keduanya berkata, diceritakan kepada kami oleh Marwan bin Muawiyah, daripada Yazid, daripada bapaku, Hazim, daripada Abu Hurairah RA ia berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku meminta izin kepada Allah agar aku dapat beristighfar (memohon ampun) buat ibuku, tetapi Dia tidak mengizinkan aku. Aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, lalu Dia mengizinkan buatku.” (Riwayat Muslim)

Menerusi hadis-hadis ini, sebahagian orang mengatakan bahawa ibu bapa Rasulullah SAW adalah merupakan ahli neraka yang akan diseksa. Tetapi, hal itu sangatlah bercanggah dengan apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an al-Karim:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا

Ertinya: “Dan tidaklah Kami memberi azab (kepada seseorang) sampailah kami mengutuskan seorang Rasul.” (Al-Isra’: 15)

وَمَا كُنْتَ بِجَانِبِ الطُّورِ إِذْ نَادَيْنَا وَلَكِنْ رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أَتَاهُمْ مِنْ نَذِيرٍ مِنْ قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Ertinya: “Supaya engkau-Muhammad- dapat memberi peringatan kepada kaum yang belum datang kepada mereka orang yang memberikan peringatan sebelum engkau, agar mereka mengerti.” (al-Qashash: 46)


وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَى حَتَّى يَبْعَثَ فِي أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَى إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ

Ertinya: “Dan Tuhan engkau tidaklah membinasakan penduduk negeri itu, sebelum mengutuskan seorang Rasul di kota negeri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Kami. Dan Kami tidak membinasakan penduduk negeri, melainkan penduduk negeri itu melakukan kezaliman.” (al-Qashash: 59)

Ayat-ayat di atas menunjukkan sesungguhnya ahli fatrah yakni golongan yang belum diutuskan rasul kepada mereka tidak akan diseksa oleh Allah, dan mereka adalah golongan yang terselamat. Adapun kedua ibu bapa baginda Muhammad SAW, termasuk dalam kalangan ahli fatrah, kerana mereka tidak hidup pada waktu kerasulan baginda Muhammad SAW.

Hal ini menimbulkan kontradiksi serta mencetuskan kontroversi, sebab khabar ahad menyebutkan mengenai ibu bapa baginda yang diseksa, tetapi dalil qath’i al-tsubut (al-Qur’an) menyebutkan bahawa ahli fatrah –termasuklah kedua-dua ibu bapa baginda Muhammad SAW- tidak akan diseksa. Oleh yang demikian, dalil yang qath’i yaitu firman Allah SWT mesti didahulukan berbanding khabar ahad tadi. Jadi, ibu bapa nabi Muhammad SAW termasuk ahli fatrah, dan ahli fatrah adalah golongan yang terselamat daripada seksaan Allah SWT.

Wallahu a’lam bis shawab.   


Monday, September 19, 2011

Kitab Rujukan Fatwa 4 Mazhab

Alhamdulillah, pada kali ini saya akan berkongsi tentang kitab-kitab yang menjadi rujukan utama dalam fatwa empat madzhab (Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali).



Madzhab Hanafi: 
  • Zahir al-Riwayat
Di dalam kitab ini mengandungi kitab karya susunan Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani: Jami' al-Kabir, Jami' al-Saghir, Siyar al-Kabir, Siyar al-Saghir, Al-Mabsut, Ziyadah.
  • Al-Kaisaniyat, Al-Haruniyat, Al-Jurjaniyat, Riqiyat. Kesemuanya ini karya Muhammad al-Hasan al-Syaibani.
  • Nawazil karya al-Samarqandi, Majmu' al-Nawazil karya al-Natifi dan Waqi'at karya Sadr al-Syahid Ibn Mas'ud.

Madzhab Maliki: 
  • Al-Mudawwanah
Pendapat Malik di dalam kitab al-Mudawwanah lebih utama berbanding Ibn al-Qasim. Pendapat Ibn al-Qasim di dalam kitab al-Mudawwanah lebih utama berbanding pendapat orang lain. Pendapat orang lain di dalam kitab al-Mudawwanah lebih utama berbanding pendapat Ibn al-Qasim di dalam kitab yang lain kerana kitab al-Mudawwanah memuatkan pendapat yang sah (sahih dan muktamad).

Madzhab Syafi'i: 
  • Minhaj al-Tholibin. 
  • Tuhfatul Muhtaj.
  • Nihayatul Muhtaj.
  • Mughni al-Muhtaj.

Madzhab Hanbali:
  • Al-Mughni.
  • Syarh al-Kabir.
  • Kasyf al-Qina'.
  • Syarh al-Muntaha al-Iradat.
  • Syarh al-Zad.
  • Syarh al-Dalil.
Menurut temanku yang bermadzhab Hanbali, sebenarnya tidak diketahui manakah kitab Hanbali yang muktamad. Ini kerana kebanyakan para ulama dalam madzhab Hanbali banyak berbeza pendapat.

