Wednesday, August 10, 2011

Kewafatan Imam al-Syafi'i

Kewafatan Imam al-Syafi’i.
Lutfi Latif©

Sepanjang menetap di Mesir, Imam al-Syafi’i selalu sibuk dengan segala macam kerjanya yang dilakukan seharian. Antara kerja-kerja yang dilakukannya ialah belajar, mengajar, berdialog dan mengarang.

Nampaknya, kesibukan yang dialami oleh Imam al-Syafi’i telah menyebabkan dirinya kurang terurus terutama terhadap kesihatannya.

Lalu, beliau terkena penyakit buasir dan badannya mulai mengeluarkan banyak darah sehingga mengakibatkan tubuh badan beliau menjadi semakin lemah.

Di kala itu, murid-murid yang setia denganya iaitu al-Rabi’ dan al-Muzani sering menziarahi Imam al-Syafi’i, bertanya khabar tentang kesihatan dan berbual sebentar dengan si Imam. Al-Muzani menjenguk Imam al-Syafi’i dan berkata, “Bagaimana keadaanmu, wahai ustaz?” Imam al-Syafi’i menjawab, “Aku akan meninggalkan dunia dan akan berpisah dengan para sahabatku. Aku berharap agar aku dapat meneguk secangkir air syurga dan menghadap Tuhanku yang Maha Pemurah. Sesungguhnya aku benar-benar tidak tahu ke mana ruhku akan kembali, sama ada ke syurga yang dengannya aku akan bahagia atau ke neraka yang dengannya aku berduka.” Kemudian Imam al-Syafi’i membaca bait syair, “Aku tidak akan putus harapan. Sekalipun diriku akan dimasukkan ke neraka Jahannam. Disebabkan dosa-dosaku. Sungguh besar (banyak) dosaku. Sama ada dosa terdahulu mahupun sekarang. Namun, keampunan-Mu lebih besar.

Setelah berada di Mesir selama 6 tahun sejak akhir bulan Syawal 198 H, maka beliau pun wafat pada hari Khamis malam Jumaat 29 Rejab 204 H bersamaan 820 M, selepas Maghrib.

Ketika jenazah Imam al-Syafi’i dalam perjalanan ke tanah perkuburan tiba-tiba Sayyidah Nafisah (salah seorang guru Imam al-Syafi’i) meminta supaya jenazah Imam di bawa masuk sebentar ke dalam rumahnya untuk disolatkan. Kemudian seusai solat, Sayyidah Nafisah berdoa, “Semoga Allah SWT merahmati Imam al-Syafi’i kerana semasa hidupnya beliau selalu menyempurnakan wuduk.



Gabenor Mesir turut serta dalam menguruskan jenazah Imam al-Syafi’i, termasuklah memandikan, mendirikan solat jenazah, mengiring ke tanah perkuburan dan melunaskan segala pinjaman Imam al-Syafi’i.




Akhirnya, jenazah Imam al-Syafi’i ditanam di perkuburan Banu Zahrah iaitu di Qarafah Sughra, lokasinya terletak di bawah kaki Gunung al-Muqattam, di Mesir.

Selepas kewafatan Imam al-Syafi’i, seseorang telah datang ke majlis pengajian beliau dengan harapan semoga dapat bertemu dengannya. Kata orang tersebut, “Di manakah bulan dan matahari bagi majlis ini?” Orang-orang yang ada di majlis pengajian memberitahu kepadanya bahawa Imam al-Syafi’i telah wafat. Orang itu pun menangis seraya berkata, “Semoga Allah merahmati dan mengampuninya. Sesungguhnya beliau adalah kunci kepada pintu hujah yang tertutup dan selalu menutup wajah lawannya dengan hujah yang terang.

Beginilah pengakhiran kisah seorang pemuda yang tampan, putih kulitnya, tinggi dan indah rupa parasnya. Semoga Allah merahmati dan mengampuninya.

1 comment:

  1. Allahu Allah.... Ya Allah, mudah-mudahan aku dapat bertemu dengan para kekasih Allah di akhirat nanti.. Aminn Ya Robbal 'alamiinnn

    ReplyDelete