Sunday, April 10, 2011

Penggunaaan Biji Tasbih

    Kita makhluk yang sangat beruntung kerana dikurniakan oleh Allah s.w.t. banyak keistimewaan yang tidak ada pada makhluk yang lain. Kita mempunyai akal fikiran yang mampu berfikir akan hikmah keindahan alam, hikmah kita diciptakan, hikmah kita sebagai manusia dan pelbagai hikmah yang lain. Seharusnya kelebihan yang ada pada kita sebagai manusia perlu membuat diri kita sentiasa bersyukur dan mengingati Allah s.w.t.. Firman Allah s.w.t.:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ
 Ertinya:
(Iaitu) orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (berzikir) sambil berdiri, duduk dan berbaring… (Surah Ali Imran ayat 191)

   Antara kelebihan bersyukur dan berzikir ialah dapat melipatgandakan amalan baik bagi tujuan bekalan menuju hari akhirat kelak.

عَنْ أَبِى مَالِكٍ الأَشْعَرِىِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم « الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ. وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلآنِ أَوْ تَمْلأُ مَا بَيْنَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ ».
Maksudnya:
Daripada Abu Malik al-Asy’ari r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kebersihan itu sebahagian keimanan. Alhamdulillah itu dapat memenuhi timbangan amal, dan (ucapan) Subhanallahi walhamdulillah dapat memenuhi antara langit dan bumi. Solat itu nur (cahaya). Sedekah itu keterangan. Sabar itu sinaran . Al-Qur’an itu hujah bagi engkau atau atas engkau.”  (Riwayat Muslim)

   Pernah terjadi sebahagian sahabat nabi yang begitu cemburu dengan amalan orang kaya kerana dapat membantu ramai orang miskin, mereka berfikir bukankah orang-orang kaya itu akan mendapat balasan pahala yang sangat besar? Lalu, mereka pun mengadu kepada Nabi s.a.w. akan masalah tersebut. Berikut disebutkan dalam hadis.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Orang-orang fakir miskin dari kaum Muhajirin datang kepada Nabi s.a.w. mengeluh dan berkata: Orang-orang kaya telah memborong semua pahala dan memperoleh darjat yang tinggi serta kebahagiaan yang abadi, mereka solat sepertimana kami solat, mereka berpuasa sepertimana kami berpuasa, mereka juga mempunyai harta untuk menunaikan Haji dan Umrah, berhijad dan bersedekah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Sukakah kamu saya ajarkan kepada kamu sesuatu yang dapat mengejar orang-orang terdaulu daripada kamu dan orang-orang yang terkemudian daripada kamu serta tidak ada orang yang lebih utama berbanding kamu melainkan mereka yang melakukan seperti perbuatan kamu itu? Jawab mereka: Baiklah wahai Rasulullah. Sabda Nabi s.a.w.: Bacalah Subhanallah (Tasbih), Alhamdulillah (Tahmid) dan Allahu akbar (Takbir) 33x…  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

   Demikian menunjukkan kelebihan berzikir yang sangat besar keutamaannya. Ini kerana orang yang berzikir tetap sahaja mengingati Allah s.w.t. manakala orang-orang kaya yang beramal belum tentu mereka itu selalu mengingati Allah s.w.t., mungkin ada amal mereka yang bertujuan kerana keduniaan atau terhasut oleh godaan syaitan seperti riya’, ujub dan takabbur.

   Antara adab berzikir yang paling utama adalah dengan bantuan jari-jemari. Ini kerana jari-jemari tadi dapat membantu orang yang berzikir menghitung bilangan zikir yang telah dilakukannya. Selain itu, menghitung zikir dengan jari-jemari dapat menjadikan ia sebagai saksi ketika berhadapan dengan suasana getir di mana mulut terkunci dan anggota-anggota lain menjadi saksi, di hari akhirat kelak. Sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis.  

   عَنْ يُسَيْرَةَ بِنْتِ يَاسِرٍ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ اعْقِدْنَ بِالأَنَامِلِ فَإِنَّهُنَّ مَسْئُولاَتٌ مُسْتَنْطَقَاتٌ ».

