Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Tatkala menjelang bulan Syaaban, ramai masyarakat Malaysia mula bertanyakan tentang keistimewaan beribadah pada bulan ini. Lalu, tulisan-tulisan tentang bulan Syaaban pun membanjiri buku-buku, majalah, risalah, laman web dan blog.
Dulu, apabila tiba bulan Syaaban, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam akan menghidupkan bulan ini dengan berpuasa. Ini sebagaimana yang telah diceritakan oleh isteri baginda iaitu Saidatina Aisyah RA:
لَمْ يكن النبي - صلى الله عليه وسلم - يَصُومُ مِنْ شَهْرٍ أكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ
Ertinya:
Tidak pernah aku melihat Nabi SAW berpuasa lebih banyak dari mengerjakan puasa dalam bulan Syaaban. (Riwayat Al-Bukhari)
Pernah Usamah bin Zaid RA bertanya Rasulullah SAW tentang amalan baginda memperbanyakan berpuasa di bulan Syaaban, lalu Rasulullah SAW menjawab:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاس عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَان ، وَهُوَ شَهْر تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَال إِلَى رَبّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Ertinya:
Itu adalah bulan antara Rejab dan Ramadan yang sering dilalaikan oleh manusia. Ia adalah bulan diangkatnya amal kepada Allah Penguasa Sekalian Alam. Aku ingin supaya amalku diangkat ketika aku sedang berpuasa. (Riwayat Ahmad dan Al-Nasa’i, Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata di dalam kitab Fath al-Bari: Disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah. Dinilai Hasan oleh Syeikh Al-Albani. Terdapat juga riwayat dari kitab Musnad Al-Sahabat fi Al-Kitab al-Tis’ah yang dinilai Hasan oleh Syeikh Syuaib Arnout)
Inilah nas-nas yang menunjukkan fadilat bulan Syaaban. Nabi Muhammad SAW amat meraikan bulan Syaaban dengan memperbanyak amal soleh. Mungkinkah benar ramai umat Islam melalaikan bulan Syaaban sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas? Ini kerana sebahagian mereka bimbang mengerjakan amal soleh pada bulan Syaaban adalah merupakan suatu bid’ah, padahal jika semakin kurang amal solehnya pada bulan Syaaban itu sendiri maka ia terlepas mendapat fadilat bulan Syaaban.
Alhamdulillah, perbincangan mengenai fadilat bulan Syaaban sudah pun selesai. Kini, kita beralih tumpuan kepada Nisfu Syaaban pula. Terdapat beberapa riwayat tentang Nisfu Syaaban. Riwayat-riwayat ini seakan memberi isyarat yang sama seperti riwayat fadilat bulan Syaaban iaitu anjuran supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyakkan amal soleh pada malam Nisfu Syaaban. Antara riwayat-riwayat tersebut ialah:
إن الله ليطلع فى ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن (ابن ماجه عن أبى موسى) أخرجه ابن ماجه ، قال البوصيرى : إسناده ضعيف .
Ertinya:
Sesungguhnya Allah memerhatikan hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu memberi keampunan terhadap sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang musyrik dan orang yang suka berbalah. (Riwayat Ibnu Majah, berkata Al-Bushiri: Sanad hadis ini Daif)
Bagi siapa sahaja yang pernah menjadi penuntut ilmu hadis, dia pernah mendengar peringatan yang diberikan oleh guru-guru hadis mereka iaitu belum tentu seorang perawi yang lemah atau berdusta akan selamanya berdusta. Maksudnya, boleh jadi perawi yang lemah atau pendusta bercakap benar atau meriwayatkan sesuatu yang benar (bukan palsu). Maka, penelitian yang kritis dan cermat perlu diusahakan sebelum menilai hadis di atas sebagai palsu (Maudhu’).
فى ليلة النصف من شعبان يغفر الله لأهل الأرض إلا لمشرك أو مشاحن. رواه البيهقى وقال هذا مرسل جيد .
Ertinya:
Pada malam Nisfu Syaaban, akan diampunkan Allah sekalian makhluk di bumi melainkan orang yang musyrik atau berbalah. (Riwayat Al-Baihaqi, katanya: Hadis ini Mursal Jayyid)
Imam Al-Baihaqi adalah merupakan salah seorang pakar hadis. Beliau menilai hadis di atas sebagai Mursal. Adapun Hadis Mursal, ia hadis yang tidak terlalu lemah di sisi Ahli Hadis, dan lebih boleh diamalkan di sisi Ahli Fiqh. Ini kerana fuqaha’ berbeza pendapat tentang kehujahan Hadis Mursal. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad, Hadis Mursal adalah Sahih. Tetapi Imam Syafi’i memberikan syarat-syarat tertentu sebelum hadis Mursal diterima (Maqbul). Secara umum, Hadis Mursal adalah merupakan riwayat seorang Tabiin. Menurut Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya Al-Taqrib wa Al-Taisir, Tabiin adalah merupakan seorang yang pernah berjumpa dengan Sahabat Nabi. Manakala istilah Sahabat pula merujuk kepada seseorang yang pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Begitulah rantaiannya.
