Friday, April 8, 2011

Sambutan Maulidur Rasul


   Segala pujian bagi Allah s.w.t. dengan limpah kurnia-Nya kita masih dihidupkan dan masih lagi mengingati Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.. Penulisan pada kali ini bertujuan untuk mengupas isu yang menjadi polemik sejak sekian lama di antara pendokong sambutan Maulidur Rasul dan pihak yang menolak sambutan tersebut.

   Golongan yang menolak sambutan Maulidur Rasul menolak atas beberapa hujah: Pertama, sambutan ini suatu bid’ah kerana belum pernah diadakan sejak zaman Nabi s.a.w. dan para salafus soleh. Kedua, sambutan ini diadakan pada 12 Rabi’ul Awwal, ini bertentangan dengan pendapat ahli falak Mahmud Basya yang dianggap tepat yang mengatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi s.a.w. bersamaan 9 Rabi’ul Awwal. Ketiga, sambutan ini boleh mencemarkan Islam itu sendiri kerana berlaku pergaulan antara lelaki dan wanita. Keempat, sambutan ini menyebabkan pembaziran makanan yang keterlaluan. Kelima, banyak lagi perkara yang diamalkan dalam sambutan ini yang tidak sahih periwayatan dan tidak boleh dijadikan hujah.  

   Ternyata hujah golongan yang menolak sambutan Maulidur Rasul nampak kuat. Namun begitu, hujah pendokong Maulidur Rasul lebih kuat kalau kita sudi menganalisis hujah kedua-dua pihak dalam isu ini. Namun di sini, saya yang daif ini tidak mampu untuk menjawab kembali hujah pihak yang menolak, melainkan sekadar yang termampu.

   Sebenarnya hampir kepada kesalahan jika kita mengatakan Nabi s.a.w. dan para salafus soleh tidak menyambut Maulidur Rasul, padahal realitinya para salafus soleh meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w. iaitu dengan berpuasa pada hari Isnin demi mengikuti perbuatan Rasulullah s.a.w. yang sering berpuasa pada hari Isnin. Demikian menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. dan para salafus soleh memang menyambut ulangtahun kelahiran Baginda s.a.w. (Maulidur Rasul).

عَنْ أَبِى قَتَادَةَ الأَنْصَارِىِّ رضى الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الاِثْنَيْنِ فَقَالَ « فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَىَّ ».
Ertinya:
Daripada Abu Qatadah al-Anshori r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya mengenai amalan baginda berpuasa pada hari Isnin. Lalu Baginda menjawab: Pada hari itu aku dilahirkan dan diturunkan kepadaku (al-Qur’an). (Riwayat Muslim)


   Perbuatan berpuasa ini dilakukan semata-mata kecintaan mereka terhadap Baginda s.a.w. melebihi manusia lain.

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - « لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ » .
Ertinya:
Daripada Anas r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda: Tidak dikira beriman salah seorang di antara kamu sehingga aku lebih dicintainya berbanding dengan ibu bapa mereka dan anak-anak serta seluruh umat manusia. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

   Menurut ulama, perbuatan berpuasa pada hari Isnin itu hukumnya Sunat, bukan Wajib. Dan tidak semestinya meraikan Maulidur Rasul hanya dengan berpuasa sunat. Tetapi, boleh juga dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunat yang lain seperti membaca al-Qur’an, memperbanyakkan selawat, menceritakan atau mendengarkan tentang kisah Nabi Muhammad s.a.w.; kemuliaannya di sisi Allah s.w.t., bersedekah kepada fakir miskin, membuat jamuan makanan dan lain-lain lagi ibadah sunat yang dipandang baik di sisi syarak.

   Kata Sheikh Al-Hafiz Abu al-Fadhl Ibnu Hajar:
“Asal usul amalan maulid adalah bid’ah yang tidak pernah dinukilkan daripada generasi salafus soleh sejak tiga abad dari zaman kenabian. Walaupun begitu, dalam amalan ini terangkum perkara-perkara yang baik, dan perkara yang sebaliknya. Sesiapa yang melakukan amalan yang baik dan menjauhkan amalan yang buruk, maka amalan itu dikira sebagai bid’ah yang baik.”

   Menurutnya lagi:
“Ternyata kepada saya bahawa amalan ini mempunyai asasnya, iaitu seperti yang disebutkan dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa apabila Nabi s.a.w. sampai ke Madinah, baginda dapati orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Lantas Nabi bertanya kepada mereka tentang hal itu. Mereka menjawab: Hari ‘Asyura’ ialah hari Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Nabi Musa. Lantaran itu kami menyatakan kesyukuran kepada Allah.”

   Berikut hadis yang lengkap:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا يَعْنِي عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ وَهُوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ فَقَالَ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.

Ertinya:
“Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. ketika tiba di Madinah, mendapati mereka (orang Yahudi) berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka berkata: Ini adalah hari raya iaitu hari ketika Allah menyelamatkan Musa dan menenggelamkan Fir’aun, lalu nabi Musa a.s. berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Akulah yang lebih utama (dekat) terhadap Musa dibandingkan dengan mereka. Maka Baginda berpuasa pada hari itu dan menganjurkan umatnya berpuasa pada hari itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

   Syeikh Jalaluddin al-Suyuti berkata:
“Amalan maulid Nabi s.a.w. dilakukan dalam bentuk perkumpulan manusia, membaca sesuatu daripada al-Qur’an, meriwayatkan kisah-kisah yang berkaitan dengan perjuangan  awal Rasulullah s.a.w., tanda-tanda kebesaran yang berlaku semasa keputeraan baginda. Kemudian diadakan jamuan makanan. Kemudian mereka pun beredar tanpa membuat apa-apa penambahan yang lain. Amalan ini termasuk dalam bid’ah hasanah (sesuatu yang baik), yang diberikan pahala kepada mereka yang menjalankannya. Ini kerana di dalam amalan ini terdapat unsure penghormatan dan pengagungan terhadap taraf Nabi s.a.w., menzahirkan rasa gembira dan sukacita dengan keputeraan Nabi yang mulia.” 

