Monday, March 26, 2012

Jangan Bertengkar Jika Kamu Berbeza Lafaz


Mungkinkah Ultraman dan Raksasa Bertengkar Kerana Berbeza Lafaz? :)

Dengan nama Allah Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani. Segala pujian ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW, imam yang benar dan imam bagi sekalian para anbiya’.

Semalam ketika sedang membaca kitab al-Risalah karya Imam al-Syafi’i, saya terjumpa sebuah kisah yang sangat memberi kesan di hati. Maka, saya tertarik untuk membawakan kisah tersebut ke dalam blog saya agar dapat menjadi iktibar buat diri kita bersama. Kisah ini ada kaitannya dengan perbezaan lafaz.

Sebahagian ahli ilmu telah sedia maklum bahawa perbezaan lafaz boleh terjadi dalam banyak perkara syariat, misalnya perbezaan lafaz dalam membaca al-Quran, perbezaan lafaz dalam membaca doa, perbezaan lafaz dalam membaca tasyahud, perbezaan lafaz dalam selawat, perbezaan lafaz dalam zikir dan lain-lain.

Imam al-Syafi’i bersama rakan dialognya berbicara tentang perbezaan lafaz yang terjadi dalam riwayat-riwayat tasyahud. Lafaz tasyahud Umar, Ibnu Mas’ud, Abu Musa, Aisyah dan Ibnu Umar berbeza-beza.

Kemudian Imam al-Syafi’i membentangkan sebuah dalil kepada rakan dialognya.

Umar bin al-Khattab menceritakan:
Aku telah mendengar Hisyam bin Hakim bin Hizam membaca surah al-Furqan dengan cara yang berbeza daripada bacaan sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi sendiri kepadaku, sebab itu aku menjadi keliru dengannya.

Tetapi aku menunggu sehingga dia selesai membaca dan membawanya kepada Nabi, lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, saya mendengar orang ini membaca surah al-Furqan berbeza dengan apa yang engkau ajarkan kepadaku.

Rasulullah SAW bersabda: Bacalah! Kemudian dia pun membacanya dengan cara seperti yang aku telah dengar tadi. Maka Rasulullah SAW bersabda: Beginilah yang diturunkan kepadaku.

Selanjutnya ia bersabda: Al-Quran diturunkan dengan 7 huruf, maka bacalah apa yang mudah baginya.

Setelah itu, Imam al-Syafi’i berkata:
“Oleh kerana Allah mengasihi kita yang tidak memiliki kesempurnaan daya hafal, maka Allah pun memperbolehkan adanya variasi bacaan dengan tujuh huruf (bacaan) tanpa mengganggu keutuhan makna yang dimaksud. Jika hal ini boleh terjadi pada kitab Allah, maka bagi yang selainnya tentu lebih boleh lagi jika perbezaan tersebut tidak lari daripada keutuhan maksud.”

Kemudian Imam al-Syafi’i membawa ucapan daripada seorang Tabiin:
“Saya telah mendengar beberapa riwayat daripada sebahagian sahabat Nabi yang sama dalam makna tetapi berbeza dalam kata-kata (lafaz). Saya telah membicarakan masalah ini dengan salah seorang daripada mereka, lalu katanya, “Tidak mengapa asalkan maknanya yang sebenar tidak berubah.” 

Lalu saya (Lutfi) berfikir, “Betapa pengasihnya para fuqaha kerana dapat menerima perbezaan lafaz yang berbeza dalam kalangan masyarakat, selagi perbezaan lafaz tersebut tidak mengubah makna dan tujuan sebenar. Betapa pengasihnya para tabiin kerana dapat menerima perbezaan lafaz yang terjadi antara sekalian sahabat nabi. Betapa pengasihnya para sahabat kerana mereka mula memahami dan dapat menerima perbezaan lafaz  yang terjadi sesama mereka. Dan betapa pengasihnya Baginda Rasulullah SAW kerana dapat menerima perbezaan lafaz yang terjadi antara dua sahabat beliau.” 

“Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia”

Sekian.
Wabillahi tawfiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

1 comment:

  1. KING CASINO, LLC GIVES A $100 FREE BET
    KING herzamanindir.com/ CASINO, LLC GIVES A $100 https://tricktactoe.com/ FREE febcasino BET to try. Visit us today and receive a $100 FREE www.jtmhub.com BET! Sign up at our new site! poormansguidetocasinogambling.com

    ReplyDelete