يطلع الله إلى خلقه فى ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن
Ertinya:
Allah SWT memerhatikan kepada sekalian makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu memberikan keampunan kepada sekalian makhluk-Nya melainkan orang yang musyrik atau orang yang berbalah. (Riwayat Al-Thabrani, dinilai Sahih oleh Ibnu Hibban, Syeikh Al-Albani dan Syeikh Syuaib Arnout)
Dan riwayat di atas ini telah dinilai Sahih oleh Ibnu Hibban, Syeikh Al-Albani dan Syeikh Syuaib Arnout. Begitu juga dengan pendapat Dr. Asri Zainal Abidin dalam salah satu penulisan beliau, ia berkata “Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban)…”
Sungguhpun begitu, terjadi perbezaan fiqh atau pemahaman terhadap riwayat-riwayat ini. Sebahagian cuba menjelaskan bahawa dalil di atas tidak menunjukkan apakah amalan yang harus dikerjakan. Maka, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi. Ada juga yang mengatakan bahawa kita hanya perlu elak daripada syirik serta elak berbalah agar diampunkan oleh Allah SWT. Inilah pemahaman mereka terhadap nas-nas di atas.
Sebahagian yang lain pula menjelaskan bahawa dalil di atas adalah merupakan suatu isyarat yang menunjukkan supaya memperbanyakkan amal soleh. Ini kerana dalil di atas apabila dicermati pada lafaznya, “Allah SWT memerhatikan sekalian makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban…” ia menunjukkan supaya anjuran memperbanyakkan amal soleh pada malam Nisfu Syaaban. Begitu juga dengan lafaz, “Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh” ini yang menunjukkan suatu anjuran supaya mengelakkan diri dari perbuatan mensyirikkan Allah SWT serta tumpukan perhatian kepada ibadah dan tidak bermusuhan. Cara bagi mengelakkan syirik tidak lain tidak bukan adalah cara yang sama dengan usaha beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Adapun, orang-orang yang beriman adalah mereka yang memperbanyakkan amal soleh seperti membaca al-Qur’an, berzikir, berdoa serta menghidupkan malam dengan solat-solat sunat seperti solat Tahajjud dan Solat Witir. Semua bentuk amalan ini yakni membaca al-Qur’an, berzikir, berdoa serta solat-solat sunat bukan suatu bentuk ibadah yang hanya dikhususkan pada malam Nisfu Syaaban, tetapi ianya tetap dikerjakan oleh ramai umat Islam pada malam-malam yang lain.
قال الشافعي : « وبلغنا أنه كان يقال إن الدعاء يستجاب في خمس ليال في ليلة الجمعة ، وليلة الأضحى ، وليلة الفطر ، وأول ليلة من رجب ، وليلة النصف من شعبان »
Berkata Imam Syafi‘i (di dalam kitabnya Al-Umm), “Telah dikhabarkan kepada kami sesungguhnya dikatakan bahawa doa yang mustajab adalah pada malam Jumaat, malam 2 hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”
Imam Syafi’i adalah merupakan ulama’ hadis, sering beliau menolak khabar-khabar yang tidak benar atau tidak sahih. Adapun khabar di atas beliau tidak menolaknya.
Sebelum Imam Syafi’i, sudah terdapat sebahagian salaf yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban di masjid seperti Khalid bin Ma’dan, Luqman bin Amir dan Makhul. Ini sebagaimana yang pernah diberitahu oleh Ustaz Umar Muhammad Noor dalam audio kuliah Hadis Daif di blog beliau. Di dalam kitab I’lamul Muwaqqiin, ada menyebutkan bahawa Khalid bin Ma’dan adalah merupakan antara mufti di Syam. Seorang mufti atau pemberi fatwa mesti terlebih dahulu menguasai Al-Qur’an dan Al-Sunah. Manakala, Makhul pula adalah merupakan antara ahli fiqh di Syam. Semua mereka ini dari golongan salaf yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan amal soleh.
Terdapat sebahagian orang mengatakan bahawa berkumpul di masjid pada malam Nisfu Syaaban tidak pernah dianjurkan, maka ianya sesuatu yang bukan dari ajaran nabi. Ini tidak benar. Hal yang benar, dalil di atas turut menunjukkan supaya umat Islam mengelakkan permusuhan dan menghubungkan silaturrahim. Termasuk perkara yang menghubungkan silaturrahim ialah berkumpul di masjid bersama-sama umat Islam yang lain bagi menghidupkan malam Nisfu Syaaban.
Sebahagian yang lain berkeras menolak amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban kerana beranggapan bahawa ianya merupakan tradisi Syiah yang menunggu kemunculan Imam yang mereka tunggu-tunggu. Mereka yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban pula menjawab bahawa apa yang dipermasalahkan pada perkara tersebut adalah menunggu kemunculan Imam yang ditunggu oleh Syiah. Adapun, jika tanpa mengikuti kepercayaan Syiah, maka tiada halangan untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban.
Demikianlah perbahasan tentang perbezaan fiqh atau pemahaman terhadap dalil Nisfu Syaaban. Sekian.
Wassalamualaikum.
No comments:
Post a Comment