Ertinya:
Daripada Yusairah binti Yasir daripada Nabi s.a.w. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Hendaklah kalian sentiasa berzikir, bertahlil dan bertaqdis (berzikir dengan menyebut kesucian Allah). Dan hitunglah ia dengan menggunakan jari-jemari kerana jari-jemari itu kelak akan ditanya dan diminta berbicara. (Riwayat al-Tirmizi dan Al-Hakim, Az-Zahabi dan al-Suyuti menilainya Sahih)

   Sungguhpun demikian, Nabi s.a.w. tidak pernah menegah jika seseorang itu berzikir dengan biji tasbih. Pernah diceritakan dalam hadis ada sahabat nabi yang berzikir dengan menggunakan biji tasbih, Nabi s.a.w. seolah-olah menunjukkan iqrar (pengakuan) akan keharusan perbuatan itu.  

عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِى وَقَّاصٍ أَنَّهُ دَخَلَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَلَى امْرَأَةٍ وَبَيْنَ يَدَيْهَا نَوًى أَوْ قَالَ حَصًى تُسَبِّحُ بِهِ فَقَالَ « أَلاَ أُخْبِرُكِ بِمَا هُوَ أَيْسَرُ عَلَيْكِ مِنْ هَذَا أَوْ أَفْضَلُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ فِى السَّمَاءِ وَسُبْحَانَ اللَّهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ فِى الأَرْضِ وَسُبْحَانَ اللَّهِ عَدَدَ مَا بَيْنَ ذَلِكَ وَسُبْحَانَ اللَّهِ عَدَدَ مَا هُوَ خَالِقٌ وَاللَّهُ أَكْبَرُ مِثْلَ ذَلِكَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ مِثْلَ ذَلِكَ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ مِثْلَ ذَلِكَ ».
Ertinya:
Daripada Sa’ad bin Abi Waqqash r.a. sesungguhnya dia bersama Rasulullah s.a.w. mengunjungi seorang wanita yang terdapat di hadapannya biji-biji kecil atau anak-anak batu. Dia menggunakannya untuk bertasbih, lalu baginda bersabda: Mahukah aku memberitahumu cara yang lebih mudah kepadamu atau lebih baik berbanding cara ini? Sebutlah: (Maha Suci Allah sebanyak bilangan makhluk yang diciptakan-Nya di bumi, maha suci Allah sebanyak bilangan apa yang ada di antara langit dan bumi, maha suci Allah sebanyak bilangan apa yang Dia ciptakan, dan sebutlah Allahu akbar begitu juga, Alhamdulillah begitu juga Lailahaillallah begitu juga, La haula wala quwwata illa billah begitulah. (Riwayat Al-Tirmizi, Ibn Hibban dan Al-Hakim, hadis Hasan menurut Imam Al-Tirmizi, dan Sahih menurut Ibn Hibban dan Al-Hakim)

   Demikian hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w. menganjurkan suatu zikir yang besar dan baik sekali isi kandungannya. Hadis ini menunjukkan Nabi s.a.w. tidak menegah wanita tadi daripada menggunakan biji tasbih bagi tujuan berzikir.

   Saya berpendapat, sama ada berzikir dengan jari-jemari atau biji tasbih kedua-duanya nampak baik. Ini kerana orang yang berzikir dengan menggunakan biji tasbih secara tidak langsung turut menggunakan jari-jemari bagi tujuan berzikir.

   Semoga keharusan menggunakan biji tasbih bagi tujuan berzikir dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada umat Islam untuk sentiasa mengingati Allah s.w.t..

*Sebenarnya saya tidak mempunyai biji tasbih, namun setiap kali berzikir saya akan menggunakan jari-jemari saya.

Rujukan:
1. Argumentasi Ulama Syafi'iyyah. (Mujiburrahman)
2. Itqan as-Shan'ah fi Tahqiq Makna al-Bid'ah. (Abdullah al-Ghumari)
3. Liku-Liku Bid'ah dan Masalah Khilafiyyah (AlHamid AlHusaini)
4. Al-Bayanul Qowim Litashih Ba’dhil Mafahim. (Ali Jum’ah)
5. Al-Bid’ah fil Mafhum al-Islami ad-Daqiq. (Abd Malik Abd Rahman as-Sa’di)  




No comments:

Post a Comment