Apa pun, sekiranya mahu rujuk fatwa di dalam madzhab Hanbali, boleh merujuk kepada kitab-kitab yang telah disebutkan.

Oleh itu, sekiranya kita ingin mencari pendapat yang muktamad bagi keempat-empat madzhab tersebut, maka janganlah diabaikan kitab-kitab rujukan yang utama ini. 

Sekian  Wassalam.

Sumber:
1. Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu. Dr. Wahbah Al-Zuhaili.
2. http://www.ilmgate.org/ibn-abidins-division-of-hanafi-legal-rulings/
3. http://en.wikipedia.org/wiki/Maliki
4. http://www.shafiifiqh.com/?p=195

Friday, August 19, 2011

Ijmak Jumhur Ulama

Dengan Nama Allah Tuhan yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani.

Ijma': Sumber Hukum Syarak
Sumber hukum Islam ada banyak dan sumber hukum Islam juga dikenali sebagai 'dalil hukum syarak'. Terdapat banyak sumber hukum Islam. Menurut mazhab al-Syafi'i, ada empat sumber hukum syarak yang asas iaitu al-Qur'an, al-Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Adapun, selain mazhab al-Syafi'i, ada sumber hukum syarak yang lain. Jadi, kalian dapat lihat bahawa Ijma' termasuk sumber hukum syarak. Dan perbahasan pada kali ini adalah seputar Ijma'. 

Dalil Ijma'
Terdapat banyak sekali dalil yang menunjukkan bahawa Ijma' termasuk ke dalam sumber hukum syarak.  Antaranya ialah: 

1. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Ertinya: 
Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, maka Kami biarkan ia berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami akan masukkan ia ke dalam neraka Jahannam dan itu adalah seburuk-buruk tempat. (Surah al-Nisa' ayat 115)

2. Hadis Rasulullah SAW:

فمن سره بحبحة الجنة فليلزم الجماعة فإن الشيطان مع الفذ

Ertinya: 
Barangsiapa yang ingin menempati syurga, maka bergabunglah dengan 'al-Jamaah'. Ini kerana syaitan akan bersama dengan orang-orang yang menyendiri. (Riwayat al-Syafi'i dari kitab al-Risalah)


Manakah Ijma' yang Dapat Dijadikan Hujah?
Para ulama' telah berselisih pendapat tentang hal ini. Namun, saya akan meringkaskannya: 
  1. Ijmak Umum: Ijmak kaum muslimin.
  2. Ijmak Khusus di sisi Imam al-Syafi'i: Ijmak para ulama' mujtahid.
  3. Ijmak di sisi Imam Malik: Ijmak Ahl al-Madinah. 
  4. Ijmak menurut Imam Ahmad: Ijmak Sahabat.
  5. Ijmak yang diterima juga oleh Al-Amidi: Ijmak Sukuti.
  6. Ijmak yang ada disebutkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah: Ijmak Jumhur Ulama. 
  7. Ijmak Syiah: Ijmak para imam dan mujtahid di sisi mereka. 



Ertinya: "...Mazhab Syiah berpendapat bahawa ijma' yang dapat dijadikan hujah ialah ijma' para imam dan mujtahid di sisi mereka. Adapun menurut Jumhur, ijma' di sisi mereka ialah ijma' Jumhur Ulama. "

Kesimpulannya, lain mujtahid, lain pula bentuk ijma' yang diterima oleh mereka. 

Wallahu a'lam bis shawab.


Rujukan:
1. Usul al-Fiqh - Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Pengantar Usul Fiqh - Abdul Latif Muda & Dr. Rosmawati. 

Sunday, July 17, 2011

Perbezaan Fiqh Dalil Nisfu Syaaban

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

   Tatkala menjelang bulan Syaaban, ramai masyarakat Malaysia mula bertanyakan tentang keistimewaan beribadah pada bulan ini. Lalu, tulisan-tulisan tentang bulan Syaaban pun membanjiri buku-buku, majalah, risalah, laman web dan blog.

   Dulu, apabila tiba bulan Syaaban, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam akan menghidupkan bulan ini dengan berpuasa. Ini sebagaimana yang telah diceritakan oleh isteri baginda iaitu Saidatina Aisyah RA:

لَمْ يكن النبي - صلى الله عليه وسلم - يَصُومُ مِنْ شَهْرٍ أكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ

Ertinya:
Tidak pernah aku melihat Nabi SAW berpuasa lebih banyak dari mengerjakan puasa dalam bulan Syaaban. (Riwayat Al-Bukhari)

   Pernah Usamah bin Zaid RA bertanya Rasulullah SAW tentang amalan baginda memperbanyakan berpuasa di bulan Syaaban, lalu Rasulullah SAW menjawab:
 ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاس عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَان ، وَهُوَ شَهْر تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَال إِلَى رَبّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Ertinya:
Itu adalah bulan antara Rejab dan Ramadan yang sering dilalaikan oleh manusia. Ia adalah bulan diangkatnya amal kepada Allah Penguasa Sekalian Alam. Aku ingin supaya amalku diangkat ketika aku sedang berpuasa. (Riwayat Ahmad dan Al-Nasa’i, Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata di dalam kitab Fath al-Bari: Disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah. Dinilai Hasan oleh Syeikh Al-Albani. Terdapat juga riwayat dari kitab Musnad Al-Sahabat fi Al-Kitab al-Tis’ah yang dinilai Hasan oleh Syeikh Syuaib Arnout)

