Wednesday, September 21, 2011

Ibu bapa Nabi Muhammad SAW


Terdapat hadis yang menunjukkan bahawa bapa Rasulullah SAW berada di dalam neraka. Dan pada riwayat lain menunjukkan bahawa baginda juga tidak dapat memohon keampunan buat ibunya.

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِى شَيْبَةَ حَدَّثَنَا عَفَّانُ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيْنَ أَبِى قَالَ « فِى النَّارِ ». فَلَمَّا قَفَّى دَعَاهُ فَقَالَ « إِنَّ أَبِى وَأَبَاكَ فِى النَّارِ ».

Diceritakan kepada kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah, diceritakan kepada kami Affan, diceritakan kepada kami Hammad bin Salamah, daripada Tsabit, daripada Anas bahawa seorang sahabat lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, di manakah bapaku?” Rasulullah SAW bersabda, “Di dalam neraka.” Kemudian setelah lelaki tadi beredar Rasulullah SAW memanggilnya semula, dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ وَمُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ - وَاللَّفْظُ لِيَحْيَى - قَالاَ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ بْنُ مُعَاوِيَةَ عَنْ يَزِيدَ - يَعْنِى ابْنَ كَيْسَانَ - عَنْ أَبِى حَازِمٍ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لأُمِّى فَلَمْ يَأْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأَذِنَ لِى ».

Diceritakan kepada kami oleh Yahya bin Ayyub dan Muhammad bin Abbad, dengan lafaz Yahya, keduanya berkata, diceritakan kepada kami oleh Marwan bin Muawiyah, daripada Yazid, daripada bapaku, Hazim, daripada Abu Hurairah RA ia berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku meminta izin kepada Allah agar aku dapat beristighfar (memohon ampun) buat ibuku, tetapi Dia tidak mengizinkan aku. Aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, lalu Dia mengizinkan buatku.” (Riwayat Muslim)

Menerusi hadis-hadis ini, sebahagian orang mengatakan bahawa ibu bapa Rasulullah SAW adalah merupakan ahli neraka yang akan diseksa. Tetapi, hal itu sangatlah bercanggah dengan apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an al-Karim:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا

Ertinya: “Dan tidaklah Kami memberi azab (kepada seseorang) sampailah kami mengutuskan seorang Rasul.” (Al-Isra’: 15)

وَمَا كُنْتَ بِجَانِبِ الطُّورِ إِذْ نَادَيْنَا وَلَكِنْ رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أَتَاهُمْ مِنْ نَذِيرٍ مِنْ قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Ertinya: “Supaya engkau-Muhammad- dapat memberi peringatan kepada kaum yang belum datang kepada mereka orang yang memberikan peringatan sebelum engkau, agar mereka mengerti.” (al-Qashash: 46)


وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَى حَتَّى يَبْعَثَ فِي أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَى إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ

Ertinya: “Dan Tuhan engkau tidaklah membinasakan penduduk negeri itu, sebelum mengutuskan seorang Rasul di kota negeri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Kami. Dan Kami tidak membinasakan penduduk negeri, melainkan penduduk negeri itu melakukan kezaliman.” (al-Qashash: 59)

Ayat-ayat di atas menunjukkan sesungguhnya ahli fatrah yakni golongan yang belum diutuskan rasul kepada mereka tidak akan diseksa oleh Allah, dan mereka adalah golongan yang terselamat. Adapun kedua ibu bapa baginda Muhammad SAW, termasuk dalam kalangan ahli fatrah, kerana mereka tidak hidup pada waktu kerasulan baginda Muhammad SAW.

Hal ini menimbulkan kontradiksi serta mencetuskan kontroversi, sebab khabar ahad menyebutkan mengenai ibu bapa baginda yang diseksa, tetapi dalil qath’i al-tsubut (al-Qur’an) menyebutkan bahawa ahli fatrah –termasuklah kedua-dua ibu bapa baginda Muhammad SAW- tidak akan diseksa. Oleh yang demikian, dalil yang qath’i yaitu firman Allah SWT mesti didahulukan berbanding khabar ahad tadi. Jadi, ibu bapa nabi Muhammad SAW termasuk ahli fatrah, dan ahli fatrah adalah golongan yang terselamat daripada seksaan Allah SWT.

Wallahu a’lam bis shawab.   


No comments:

Post a Comment