Friday, February 25, 2011

Doa Makan Dan Minum

   Makan dan minum merupakan keperluan bagi manusia supaya dapat meneruskan kehidupan. Tanpa keduanya, manusia akan menjadi lemah tak berdaya, tidak kuat bekerja, mudah terdedah kepada pelbagai penyakit kerana kurangnya nutrien di dalam badan. 




   Pernah saya lihat di program History Channel, salah satu saluran Astro yang memaparkan keadaan atau perihal tentera Amerika Syarikat yang terpaksa dihantar ke negara-negara Arab seperti Afghanistan dan Iraq bagi membuat pemerhatian dan kawalan di sana. Kebanyakan tentera Amerika Syarikat ini sebenarnya sangat lemah apabila terpaksa hidup di Tanah Arab kerana suhu kepanasan di sana tidak sesuai dengan keadaan fizikal mereka. Bagi pegawai ketenteraan Amerika Syarikat, mereka rasa bertanggungjawab untuk melatih semua tentera ini supaya membiasakan diri hidup dalam keadaan yang sangat panas supaya boleh bertahan dengan kepanasan suhu di Tanah Arab apabila mereka terpaksa di hantar ke sana kelak. Tentera Amerika Syarikat susah hidup di Tanah Arab apabila ketiadaan bekalan air yang mencukupi untuk mereka minum. Mereka akan berasa pitam dan lemah.

   Manusia yang makan dan minum adalah merupakan manusia yang normal. Mereka dapat hidup dalam keadaan sihat, mempunyai semangat yang kuat untuk bekerja malah untuk tidur lena sekalipun. 

   Catatan saya yang sebenarnya pada kali ini adalah tentang doa makan dan minum. Ya, hampir terkeluar daripada tajuk dan matlamat asal. Antara adab-adab makan dan minum ialah berdoa kepada Allah s.w.t. yang memberikan rezeki kepada semua manusia.   

   Doa yang masyhur kita baca adalah berdasarkan Hadis:
عائشة - رضي الله عنها - : قالت : « كان رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم- لا يؤتَى أبدا بطعام أو بشرابٍ - حتى الدَّوَاءُ - فَيَطعَمَهُ ويشربَهُ ، حتى يقول : اللَّهمَّ بارِك لنا فيما رَزَقْتنَا ، وقِنا عذابَ النَّارِ». أخرجه الموطأ عن هشام عن عروة ، فجعله موقوفا على عروة ، ولم يذكر عائشة، ولا النبيَّ صلى الله عليه وسلم .ورأيته في كتاب رزين : عن عائشة عن النبي صلى الله عليه وسلم .

Ertinya: 
Daripada Aisyah r.a., katanya: Biasanya Rasulullah s.a.w. tidak mula makan dan minum sampai berdoa makan dan minum: Ya Allah, berkatilah rezeki yang telah Engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka. (Jami'ul Ushul Min Ahadiits ar-Rasul. Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Malik dari kitab al-Muwattha' daripada Hisyam daripada Urwah, maka Mauquf atas Urwah, tidak disebutkan Aisyah dan tidak juga disebutkan Nabi s.a.w.. Namun, penyusun melihat di dalam kitab Razin, Daripada Aisyah r.a. daripada Nabi s.a.w.) 

عن ابن أعبد قال: قال لي علي بن أبي طالب رضي الله عنه: يا ابن أعبد [هل] تدري ما حق الطعام؟ قال: قلت: وما حقه يا ابن أبي طالب؟ قال: تقول: بسم الله اللهم بارك لنا فيما رزقتنا،قال: وتدري ما شكره إذا فرغت؟ قال: قلت: وما شكره؟ قال: تقول: الحمد لله الذي أطعمنا وسقانا.رواه عبد الله بن أحمد وذكره بطوله. وابن أعبد قال ابن المديني: ليس بمعروف،وبقية رجاله ثقات.

Ertinya:
Daripada Ibn A'bud berkata, berkata Ali bin Abi Talib r.a.: Wahai Ibn A'bud! Adakah engkau tahu hak makanan? Aku berkata: Apakah hak makanan wahai Ibn Abi Talib? Ali berkata: Bacalah! Bismillah (Dengan nama Allah) Ya Allah, berkatilah rezeki yang telah Engkau berikan kepada kami. Berkata Ali lagi: Adakah engkau tahu ucapan syukur setelah selesai makan? Ibn A'bud berkata: Dan apa ucapan syukur untuk itu? Ali berkata: Segala pujian bagi Allah yang telah memberi kami makan dan minum. (Majma' az-Zawa'id. Diriwayatkan oleh Abdullah bin Ahmad dan disebutkannya. Dan tentang Ibn A'bud, Ibn al-Madini berkata: Dia tidak baik. Tetapi perawi lain semuanya Tsiqah). 

   Ternyata hadis tentang doa makan dan minum ini telah diriwayatkan di dalam dua kitab Amirul Mukminin fil Hadits iaitu kitab al-Muwattha' karya Imam Malik dan kitab al-Musnad Ahmad karya Imam Ahmad. Hadis yang kedua telah diriwayatkan oleh anak kepada Imam Ahmad, namun sentiasa anak Imam Ahmad ini berkata kepada orang lain bahawa dia meriwayatkan sama seperti apa yang ayahnya (Imam Ahmad) meriwayatkan kepadanya. Sebenarnya kedua kitab ini dipandang sebagai hujjah oleh ramai ulama. Imam Syafi'i, Sheikh Waliyyulah ad-Dahlawi dan Sheikh Muhammad Alawi al-Maliki memandang hadis-hadis di dalam kitab al-Muwattha' sebagai Hujjah. Manakala, Ibnu Qudamah dan beberapa ulama dalam kalangan mazhab Hanbali memandang hadis-hadis di dalam kitab al-Musnad sebagai Hujjah.

   Benar. Ibn al-Madini telah mengkritik Ibn A'bud, namun saya teringat kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal bahawa jika dia berhadapan dengan hadis-hadis tentang hukum-hakam, penilaiannya terhadap hadis-hadis itu sangat ketat. Tetapi apabila berhadapan dengan hadis-hadis yang berupa keutamaan beramal (Fadha'ilul A'mal), maka dia akan bersikap mudah terhadap hadis-hadis berkenaan. Oleh itu, tidak menjadi suatu masalah sekiranya kita mengamalkan doa yang ringkas dan cukup baik ini. Namun, diingatkan sekali lagi bahawa sebelum membaca doa yang masyhur tadi anda sangat dianjurkan membaca basmalah. Ianya berdasarkan hadis-hadis yang telah Tsabit (ditetapkan) Sahih. Wallahu a'lam bis shawab.

Sumber:
Maktabah Syamilah:
A l-Muwattha', Musnad Ahmad, Jami'ul Ushul Min Ahadiits ar-Rasul- Ibnul Atsir, Syu'abul Iman lil Baihaqi, Mushannaf Ibn Abi Syaibah, Mushannad Abd Razzaq.

2 comments:

  1. Assalamualaikum

    Bagaimana pula doa makan dengan mengangkat tangan dan yang lain mengaminkannya? Adakalanya, berjela-jela pula doa nya.

    JazakAllahukhair...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam,

    Diperbolehkan membaca doa sebelum makan secara sendirian atau secara berjemaah, yaitu seorang membaca doa dan yang lain mengaminkan doa tersebut.

    Lebih baik, doa yg ringkas atau sederhana.

    Wallahu a'lam bis shawab.

    ReplyDelete