   Inilah nas-nas yang menunjukkan fadilat bulan Syaaban. Nabi Muhammad SAW amat meraikan bulan Syaaban dengan memperbanyak amal soleh. Mungkinkah benar ramai umat Islam melalaikan bulan Syaaban sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas? Ini kerana sebahagian mereka bimbang mengerjakan amal soleh pada bulan Syaaban adalah merupakan suatu bid’ah, padahal jika semakin kurang amal solehnya pada bulan Syaaban itu sendiri maka ia terlepas mendapat fadilat bulan Syaaban.

   Alhamdulillah, perbincangan mengenai fadilat bulan Syaaban sudah pun selesai. Kini, kita beralih tumpuan kepada Nisfu Syaaban pula. Terdapat beberapa riwayat tentang Nisfu Syaaban. Riwayat-riwayat ini seakan memberi isyarat yang sama seperti riwayat fadilat bulan Syaaban iaitu anjuran supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyakkan amal soleh pada malam Nisfu Syaaban. Antara riwayat-riwayat tersebut ialah:

إن الله ليطلع فى ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن (ابن ماجه عن أبى موسى) أخرجه ابن ماجه ، قال البوصيرى : إسناده ضعيف .
Ertinya:
Sesungguhnya Allah memerhatikan hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu memberi keampunan terhadap sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang musyrik dan orang yang suka berbalah. (Riwayat Ibnu Majah, berkata Al-Bushiri: Sanad hadis ini Daif)

   Bagi siapa sahaja yang pernah menjadi penuntut ilmu hadis, dia pernah mendengar peringatan yang diberikan oleh guru-guru hadis mereka iaitu belum tentu seorang perawi yang lemah atau berdusta akan selamanya berdusta. Maksudnya, boleh jadi perawi yang lemah atau pendusta bercakap benar atau meriwayatkan sesuatu yang benar (bukan palsu). Maka, penelitian yang kritis dan cermat perlu diusahakan sebelum menilai hadis di atas sebagai palsu (Maudhu’).

فى ليلة النصف من شعبان يغفر الله لأهل الأرض إلا لمشرك أو مشاحن. رواه البيهقى وقال هذا مرسل جيد .

Ertinya:
Pada malam Nisfu Syaaban, akan diampunkan Allah sekalian makhluk di bumi melainkan orang yang musyrik atau berbalah. (Riwayat Al-Baihaqi, katanya: Hadis ini Mursal Jayyid)

   Imam Al-Baihaqi adalah merupakan salah seorang pakar hadis. Beliau menilai hadis di atas sebagai Mursal. Adapun Hadis Mursal, ia hadis yang tidak terlalu lemah di sisi Ahli Hadis, dan lebih boleh diamalkan di sisi Ahli Fiqh. Ini kerana fuqaha’ berbeza pendapat tentang kehujahan Hadis Mursal. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad, Hadis Mursal adalah Sahih. Tetapi Imam Syafi’i memberikan syarat-syarat tertentu sebelum hadis Mursal diterima (Maqbul). Secara umum, Hadis Mursal adalah merupakan riwayat seorang Tabiin. Menurut Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya Al-Taqrib wa Al-Taisir, Tabiin adalah merupakan seorang yang pernah berjumpa dengan Sahabat Nabi. Manakala istilah Sahabat pula merujuk kepada seseorang yang pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Begitulah rantaiannya.   

يطلع الله إلى خلقه فى ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن

Ertinya:
Allah SWT memerhatikan kepada sekalian makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu memberikan keampunan kepada sekalian makhluk-Nya melainkan orang yang musyrik atau orang yang berbalah. (Riwayat Al-Thabrani, dinilai Sahih oleh Ibnu Hibban, Syeikh Al-Albani dan Syeikh Syuaib Arnout)

   Dan riwayat di atas ini telah dinilai Sahih oleh Ibnu Hibban, Syeikh Al-Albani dan Syeikh Syuaib Arnout. Begitu juga dengan pendapat Dr. Asri Zainal Abidin dalam salah satu penulisan beliau, ia berkata “Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban)…” 




   Sungguhpun begitu, terjadi perbezaan fiqh atau pemahaman terhadap riwayat-riwayat ini. Sebahagian cuba menjelaskan bahawa dalil di atas tidak menunjukkan apakah amalan yang harus dikerjakan. Maka, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi. Ada juga yang mengatakan bahawa kita hanya perlu elak daripada syirik serta elak berbalah agar diampunkan oleh Allah SWT. Inilah pemahaman mereka terhadap nas-nas di atas.

