Sunday, March 13, 2011

Menjadi Ulama Seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi

   Yusuf al-Qaradhawi merupakan salah seorang ulama pemberani yang sangat dikenali dalam era baru ini. Beliau telah mengarang banyak kitab. Antaranya, al-Halal wal Haram fil Islam, Fiqh al-Zakat, Fiqh al-Awlawiyyat dan lain-lain.

   Kredibiliti beliau dapat dilihat dan dinilai berdasarkan imejnya yang mempunyai keberanian serta banyak fatwanya yang menyenangkan hati ramai dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun masyarakat Islam sedunia.


Menjadi Ulama Seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi

   Ketokohan Dr. Yusuf al-Qaradhawi ini telah menjadikan beliau sebagai ikon yang digilai remaja dan belia masa kini. Para remaja dan belia amat berharap supaya mereka  dapat menjadi ulama seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Namun, perkara yang mungkin perlu ditekankan ialah tempat pendidikan dan sikap.

   Untuk makluman kalian, Dr. Yusuf al-Qaradhawi mendapat pendidikan di Maahad Tanta dan seterusnya dalam Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar, Mesir. Jadi, kalian juga seharusnya mencontohi tempat pendidikan beliau ini. Kumpulkan RM30,000 sebagai bajet untuk menuntut di Universiti al-Azhar selama 4 tahun.

   Jika kalian benar-benar ingin menjadi ulama seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, bukan sekadar meraih tempat pendidikan yang sama seperti beliau, malah kalian juga mestilah bersikap seperti sikap Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Ini penting agar kalian mempunyai keperibadian yang sama seperti beliau.

   Antara keperibadian Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang mesti kalian contohi, ya, benar, sangat mudah seperti yang kalian telah bayangkan sebelum ini, iaitu mempunyai keberanian yang tinggi, mengeluarkan fatwa yang dapat menyenangkan hati ramai pihak, telah menghafaz al-Qur’an ketika berumur 10 tahun, menguasai bahasa Arab dengan baik, mengikuti kuliah Usuluddin, tidak suka berdialog dengan zionis dan mungkin sebahagian orang lain turut mahu menambahkan seperkara lagi yakni menyertai Ikhwanul Muslimin.  

   Jadi, bagaimana? Adakah kalian mampu untuk mencontohi dan mengikuti semua sikap Dr. Yusuf al-Qaradhawi ini? Ya, saya tahu kalian pasti berpendapat ianya sesuatu yang sangat mudah sepeti membuat origami burung.

   Kesimpulannya, jika kalian ingin menjadi ulama seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi maka kalian mestilah mempunyai taraf pendidikan seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, tempat pendidikan seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, dan sikap seperti sikap Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Wallahu a’lam bis shawab.

* Sebenarnya saya bukan peminat tulen Dr. Yusuf al-Qaradhawi, saya bukan siswa Universiti al-Azhar, Mesir dan saya juga bukan anggota gerakan Ikhwanul Muslimin. 

No comments:

Post a Comment