   Menurut Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah:
“Memuliakan hari Maulid Nabi dan menyelenggarakan peringatannya secara rutin banyak dilakukan orang. Mengingat maksudnya yang baik dan bertujuan memuliakan Rasulullah s.a.w., adalah layak jika dalam hal itu mereka beroleh ganjaran pahala yang besar.” (Iqtidha’us Shirath al-Mustaqim-Ibnu Taimiyyah)

   Berkata pula Mufti Mesir, Dr. Ali Jum’ah:
"Sesungguhnya Salafussoleh telah mengamalkan sambutan maulid sejak kurun yg ke 4 dan ke 5 lagi. Mereka menghidupkan malam Maulid dengan melakukan pelbagai ibadah seperti menjamu makanan, membaca al-Quran dan zikir, mendendangkan syair-syair dan puisi-puisi memuji Baginda s.a.w. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ramai ahli sejarah dan ulama seperti Ibnul Jauzi, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar dan Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi, semoga Allah merahmati mereka semua."

   Mahmud Basya, seorang ahli falak Islam yang agung telah membuat pengiraan akan tarikh kelahiran Nabi s.a.w. dan mendapati tarikh itu menunjukkan 9 Rabi’ul Awwal, bukan 12 Rabi’ul Awwal seperti tarikh yang disebutkan oleh Ibnu Ishaq, seorang ahli sejarah Islam yang agung, yang ada dinyatakan di dalam kitab al-Sirah al-Nabawiyyah li Ibn Hisyam. Lalu, sebahagian pihak menjadi lebih cenderung untuk mendukung pendapat Mahmud Basya kerana beliau merupakan seorang yang ahli dalam ilmu falak dan menolak mentah-mentah pendapat ahli sejarah Islam, Ibnu Ishaq.

   Lagi menurut pihak yang menolak bahawa 12 Rabi’ul Awwal itu merupakan tarikh kewafatan Baginda s.a.w., maka tidak boleh menyambut pada tarikh berkenaan kerana seolah-olah menyambut kewafatan Rasulullah s.a.w..

   Saya secara peribadi melihat hujah pihak yang menolak ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak daripada meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal. Ini kerana kalau mereka berpendapat demikian, maka mereka juga dilarang sama sekali dari berpuasa pada hari Isnin kerana Nabi s.a.w. wafat pada hari Isnin. Padahal, berpuasa pada hari Isnin bertujuan bagi meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w.. Oleh sebab itu, dalam hal ini, berbalik kepada niat ibadah tadi. Kalau niatnya semata-mata untuk beribadah pada hari atau tarikh kelahiran Nabi s.a.w. demi mengharapkan keredaan Allah s.w.t. maka demikian itu sangat baik.

   Selain itu, ada kaedah yang menyebut bahawa “ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad”. Secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa pengiraan Mahmud Basya tadi hanyalah merupakan sebuah ijtihad yang boleh diterima dan ditolak, sama juga seperti tarikh yang dinyatakan oleh Ibnu Ishaq. Maka, perselisihan ini tidak boleh dijadikan hujah bagi menolak dari meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal.

   Berkaitan dengan percampuran pergaulan antara lelaki dan wanita serta pembaziran makanan, hal ini tidak menolak hukum asal keharusan menyambut Maulidur Rasul. Ini kerana perkara-perkara munkar tadi merupakan sesuatu yang bersifat mendatang, bukan sedia ada. Jadi, ia hanya haram kalau perbuatan itu terjadi tetapi harus meraikan sambutan Maulidur Rasul jika tidak terjadi yang demikian.

   Adapun tentang perkara-perkara lain seperti bacaan Barzanji yang menurut sebahagian orang mengatakan di dalamnya terdapat sesuatu yang tidak Sahih, maka hal ini juga tidak mencemarkan sambutan Maulidur Rasul. Benar, ada yang tidak sahih sebab ada cerita yang masih diperdebat atau diperselisihkan kenyataannya. Namun, banyak lagi perkara furuk atau cabang lain yang diperselisihkan hukumnya tetapi telah diamalkan oleh masyarakat Islam. Jadi, tidaklah mengapa membaca atau mendengarkan cerita yang masih diperselisihkan kenyataannya itu.

   Natijahnya, apa-apa yang baik yang mempunyai dasarnya di sisi syarak seperti sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bagi memuliakan Rasulullah s.a.w. wajar diterima dan disambut baik oleh masyarakat Islam umumnya. Semoga sambutan Maulidur Rasul yang diadakan secara baik tanpa melakukan perkara-perkara yang munkar mendapat rahmat dan keredaan Allah s.w.t.. Wallahu a’lam bis shawab.


Rujukan:
  1. Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam.
  2. Nurul Yaqin. (Dr. Khudari Bik)
  3. al-Raheeq al-Makhtum. (Sofiyurrahman al-Mubakfuri)
  4. Argumentasi Ulama Syafi’iyyah. (Mujiburrahman)
  5. Liku-liku Bid’ah dan Masalah Khilafiyyah. (alHamid alHusaini)
  6. al-Bayanul Qowim Litashih Ba’dhil Mafahim. (Dr. Ali Jum’ah)
  7. Itqan as-Shan’ah fi Tahqiq ma’na al-Bid’ah. (Sheikh Abdullah al-Ghumari)
  8. al-Bid’ah fil Mafhum al-Islami ad-Daqiq. (Dr. Abd Malik Abd Rahman as-Sa’di)  

No comments:

Post a Comment