   Sebahagian yang lain pula menjelaskan bahawa dalil di atas adalah merupakan suatu isyarat yang menunjukkan supaya memperbanyakkan amal soleh. Ini kerana dalil di atas apabila dicermati pada lafaznya, “Allah SWT memerhatikan sekalian makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban…” ia menunjukkan supaya anjuran memperbanyakkan amal soleh pada malam Nisfu Syaaban. Begitu juga dengan lafaz, “Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh” ini yang menunjukkan suatu anjuran supaya mengelakkan diri dari perbuatan mensyirikkan Allah SWT serta tumpukan perhatian kepada ibadah dan tidak bermusuhan. Cara bagi mengelakkan syirik tidak lain tidak bukan adalah cara yang sama dengan usaha beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Adapun, orang-orang yang beriman adalah mereka yang memperbanyakkan amal soleh seperti membaca al-Qur’an, berzikir, berdoa serta menghidupkan malam dengan solat-solat sunat seperti solat Tahajjud dan Solat Witir. Semua bentuk amalan ini yakni membaca al-Qur’an, berzikir, berdoa serta solat-solat sunat bukan suatu bentuk ibadah yang hanya dikhususkan pada malam Nisfu Syaaban, tetapi ianya tetap dikerjakan oleh ramai umat Islam pada malam-malam yang lain.    


قال الشافعي : « وبلغنا أنه كان يقال إن الدعاء يستجاب في خمس ليال في ليلة الجمعة ، وليلة الأضحى ، وليلة الفطر ، وأول ليلة من رجب ، وليلة النصف من شعبان »
Berkata Imam Syafi‘i (di dalam kitabnya Al-Umm), “Telah dikhabarkan kepada kami sesungguhnya dikatakan bahawa doa yang mustajab adalah pada malam Jumaat, malam 2 hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

   Imam Syafi’i adalah merupakan ulama’ hadis, sering beliau menolak khabar-khabar yang tidak benar atau tidak sahih. Adapun khabar di atas beliau tidak menolaknya. 

   Sebelum Imam Syafi’i, sudah terdapat sebahagian salaf yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban di masjid seperti Khalid bin Ma’dan, Luqman bin Amir dan Makhul. Ini sebagaimana yang pernah diberitahu oleh Ustaz Umar Muhammad Noor dalam audio kuliah Hadis Daif di blog beliau. Di dalam kitab I’lamul Muwaqqiin, ada menyebutkan bahawa Khalid bin Ma’dan adalah merupakan antara mufti di Syam. Seorang mufti atau pemberi fatwa mesti terlebih dahulu menguasai Al-Qur’an dan Al-Sunah. Manakala, Makhul pula adalah merupakan antara ahli fiqh di Syam. Semua mereka ini dari golongan salaf yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan amal soleh.

   Terdapat sebahagian orang mengatakan bahawa berkumpul di masjid pada malam Nisfu Syaaban tidak pernah dianjurkan, maka ianya sesuatu yang bukan dari ajaran nabi. Ini tidak benar. Hal yang benar, dalil di atas turut menunjukkan supaya umat Islam mengelakkan permusuhan dan menghubungkan silaturrahim. Termasuk perkara yang menghubungkan silaturrahim ialah berkumpul di masjid bersama-sama umat Islam yang lain bagi menghidupkan malam Nisfu Syaaban.

   Sebahagian yang lain berkeras menolak amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban kerana beranggapan bahawa ianya merupakan tradisi Syiah yang menunggu kemunculan Imam yang mereka tunggu-tunggu. Mereka yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban pula menjawab bahawa apa yang dipermasalahkan pada perkara tersebut adalah menunggu kemunculan Imam yang ditunggu oleh Syiah. Adapun, jika tanpa mengikuti kepercayaan Syiah, maka tiada halangan untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban.

   Demikianlah perbahasan tentang perbezaan fiqh atau pemahaman terhadap dalil Nisfu Syaaban. Sekian.

Wassalamualaikum. 


Saturday, July 2, 2011

Penyebaran Mazhab Syafi'e Di Nusantara


Pendahuluan
Madzhab dari segi bahasa bermaksud jalan pergi. Menurut perspektif fuqaha’, mazhab adalah merupakan sekumpulan pemikiran-pemikiran mujtahid dalam bidang penggalian hukum syariat dengan menggunakan dalil-dalil secara terperinci, kaedah-kaedah dan usul, serta memiliki keterkaitan antara satu dengan yang lain, lalu membentuk kesepaduan. [1]

   Mazhab Syafi’e adalah merupakan istilah khusus bagi merujuk kepada kelompok yang mengikuti Imam Muhammad bin Idris Al-Syafi’e sama ada dari segi metod penggalian hukum mahupun pemahamannya tentang hukum syarak (fiqh).

