Sunday, August 14, 2011

Perbezaan Ukuran Penilaian Ahli Hadis

Sungguhpun saya cenderung mengikuti kefahaman fuqaha', namun itu tidak bermakna saya perlu mencampak kitab-kitab selain fiqh ke dinding. Bahkan saya tetap membaca kitab-kitab selain kitab fiqh. 
 
Tidak terlepas daripada kerakusan saya dalam menggali ilmu (jelas, saya benar-benar rakus) ialah kitab Al-Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri' al-Islami karya Dr. Mustafa al-Siba'ie. Antara kenyataan yang saya sangat tertarik di dalam kitab ini ialah mengenai perbezaan ukuran penilaian ahli hadis (ulama' hadis).

Sesungguhnya perbezaan pendapat tidak hanya berlaku kepada ahli fiqh sahaja tetapi turut melanda dan menjangkiti ahli hadis mahupun doktor perubatan. Adapun doktor perubatan, mereka berselisih pendapat tentang bagaimana cara untuk merawat penyakit. Manakala, ahli hadis sering berselisih pendapat tentang penilaian hadis sesama mereka. Ini disebabkan perbezaan metod dalam kalangan mereka. Ayuh, kita ikuti kenyataan Dr. Mustafa al-Siba'i! 

Kitab Al-Sunnah wa Makanatuha karya Dr. Mustafa al-Siba'i 

Dr. Mustafa al-Siba'i mencatatkan: 

Mafhumnya: 
"Tidaklah sama pola ukuran para imam ahli hadis dalam memberikan kritikan terhadap para perawi hadis. Di antara mereka ada yang bersikap keras (sangat ketat), ada yang bersikap sangat ringan, dan ada pula yang bersikap sederhana lagi adil. 

Mereka yang bersikap keras ialah Ibn Ma'in (Yahya bin Ma'in), Yahya bin Sa'id al-Qaththan, Ibn Hibban dan Abu Hatim al-Razi. Mereka yang bersikap tasahul (ringan lagi mudah) ialah al-Tirmidzi, al-Hakim dan Ibn Mahdi. Dan mereka yang bersikap sederhana lagi adil ialah Ahmad, al-Bukhari dan Muslim. 

Hal ini terjadi kerana perbezaan pendapat mereka terhadap sebahagian para perawi, sehingga kelihatan ada perawi yang mereka percayai tetapi dilemahkan oleh ahli hadis yang lain...sampai dinukilkan bahawa ada dua pendapat yang berbeza tentang seorang perawi. Ada ketika ahli hadis tersebut berpendapat perawi itu dipercayai (tsiqah), tetapi kemudian dia menarik kembali penilaiannya itu atau boleh jadi sebaliknya (mulanya dinilai daif, tetapi kemudian dinilai tsiqah)."

Demikianlah catatan sekaligus penjelasan Dr. Mustafa al-Siba'i yang terkenal sebagai seorang pejuang sunnah sejati. Karyanya di atas ini semata-mata memperjuangkan hadis secara umum dan hadis ahad secara khusus serta memberikan pembelaan terhadap ahli hadis dan menolak berbagai macam dakwaan sebahagian orientalis. 

Wallahu a'lam bis shawab.

1 comment:

  1. salam ustaz

    mohon penjelasan ustaz, secara umumnya perawi hadith dapat dibahagikan kpd berapa kumpulan dan apakah setiap kumpulan tersebut? contohnya: adil, penipu dsgnya.

    ReplyDelete