Saturday, February 12, 2011

Masalah Talkin

   Amalan talkin di kawasan perkuburan setelah kematian seseorang telah menjadi amalan sebahagian umat Islam sejak dahulu hingga kini. Amalan ini hukumnya bukan Wajib, tetapi hanya Sunat. Siapa yang tak mahu mengamalkannya pun tidak apa-apa.

   Namun, sebahagian muslim yang menolak amalan talkin kepada orang yang telah mati berkeras menentang amalan muslim yang mengamalkannya. Mereka telah menuduh orang yang mengamalkan talkin kepada orang yang telah mati sebagai pelaku bidaah.

   Hal yang demikian, telah mewujudkan polemik yang tidak sihat dan sangat membimbangkan. Oleh itu, penerangan yang jelas, benar dan tepat tentang masalah ini mesti dilaksanakan segera, supaya masyarakat mengetahui titik kebenaran dan kebatilan disebalik apa yang mereka lihat, dengar serta pelajari dan membina suasana yang aman dan harmoni.

   Tujuan asal talkin adalah supaya dapat membantu si mati pada akhir kematiannya bersaksi bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya serta kepada-Nya sahaja layak kita sembah.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ.

Ertinya:
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Talkinkanlah kepada orang mati kalimah La ilaha illallah (Tiada Tuhan Selain Allah). Riwayat Muslim.

   Ibn al-Rif’ah menyebut:
لِأَنَّ الْمَيِّتَ لَا يُقْرَأَ عَلَيْهِ وَإِنَّمَا يُقْرَأُ عِنْدَهُ.
Ertinya:
Kerana (dalam bahasa Arab) mayat tidak dibacakan ke atasnya, tetapi dibacakan padanya atau di sisinya.

   Berkata Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim:
مَعْنَاهُ مَنْ حَضَرَهُ الْمَوْت ، وَالْمُرَاد ذَكِّرُوهُ لَا إِلَه إِلَّا اللَّه لِتَكُونَ آخِر رضي الله  كَلامِهِ كَمَا فِي الْحَدِيث ( مَنْ كَانَ آخِر كَلَامه لَا إِلَه إِلَّا اللَّه دَخَلَ الْجَنَّة )

Ertinya:
Erti dari mawta pada hadis itu adalah orang yang akan mati. Maka maksudnya: Ingatkanlah orang yang akan mati itu kalimah la ilaha illallah agar kalimah itu yang menjadi akhir ucapannya sebagaimana hadis yang menyebut: Barangsiapa akhir ucapannya la ilaha illallah, maka dia akan masuk syurga.

   Daripada perkataan Ibnul Rif’ah dan Imam an-Nawawi inilah ulama membuat kesimpulan agar mentalkinkan orang yang akan mati dengan kalimah tauhid tersebut.

   Namun, tidak semua ulama setuju bahawa kalimah itu hanya ditalkinkan kepada orang yang hampir mati. Bahkan, sebahagian ulama berpendapat bahawa dianjurkan juga untuk mentalkinkan kalimah tauhid tadi setelah kematian seseorang dan di atas kuburannya.

   Prof. Madya Dr. Musa bin Fathullah Harun berkata:
Erti perkataan tersebut yang sebenarnya adalah orang yang sudah mati, kerana orang yang belum mati tidak dinamakan mawtaa. Dari sinilah, di samping adanya hadis-hadis yang mengatakan bahawa orang mati mendengar semua yang dikatakan oleh mereka yang hidup, maka timbul pandangan yang mengatakan, sebagai ihtiyath (lebih menjamin), kita membacakan dan mentalkinkan orang yang akan mati, dan juga yang sudah mati.