Permulaan Penyebaran Mazhab Syafi’e
   Imam Al-Syafi’e telah menghafaz al-Qur’an pada umur 7 tahun. Kemudian, beliau telah mendalami bahasa Arab bersama suku Hudzail. Beliau juga telah berguru dengan mufti-mufti Mekah seperti Muslim bin Khalid al-Zanji dan Sufyan bin ‘Uyainah. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang hadis bersama Imam Malik, Mufti Madinah, dan beliau sempat menghafaz kitab Al-Muwattha’ susunan Imam Malik ketika berusia 13 tahun. Kecerdasan Imam Al-Syafi’e selalu memikat hati guru-gurunya dan beliau diberi kepercayaan oleh guru-gurunya untuk mengeluarkan fatwa sejak umurnya mencecah 15 tahun.

   Imam Al-Syafi’e sangat tekun pergi belajar dari para ulama’ Hijaz dan Iraq. Beliau juga selalu mengikuti perdebatan-perdebatan ilmiah, meneliti dan mencermati tulisan-tulisan ulama’ yang masyhur. Sikapnya ini telah membuka mata beliau akan kelemahan hujah mazhab Ahl al-Ra’yi dan Ahl al-Hadis yang sedia ada di zamannya. Lalu, beliau mulai mengajar dan menyebarkan mazhabnya di Hijaz, Iraq, dan Mesir yang merupakan kombinasi antara metod dan pemahaman Ahl al-Ra’yi dan Ahl al-Hadis serta berjaya merangka dasar mazhab yang dipandang sistematik.

Penyebaran Mazhab Syafi’e di Kepulauan Melayu
Penyebaran Mazhab Syafi’e di Kepulauan Melayu terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu penyebaran melalui mubaligh yang dipercayai sebagai Ahl Al-Bait, penyebaran melalui institusi pendidikan dan penyebaran melalui tulisan.

Mubaligh Ahl Al-Bait
   Terdapat beberapa pandangan tentang teori kedatangan Islam di Kepulauan Melayu, mungkin ia dibawa oleh mubaligh dari Arab, Parsi, India atau Cina. Sungguhpun demikian, kebanyakan sejarawan menyokong pendapat yang mengatakan bahawa Islam telah dibawa tidak secara langsung dari Arab, tetapi menerusi pedagang-pedagang dari Malabar atau Koromandel (Gujerat). [2]  Dan kebanyakan mubaligh Islam yang datang ke Nusantara adalah dari keturunan Ahl Al-Bait.
 
   Kebenaran hal ini dapat ditinjau sejak zaman Imam Al-Syafi’e. Pada ketika Imam Al-Syafi’e bekerja di Yaman, beliau selalu bersikap jujur dan adil, sampai siapa pun tidak berpeluang untuk memberikan rasuah kepadanya. Selain itu, beliau sering menunjukkan penghormatan dan kecintaan beliau terhadap Ahl al-Bait. Imam Al-Syafi’e pernah berkata, “Sekiranya mencintai keluarga Muhammad (Ahl al-Bait) itu adalah ciri orang (Syiah) Rafidhah, maka saksikanlah wahai jin dan manusia bahawa aku adalah pengikut (Syiah) Rafidhah (dalam mencintai Ahl al-Bait).[3]
 
  Ucapan Imam Al-Syafi'e ini menyebabkan beliau disenangi dari kalangan Ahl Al-Bait. Sampai mereka yang berasa iri hati kepada Imam Al-Syafi'e mula melaporkan kepada khalifah bahawa Imam Al-Syafi'e adalah ketua kaum yang cuba merebut kuasa khalifah. Khalifah pun membuat soal-siasat terhadap Imam Al-Syafi’e dan akhirnya khalifah mula membebaskan beliau kerana menyedari bahawa tuduhan itu adalah merupakan bentuk salah faham yang tidak boleh dijadikan alasan untuk menghukum Imam Al-Syafi’e.

   Sejak peristiwa tersebut, pengaruh Imam Al-Syafi’e semakin kuat menjalar dalam kalangan Ahl Al-Bait terutama dari Hadhramaut dan mendorong mereka untuk mempelajari, mengikuti dan menyebarkan Mazhab Al-Syafi’e.



   Muhammad Al-Syatiri, seorang sejarawan Hadhramaut berkata:
Mazhab Ibadiyah adalah mazhab yang dominan di sana (Hadhramaut)…Tetapi Imam Al-Muhajir (Ahmad bin Isa) dengan ilmunya, kekuatan peribadinya dan keberaniannya mampu menyebarkan Mazhab Sunni Syafi’e di Hadhramaut…Berkata ia: Berubahlah tanah Hadhramaut menjadi negeri Sunni Syafi’e...[4]

   Al-Habib Abdullah bin Alwi Al-Attas berkata dalam bukunya Al-Ilmu Nibras fi Al-Tanbih ‘Ala Man Hajil Akyas tentang kaum Alawiyyin:[5]
Mereka adalah seperti rantai, jika bergerak seuntai bergerak pula untai yang lain. Mereka semua Ahl al-Sunnah wa Al-Jamaah, bermazhab Syafi’e, berakidah Asy’ari.

