Tuesday, July 19, 2011

Sketsa: Pengikut Sunnah lwn Pengikut Fuqaha'

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Pada kali ini, saya berhasrat untuk menceritakan sketsa tentang perbezaan fikrah yang telah melanda umat Islam, iaitu pertarungan intelektual yang hangat (hot) terjadi di antara pengikut sunnah dan pengikut fuqaha'.

Siapa Pengikut Sunnah? Dan Siapa Pengikut Fuqaha'?
Penulis menisbahkan pengikut sunnah kepada mereka yang mengaku bahawa mereka adalah 'pengikut sunnah' dan memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW serta menolak perkara-perkara baru (bid'ah).

Manakala nisbah pengikut fuqaha' adalah merujuk kepada golongan yang mengaku mengikuti pendapat orang-orang yang mengerti (faqih) akan syariat Islam mencakupi kefakihan Rasulullah SAW, kefakihan para sahabat, kefakihan para tabiin, kefakihan tabi' al-tabiin dan kefakihan yang diwarisi oleh alim ulama' fiqh seterusnya.

Perbezaan Di antara Pengikut Sunnah dan Pengikut Fuqaha'

(1) Bid'ah

Pengikut Sunnah:
"Semua bid'ah adalah sesat dan setiap yang sesat, maka tempatnya di neraka."

Pengikut Fuqaha':
"Bid'ah mempunyai pembahagian. Ada ulama yang membahagikan kepada dua bahagian: Pertama, Bid'ah Hasanah dan Kedua, Bid'ah Dholalah. Manakala ulama' lain membahagikan bid'ah kepada 5 pembahagian: Wajib, Sunat, Mubah (Harus), Makruh dan Haram."

(2) Ibadat

Pengikut Sunnah:
"Sesuatu ibadah itu batil melainkan ada nas dari al-Qur'an dan al-Sunnah." 

Pengikut Fuqaha':
"Sesuatu ibadah itu batil, melainkan ada dalil.  Dan bilangan dalil adalah berbeza menurut mazhab yang masyhur (Hanafi, Maliki Syafi'i dan Hanbali). Dalil yang telah disepakati ialah al-Qur'an, al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Ini sebagaimana menurut mazhab Syafi'i. Adapun mazhab yang lain telah menambahkan bilangan dalil tadi." 

(3) Hukum Syariat Islam

Pengikut Sunnah:
"Syariat Islam perlu dinilai sama ada ianya Sunnah atau Bid'ah."

Pengikut Fuqaha':
"Syariat Islam perlu dinilai sama ada hukumnya Wajib, Sunat, Mubah (Harus), Makruh atau Haram."

(4) Sifat-sifat Allah

Pengikut Sunnah:
"Sifat-sifat Allah seperti mata, wajah, tangan, kaki, istiwa' dan nuzul itu telah maklum. Tidak diketahui caranya. Dan sesungguhnya Allah tidak sama dengan makhluk."

Pengikut Fuqaha':
"Nas al-Qur'an dan hadis yang menceritakan tentang sifat-sifat Allah adalah mutasyabihat (samar). Tidak dapat difahami kerana maknanya hanya diketahui oleh Allah SWT. Beriman terhadap ayat-ayat Mutasyabihat adalah wajib. Dan sesungguhnya Allah tidak sama dengan makhluk."

(5) Taklid

Pengikut Sunnah:
"Taklid adalah Haram."

Pengikut Fuqaha':
"Taklid adalah Haram bagi Mujtahid dan Wajib bagi mereka yang tidak mampu berijtihad. Dan taklid yang haram jika berlaku 3 perkara, iaitu (1) taklid kepada mereka yang bukan ahli, (2) taklid buta yang bertentangan dengan syariat Islam dan (3) taklid kepada hujah yang lemah."  

(6) Sunnah

Pengikut Sunnah:
"Baca surah Yasin pada malam Jumaat dan malam Nisfu Syaaban bukan sunnah Rasulullah SAW. Sesiapa yang menyandarkan bahawa perbuatan itu adalah sunnah Rasulullah SAW, maka nerakalah tempatnya."

Pengikut Fuqaha':
"Memang benar tidak ada hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW membaca surah Yasin pada malam Jumaat atau malam Nisfu Syaaban. Tetapi, tidak ada hadis bukan bererti Rasulullah SAW tidak pernah buat atau bukan Sunnah. Sebab, kalau berani mengatakan Rasulullah SAW tidak 'pernah buat'  sesuatu itu padahal sebenarnya Rasulullah SAW pernah buat, maka berlaku pendustaan atas nama Rasulullah SAW, maka nerakalah tempatnya. Perkataan yang benar ialah [kami tidak mengetahui hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW melakukannya]."  

(7) Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Pengikut Sunnah:
"Dr. Yusuf al-Qaradhawi bukan 'Ulama Sunnah."

Pengikut Fuqaha':
"Dr. Yusuf al-Qaradhawi adalah Ulama Fiqh."

Demikianlah sketsa yang sering terjadi di antara Pengikut Sunnah dan Pengikut Fuqaha'.

Jadi, anda berada di pihak yang mana?

Sekian.
Wassalamualaikum.


4 comments:

  1. Assalamu'alaikum,

    Ana minta supaya dijelaskan yang dinamakan sebagai pengikut sunnah di atas adakah sama dengan mazhab ahlu hadith pada zaman salafussoleh iaitu pegangan mereka ? Ataupun ia merujuk kepada mazhab 'sunnah' masakini yang sama seperti fahaman zahiriyyah yang mengambil zahir ayat semata-mata.

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam,

    Mohon maaf. Ana yang daif ini tidak mampu untuk menjelaskannya. Apapun, ana sudah berikan 'isyarat' pengalaman ana berhadapan dengan 'pengikut sunnah' dan 'pengikut fuqaha'. Lalu, ana buat sketsa ini yg hampir kurang sama dengan yang ana jumpa.

    ReplyDelete
  3. Pertanyaan.Mengenai sifat-sifat Allah.Bagaimana penjelasan mengenainya yang dibawa oleh ibnu tamiyyah dan Imam al asy'ari yang berbeza antara keduanya.Dikatakan Imam al asy'ari membawa pandangan muktazilah dalam menafsir ayat-ayat mutasyabihat. Golongan yang dikatakan menerapkan logika dalam pemikiran-pemikiran mereka.Rujukan Al-Imam al-Syafi’i fi Mazhabihil Qodim wal Jadid- Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam al-Indunisi.M/S 110-114 Harap anta yang bijaksana dapat berkongsi ilmu dengan ana. zahir1816@yahoo.com

    ReplyDelete
  4. Salam.

    Penjelasan Imam al-Asy'ari tentang sifat-sifat Allah boleh dilihat menerusi kitab Al-Ibanah. Di situ, banyak menunjukkan bahawa Imam al-Asy'ari bersikap tafwidh.

    Tentang Sheikh Ibn Taimiyah pula boleh anda ketahui menerusi link di bawah ini:
    http://moslemz.multiply.com/journal/item/149/149

    Juga perhatikan artikel ini pada perenggan kedua terakhir.
    http://umarmnoor.blogspot.com/2011/05/ibn-hibban-dan-hadis-hadis-sifat.html

    Wallahu a'lam bis shawab.

    ReplyDelete