Friday, March 11, 2011

Bersyukur

   Dunia dipenuhi dengan pelbagai ciptaan yang indah lagi bermanfaat buat setiap makhluk. Dunia yang kaya dengan sumber alam ini merupakan bukti nyata kehebatan Allah s.w.t. sebagai Pencipta dan Pentadbir Sekalian Alam. 

   Dalam kehidupan seharian, kita memang terlalu bergantung dengan sumber-sumber alam ini. Tanpanya, kita tidak dapat melakukan kegiatan ekonomi dengan lancar. Tidak ada jual beli, tidak ada bangunan tinggi, tidak ada kereta kebal, kapal terbang, kereta api dan lain-lain lagi.

   Sangat banyak rezeki yang Tuhan telah berikan kepada kita sejak dahulu sehingga kini, sejak kita dilahirkan sampai kita membesar, sejak kita merangkak sampai mampu berlari. Para pendakwah berkata, “Adakah anda sedar terlalu banyak nikmat kurniaan yang Tuhan telah berikan kepada anda, dan Dia masih lagi memberikan kurniaan kepada anda, sampai akhir hayat anda? Sudahkah anda bersyukur kepada-Nya? Jika belum, ucapkanlah syukur kepada-Nya dengan segera!”.

   Tuhan telah kurniakan dua nikmat yang cukup lumayan iaitu kesihatan dan kelapangan masa supaya kita boleh keluar pergi bekerja mencari rezeki bagi mengubah nasib kita menjadi orang yang kaya dan berjaya.

   Tuhan telah kurniakan kepada manusia dua tangan dan dengan dua tangan ini ramai dalam kalangan kita yang telah berjaya menjadi penulis, tukang masak, setiausaha, wartawan, pelukis dan pelbagai pekerjaan yang lain.

   Tuhan telah kurniakan kepada manusia satu mulut dan dengan satu mulut ini ramai dalam kalangan kita yang telah berjaya menjadi perdana menteri, presiden, pengarah, pengacara majlis, penceramah, guru dan pelbagai pekerjaan yang lain.

   Tuhan telah kurniakan kepada manusia akal fikiran dan dengan akal fikiran ini ramai dalam kalangan kita yang telah berjaya menjadi ilmuwan. Akal fikiran membantu diri kita agar berfikir jangka panjang dan jangka pendek. Akal fikiran juga mampu menilai mana perkara yang memberikan manfaat dan mana perkara yang boleh membinasakan diri kita sendiri.       

   Tuhan telah kurniakan kepada manusia dua biji mata dan dua telinga dan dengan kedua-dua mata dan telinga ini ramai dalam kalangan kita yang telah berjaya menjadi orang kaya dan berjaya kerana suka melihat orang kaya dan mencontohi cara mereka menjadi kaya, mendengarkan nasihat bagaimana menjadi kaya dan mendengar kritikan daripada orang lain supaya kita dapat menjadi kaya dan terus kaya.

   Bagaimana kita dapat membalas jasa Tuhan terhadap diri kita kalau bukan dengan cara bersyukur kepada-Nya? Oleh itu, bersyukurlah!

   Sejarah telah membuktikan bahawa rahsia orang miskin menjadi kaya, orang kaya bertambah kaya dan terus hidup dalam keadaan kaya adalah disebabkan mereka bersyukur kepada Tuhan mereka. Jadi, kalau anda mahu memperoleh kekayaan dan terus hidup dalam keadaan kaya, bersyukurlah! Tuhan yang Maha Pemurah tidak akan pernah berhenti memberikan nikmat kepada manusia, melainkan manusia itu sendirilah yang sentiasa pernah lupa untuk bersyukur kepada-Nya.

   Bersyukur akan mengeratkan hubungan di antara kita dengan Tuhan. Tuhan amat kasih kepada orang yang bersyukur kerana Tuhan tahu orang yang bersyukur lebih layak mendapat nikmat kurniaan-Nya berbanding mereka yang tidak pandai atau tidak tahu bersyukur.

   Bersyukur juga sangat berperanan sebagai terapi untuk membina pemikiran yang positif dan memberi ketenangan di dalam hati. Oleh sebab itu, orang yang sebenar-benarnya kaya ialah mereka yang memiliki kekayaan harta dan kekayaan jiwa.

   Intihanya, orang kaya yang dipandang mulia di sisi Allah s.w.t. dan sekalian manusia ialah orang yang bersyukur atas segala kenikmatan yang ia miliki. Orang-orang inilah yang akan memperoleh kejayaan dan kekayaan yang amat lumayan di dunia ini dan di akhirat kelak.
  
   Firman Allah s.w.t.:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Ertinya:
Dan ketika Tuhanmu memaklumkan, “Jika kamu bersyukur, nescaya Kami akan menambahkan nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”(Surah Ibrahim: 7)


   Wallace D. Wattles berkata, Akal fikiran yang sentiasa bersyukur selalu mengharapkan perkara-perkara baik dan mengubahnya menjadi keyakinan. Reaksi rasa kesyukuran terhadap akal fikiran seseorang menghasilkan keyakinan dan setiap rasa kesyukuran yang diluahkan akan menambah rasa keyakinan. Orang yang tiada rasa kesyukuran tidak dapat mengekalkan keyakinan dalam kehidupannya dan tanpa keyakinan dalam kehidupan, anda tidak akan menjadi kaya secara kreatif.

No comments:

Post a Comment