   Hasilnya, beberapa ulama Ahl Al-Bait telah mengembara ke Nusantara menyebarkan Islam sekaligus mengajarkan fiqh Mazhab Al-Syafi’e. Antara ulama Ahl Al-Bait tersebut ialah:

1.      Syeikh Ismail.
   Syeikh Ismail telah dihantar oleh Syarif Mekah bagi menyebarkan Islam di Samudera Pasai. Beliau diminta pergi ke Malabar, dan berjumpa dengan Raja di sana, iaitu Sultan Muhammad (Faqir Muhammad).[6] Kemudian Faqir Muhammad ingin menyertai Syeikh Ismail ke Samudera Pasai, dan memberikan takhta kerajaan kepada keturunannya.

   Sebelum kedatangan Syeikh Ismail, kerajaan Perlak Samudera Pasai telah ditakluki oleh pemerintah Syiah. Oleh sebab itu, syarif-syarif Mekah menghantar Syeikh Ismail ke Samudera Pasai dan tiba di sana pada abad ke-13, kira-kira pada tahun 1261-1289 M,[7] bagi menyebarkan Islam serta memperjuangkan mazhab Sunni.[8] Namun, dalam masa menyebarkan mazhab Sunni, Syeikh Ismail yang dikatakan bahawa beliau bermazhab Syafi’e[9]  telah mengajarkan fiqh mazhab Syafi’e kepada pemerintah dan masyarakat. Oleh kerana itu, tidaklah salah seandainya kita mengatakan bahawa Syeikh Ismail inilah orang pertama yang dikenali membawa mazhab Syafi’e ke Nusantara.

   Memang benar, sebelum kedatangan Syeikh Ismail ke Nusantara, seorang mubaligh yang dikenali sebagai Syeikh Abdullah Arif, bermazhab Sunni, telahpun terlebih dahulu sampai ke Nusantara. Namun, Syeikh Abdullah Arif tidak dikenali sebagai orang yang membawa mazhab Syafi’e. Beliau dikatakan pernah berguru dengan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, dan berwatak seperti seorang ahli sufi.[10] Kemungkinan yang dapat diambil ialah Syeikh Abdullah Arif lebih memfokuskan kepada Tasawuf dan tidak dikenali sebagai orang yang mengajarkan fiqh mazhab Syafi’e kepada pemerintah dan masyarakat. 

2.      Syed Abdul Aziz.
Beliau datang dari Jeddah ke Melaka yang ditugaskan untuk mengislamkan Raja Melaka bernama Sultan Muhammad Shah (1424-1444 M).[11]
 
3.      Syarif Ali.
Beliau telah berkahwin dengan puteri Sultan Ahmad-Sultan Brunei, dan apabila Sultan Ahmad mangkat, Syarif Ali diangkat menjadi Sultan Brunei yang ketiga bermula pada awal abad ke 15 Masihi.[12] Ayahnya bernama Syarif Ajlan bin Syarif Rumaithah bin Syarif Muhammad Abu Nu’mai bin Syarif Abu Saad Al-Hasan bin Syarif Ali Al-Akbar bin Syarif Qitadah bin Syarif Idris bin Syarif Muta’in bin Syarif Abduk Karim bin Syarif Isa bin Sayrif Al-Hussein bin Syarif Sulaiman bin Syarif Ali bin Syarif Abdullah bin Syarif Abu Jaafar Muhammad bin Syarif Abdullah Al-Akbar bin Syarif Muhammad Al-Thaer bin Syarif Musa al-Tsani bin Syarif Abdullah Al-Salleh bin Musa Al-Jaun Abdul Hasan bin Abdullah Al-Muhudh bin Syarif Hassan Al-Mutsanna bin Saidina Hasan bin Saidina Fatimah binti Rasulullah SAW.[13]

4.      Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati.
Beliau bertanggungjawab menyebarkan Islam dan fiqh Mazhab Al-Syafi’e di Banten dan Cirebon (Tanah Jawa) pada abad 16 Masihi. Ayahnya bernama Abdullah  bin Ali Alam (Ali Nurul Alam) bin Jamaluddin Al-Hussein bin Ahmad Syah Jalal bin Abdullah bin Abdul Malik bin Alawi Amal al-Faqih bin Muhammad Shahib Mirbath bin Ali Khali’ Qasam bin Alawi bin Muhammad bin Alawi bin Ubaidillah bin Ahmad Muhajirullah bin Isa Al-Rumi bin Muhammad Naqib bin Ali Al-Uraidhi bin Jaafar Al-Sadiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Saidina Al-Hussein bin Saidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.[14]
 
5.      Syarif al-Hasyim atau Syed Abu Bakar.
Beliau merupakan pengasas kesultanan Ahl al-Bait di Sulu (Filipina Lama).  Ayahnya bernama Syarif Ali Zainal Abidin bin Syed Muhammad bin Syed Ali bin Syed Abdullah bin Syed Alwi bin Syed Muhammad Shahib Mirbath bin Ali Khali’ Qasam bin Alawi bin Muhammad bin Alawi bin Ubaidillah bin Ahmad Muhajirullah bin Isa Al-Rumi bin Muhammad Naqib bin Ali Al-Uraidhi bin Jaafar al-Sadiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Saidina Al-Hussein bin Saidina Fatimah binti Rasulullah SAW.[15]
 
