Tuesday, March 15, 2011

Mazhab Syafi'i

Imam Al-Syafi’i
Pengasas mazhab Syafi’i ialah Muhammad bin Idris asy-Syafi’i. Sejak kecil beliau telah dibesarkan di kota Mekah. Beliau sempat berguru dengan ulama-ulama Mekah yang masyhur seperti Muslim bin Khalid az-Zanji, Sufyan bin ‘Uyainah, Sa’id bin Salim al-Qaddah, Abdul Majid bin Abdul Aziz bin Abu Daud dan Daud bin Abdur Rahman al-Attar. Kemudian, Imam Syafi’i berguru dengan Imam Malik bin Anas yang berada di Madinah. Imam Syafi’i telah menghafaz al-Qur’an sejak berusia 7 tahun dan telah berjaya menghafaz kitab al-Muwattha’ susunan Imam Malik ketika berusia 13 tahun. Beliau juga telah digalakkan supaya mula memberikan berfatwa sejak berusia 15 tahun.

Sumber Hukum Imam Al-Syafi'i
Imam Syafi'i hanya menjadikan al-Qur'an, al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas sebagai sumber hukum syarak. Dan sememangnya sumber-sumber hukum syarak yang digunapakai oleh Imam Syafi'i ini telah sepakat diterima oleh Jumhur Ulama. Ini kerana hanya sumber-sumber hukum inilah yang bersifat dinamik (tidak bersifat statik).

Mazhab Qodim dan Mazhab Jadid Imam Al-Syafi’i
Imam Syafi’i agak berbeza dengan para imam mujtahid mutlak yang lain. Ini kerana mazhab beliau telah terbahagi kepada dua; mazhab Qodim (Lama) dan mazhab Jadid (Baru). Pada mulanya, Imam Syafi’i telah menyebarkan mazhab Qodim beliau di Iraq. Setelah berhijrah ke Mesir, Imam Syafi’i telah mengubah banyak fatwanya sampai mazhab Syafi’i di Mesir dikenali dengan mazhab Jadid.


Faktor Wujud Mazhab Jadid
Antara faktor yang menyebabkan Imam Syafi’i mengubah fatwa lamanya ketika tinggal di Mesir ialah Imam Syafi’i baru mendengarkan hadis-hadis Sahih yang belum pernah beliau dengari pada sebelumnya dan Imam Syafi’i baru menemui dalil-dalil fiqh yang  tidak beliau sedari pada sebelumnya. Inilah sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam di dalam kitabnya al-Imam asy-Syafi’i fi Mazhabihil Qodim wal Jadid, “Pendapat Imam Syafi’i dalam versi mazhab jadid bukan bererti menghapuskan pendapat mazhab qodim. Pendapat-pendapat itu merupakan perpanjangan idea dan perkembangan pemikiran yang sesuai dengan hukum kausaliti dalam pembentukan suatu mazhab, kerana pada saat Imam Syafi’í datang dan tinggal di Mesir, ia baru menemukan dalil-dalil fiqh yang sebelumnya tidak terpikirkan olehnya. Ia juga banyak mendengar hadis-hadis lain yang belum pernah didengar sebelumnya. Hal inilah yang mendorongnya melakukan revisi dan perbaikan terhadap pendapat-pendapat fiqhnya yang dibingkai dalam versi mazhab qodimnya”.

Contoh
Pendapat Imam Syafi'i versi mazhab Qodim (Lama) tidak membenarkan makmum menggantikan tempat Imam yang berhadas sama ada sengaja atau tidak, namun pendapat Imam Syafi'i versi mazhab Jadid (Baru) telah membenarkan salah seorang makmum menggantikan tempat Imam untuk memimpin jemaah solat. Perubahan fatwa ini disebabkan Imam Syafi'i menyedari hadis-hadis Sahih yang membenarkan seorang makmum menggantikan tempat Imam apabila Imam telah memutuskan solatnya di tengah-tengah solat. Ini berdasarkan hadis Sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menceritakan tentang Abu Bakar menggantikan Nabi s.a.w. menjadi Imam ketika Nabi s.a.w. belum datang ke Masjid. Lalu, setelah Nabi s.a.w. sampai ke Masjid, maka Abu Bakar r.a. mengundur ke belakang dan Nabi s.a.w. bergerak ke depan menjadi Imam solat. Dalam riwayat lain, ada diceritakan tentang Umar al-Khattab r.a. yang telah ditikam oleh Abu Lu'lu al-Majusi ketika sedang menjadi Imam solat, lalu Umar r.a. segera menarik Abdul Rahman bin Auf r.a. ke depan untuk menggantikan tempatnya sebagai Imam solat. Tragedi ini telah disaksikan oleh ramai sahabat. 

Pengamalan Mazhab Syafi’i
Sebenarnya yang layak dinisbahkan sebagai “Mazhab Syafi’i” ialah mazhab Jadid yang merupakan fatwa baru Imam Syafi’i. Namun, jika diketahui bahawa Imam Syafi’i telah merujuk semula fatwanya yang lama (Mazhab Qodim) dalam sesuatu masalah fiqh, maka mazhab Qodim tadi boleh dinisbahkan sebagai “Mazhab Syafi’i”. Dan mana-mana fatwa lama (Mazhab Qodim) Imam Syafi’i yang diketahui bahawa tidak beliau mengubahnya ketika berada di Mesir, maka ia juga masih terus dinisbahkan sebagai mazhab Syafi’i.

Sumber Rujukan:
1. Imam Al-Syafi'i- Muhammad Abu Zahrah.
2. Al-Imam al-Syafi’i fi Mazhabihil Qodim wal Jadid- Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam al-Indunisi.

No comments:

Post a Comment