Institusi Pendidikan
   Pada awal penerimaan Islam oleh Kerajaan Melaka, pemimpin-pemimpin masyarakat telah menerima pendidikan Islam menerusi beberapa tempat, iaitu di istana dan di rumah ulama’.[16] Selepas kejatuhan Melaka, Acheh telah mengambil alih menjadi pusat pengajian Islam. Dan masjid dijadikan sebagai pusat pengajian Islam.[17] Di Pattani pula, institusi pondok terkenal sebagai tempat pendidikan Islam tradisional.[18] Kesemua tempat-tempat ini dijadikan sebagai tempat bagi menyebarkan atau mengajarkan fiqh Mazhab Syafi’e.

   Tidak cukup dengan institusi pendidikan tempatan, masyarakat juga telah menerima pendidikan tentang Mazhab Syafi’e menerusi institusi pendidikan antarabangsa. Telah dikenal pasti bahawa terdapat satu bahagian pengajian di Universiti Al-Azhar yang dikhususkan untuk orang Jawa, yakni orang-orang Islam yang datang dari Nusantara sejak sebelum abad ke-20. Mesir memang sudah lama terkenal sebagai pusat utama keilmuwan mazhab Syafi’e.[19]
 
   Selain itu, orang-orang yang datang dari Nusantara turut berpeluang mengaji pendidikan mazhab Syafi’e di Masjidil Haram dari Syeikh Nawawi Banten, Syeikh Ahmad Khatib dan Kiyai Mahfuhz Termas. Ketiga-tiga tokoh ini bertanggungjawab mengajarkan fiqh mazhab Syafi’e di Masjidil Haram pada suatu masa dulu.[20]
 
Penulisan
Penyebaran Mazhab Syafi’e melalui penulisan memang sudah masyhur diketahui. Menurut pengkaji sejarah, kitab-kitab yang dijadikan rujukan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu ialah:[21]
 
1. Duril Mazlum (Al-Dur Al-Manzum).
Karya Syeikh Abu Ishaq Al-Syirazi. Salah seorang tokoh Mazhab Al-Syafi’e. Kitab ini dipercayai adalah kitab Akidah dan Tasauf yang membincangkan tentang Zat, Sifat dan Af’al Allah.[22] Sebenarnya terdapat pengkaji sejarah yang mengatakan bahawa kitab ini adalah karya Maulana Abu Bakar, anak murid Abu Ishaq Al-Syirazi, yang dibawa ke nusantara. Namun, dalam buku Sulalatus Salatin-Sejarah Melayu, menceritakan bahawa karya itu adalah merupakan karya Abu Ishaq yang diberi kepada muridnya Abu Bakar, lalu disuruh Abu Bakar mengajarkan kitab itu kepada orang lain.[23]
 
2. Minhaj Al-Talibin.
Karya Imam Al-Nawawi. Merupakan ulama Mazhab Syafi’e yang masyhur. Kitab ini fokus kepada fiqh Mazhab Syafi’e.
3. Ihya’ Ulum al-Din.
Karya Imam Abu Hamid Al-Ghazali. Terkenal sebagai pengikut mazhab Syafi’e. Kitab ini sangat tebal dan meliputi perbahasan mengenai Akidah, Ibadat dan Akhlak.
   Setelah kitab-kitab di atas, muncul pula kitab-kitab fiqh Mazhab Syafi’e yang lain di Nusantara seperti:
  1. Shirat al-Mustaqim. Karya Nuruddin Al-Raniri.[24]
  2. Mi’rat al-Thullab. Karya Abdul Raud Sengkel.[25]
  3. Tuhfatul Muhtaj. Karya Ibn Hajar Al-Haitami. Sebahagian telah diterjemahkan, kira-kira sejak sebelum abad ke-19.[26]
  4. Sabilal Muhtadin. Karya Arsyad al-Banjari.[27]
   Selanjutnya, kitab-kitab fiqh Mazhab Syafi’e terus-menerus diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh penerbit-penerbit tempatan (Malaysia):
  1. Penerbit Pustaka Antara Kuala Lumpur telah menerbitkan kitab Al-Umm (Imam Al-Syafi’e).
  2. Penerbit Klang Book Centre telah menerbitkan kitab Fath Al-Mu’in (Zainuddin bin Abdul Aziz Al-Malibari).
  3. Penerbit Jahabersa telah menerbitkan kitab Al-Iqna’ (Khatib Syarbini), Matla’ Al-Badrain dan Asybah wa Al-Nazhair (Imam Al-Suyuti).
  4. Penerbit Jasmine telah menerbitkan kitab Al-Mu’tamad (Muhammad Az-Zuhaili).
  5. Penerbit Pustaka Salam telah menerbitkan Al-Fiqh Al-Manhaji (Mustafa Al-Bugho, Mustafa al-Khen, Ali Al-Syarbaji).    


NOTA KAKI



[1] Hlm. 169. Ensiklopedia Imam Syafi’i. Penerbit Hikmah. (2008)
[2] Hlm. 680. Sejarah Umat Islam. Pustaka Nasional Pte Ltd. (2002)
[3] Hlm. 103. Ensiklopedia Imam Syafi’i. Penerbit Hikmah. (2008)
[4] Hlm. 95. Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja. Penerbit Media Stria Sdn Bhd. (2008)
[5] Hlm. 96. Ibid.
[6] Hlm. 76. Malaysia Kita. INTAN. (1994)
[7] Hlm. 142. Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja. Penerbit Media Stria Sdn Bhd. (2008) Pengiraan ini berdasarkan tempoh pemerintahan Raja Meru Silu yang kemudian diislamkan oleh Syeikh Ismail dan mulai digelar Sultan Malik al-Saleh. Sebahagian pengkaji sejarah Indonesia menolak kenyataan Syeikh Ismail mengislamkan Raja Meru Silu dengan alasan Perlak Samudera Pasai telahpun menjadi kerajaan Islam  (yang diperintah oleh Syiah) sebelum Raja Meru Silu memerintah. Alasan yang dibuat hujah bahawa Syeikh Ismail mengislamkan Raja Meru Silu pula adalah fokus pada pertukaran nama Meru Silu kepada Malik Al-Saleh.
[9] Hlm. 93. Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja. Penerbit Media Stria Sdn Bhd. (2008)
[11] Hlm. 94. Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja. Penerbit Media Stria Sdn Bhd. (2008)
[12] Hlm. 64-65. Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Karisma Publications. (2009)
[13] Hlm. 85. Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja. Penerbit Media Stria Sdn Bhd. (2008)
[14] Hlm. 88. Ibid.
[15] Hlm. 87. Ibid.
[16] Hlm. 121. Nota Lengkap STPM Tamadun Islam. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd. (2004)
[17] Hlm. 122. Ibid.
[18] Hlm. 122. Ibid.
[19] Hlm. 35. Kitab Kuning, Pesantren, dan Tarekat: Tradisi-tradisi Islam di Indonesia. Penerbit Mizan. (1995)
[20] Hlm. 37-38. Ibid.
[21] Hlm. 183. Longman Teks Pra-U STPM Tamadun Islam. Penerbit Pearson Malaysia Sdn Bhd. (2009)
[22] Hlm. 156-157. Sulalatus Salatin-Sejarah Melayu. Penerbit Dewan Bahasa & Pustaka. (2006)
[23] Hlm. 157. Ibid.
[24] Hlm. 113. Kitab Kuning, Pesantren, dan Tarekat: Tradisi-tradisi Islam di Indonesia. Penerbit Mizan. (1995)
[25] Hlm. 113. Ibid.
[26] Hlm. 113. Ibid.
[27] Hlm. 127. Ibid.


BIBLIOGRAFI

Buku
Abdul Rahman Hj. Ismail. Cetakan Pertama, 2005. Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Ahmad Nahrawi. Cetakan Pertama, 2008. Ensiklopedia Imam Syafi’i. Jakarta Selatan. Penerbit Hikmah. 
Hamka, Prof.. Cetakan Keempat, 2002 (Edisi Baru). Sejarah Umat Islam. Singapura. Pustaka Nasional Pte Ltd.
Ibnu Batutah. Cetakan Pertama, 2003. Pengembaraan Ibn Battutah. Kuala Lumpur. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Mahayudin Hj Yahaya. Cetakan Keempat, 2004. Nota Lengkap STPM Tamadun Islam. Selangor. Fajar Bakti Sdn. Bhd. 
Mahayudin Hj. Yahaya. Cetakan Kedua, 2001. Islam Di Alam Melayu. Kuala Lumpur. Dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahdi Shuid, Rumaizuddin Ghazali, Hazlina Mansor. Cetakan Pertama, 2009. Longman Teks Pra-U STPM Tamadun Islam. Selangor. Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Martin van Bruinessen. Cetakan Kedua, 1995. Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat: Tradisi-tradisi Islam di Indonesia. Bandung, Indonesia. Penerbit Mizan.
Panel Penulis. Cetakan Kedua, 1994. Malaysia Kita. Kuala Lumpur. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Panel Penulis. Cetakan Kedua, 2004. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Melaka. Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).
Panel Penulis. Cetakan Pertama, 2001. Imam Shafie: Ulama Pembimbing Hidup Beragama Di Nusantara. Johor. Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Johor.
Penterjemah: Suhaiza bt. Ibrahim. Cetakan Pertama, 2007. Malaysia Negara Kita. Malaysia. MDC Publishers Sdn. Bhd.
Saifullah Mohd Sawi, Samsu Adabi Mamat. Terbitan Pertama, 2009. Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Selangor. Karisma Publications Sdn. Bhd.
Samad Ahmad, A. Cetakan Kesebelas, 2006. Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suzana Hj. Othman. Cetakan Pertama, 2008. Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja. Kuala Lumpur. Media Satria Sdn. Bhd.  

Laman Web