   Dalil-dalil yang menganjurkan Talkin di kuburan:
عَنْ أَبِي أُمَامَةََ قَالَ: إِذَا أَنَا مُتُّ، فَاصْنَعُوا بِي كَمَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نصْنَعَ بِمَوْتَانَا، أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ:"إِذَا مَاتَ أَحَدٌ مِنْ إِخْوَانِكُمْ، فَسَوَّيْتُمِ التُّرَابَ عَلَى قَبْرِهِ، فَلْيَقُمْ أَحَدُكُمْ عَلَى رَأْسِ قَبْرِهِ، ثُمَّ لِيَقُلْ: يَا فُلانَ بن فُلانَةَ، فَإِنَّهُ يَسْمَعُهُ وَلا يُجِيبُ، ثُمَّ يَقُولُ: يَا فُلانَ بن فُلانَةَ، فَإِنَّهُ يَسْتَوِي قَاعِدًا، ثُمَّ يَقُولُ: يَا فُلانَ بن فُلانَةَ، فَإِنَّهُ يَقُولُ: أَرْشِدْنَا رَحِمَكَ اللَّهُ، وَلَكِنْ لا تَشْعُرُونَ، فَلْيَقُلْ: اذْكُرْ مَا خَرَجْتَ عَلَيْهِ مِنَ الدُّنْيَا شَهَادَةَ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، وَأَنَّكَ رَضِيتَ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَبِالْقُرْآنِ إِمَامًا، فَإِنَّ مُنْكَرًا وَنَكِيرًا يَأْخُذُ وَاحِدٌ مِنْهُمْا بِيَدِ صَاحِبِهِ، وَيَقُولُ: انْطَلِقْ بنا مَا نَقْعُدُ عِنْدَ مَنْ قَدْ لُقِّنَ حُجَّتَهُ، فَيَكُونُ اللَّهُ حَجِيجَهُ دُونَهُمَا"، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَإِنْ لَمْ يَعْرِفْ أُمَّهُ؟ قَالَ:"فَيَنْسُبُهُ إِلَى حَوَّاءَ، يَا فُلانَ بن حَوَّاءَ".

Maksudnya:
Daripada Abu Umamah r.a., ia berkata: Andai aku mati, uruskanlah diriku sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. yang mana beliau bersabda: Apabila salah seorang kamu meninggal dunia dan kamu telah meratakan tanah perkuburannya, maka hendaklah salah seorang kamu berdiri di atas kuburnya itu kemudian berkata: “Hai fulan bin fulanah!”, maka sesungguhnya dia mendengar, namun tidak menjawab. Kemudian dia berkata lagi: “Hai fulan bin fulanah!”, maka sesungguhnya mayat itu akan berkata: “Berikanlah kepada kami petunjuk, semoga Allah merahmatimu.” Akan tetapi ucapan itu tidak kamu sedari. Kemudian hendaklah dikatakan: “Ingatlah keadaan ketika engkau keluar dari dunia yakni pengakuan bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah. Dan engkau redha Allah sebagai Tuhanmu, Islam sebagai agamamu, Muhammad sebagai nabimu, dan al-Qur’an sebagai imammu. Maka sesungguhnya malaikat Munkar dan Nakir akan saling berpegangan tangan sambil berkata: Mari kita pergi, tiada guna duduk di hadapan orang yang sudah ditalkinkan jawapannya”. Berkata Abu Umamah: Seorang sahabat bertanya kepada Nabi: Wahai Rasulullah, bagaimana jika orang tidak tahu nama ibunya? Nabi s.a.w. menjawab: “Dinasabkan sahaja kepada ibunya Hawa”. Riwayat at-Thabrani. 

   Amat ramai sekali yang bertegas mengatakan bahawa hadis ini Daif, dan tidak boleh untuk diamalkan. Namun, adakah mereka tahu bahawa sebenarnya hadis ini merupakan Hadis Hasan? Sudah tentu, mereka tidak menyangkakannya demikian. Hadis ini Daif yang telah diangkat darjatnya menjadi Hasan (Hasan Lighairihi) disebabkan ada hadis lain yang menyokong. Maka, boleh untuk diamalkan.
 
   Syeikh Ibnu Hajar dan ad-Dhiya’ nampaknya lebih hebat sebab mengatakan semua
perawi dalam hadis ini baik (Soleh):
قال الحافظ فى التلخيص: وَإِسْنَادُهُ صَالِحٌ . وَقَدْ قَوَّاهُ الضِّيَاءُ فِي أَحْكَامِهِ.
Ertinya:
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani (Amirul Mukminin fil Hadith) berkata dalam kitabnya at-Talkhish: “Hadis Abu Umamah itu baik sanadnya dan Imam ad-Dhiya’ telah memandangnya sebagai hadis yang kuat dalam kitabnya al-Ahkam.”

   Berkata Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya Tuhfatul Muhtaj:
وَضَعْفُهُ اُعْتُضِدَ بِشَوَاهِدَ عَلَى أَنَّهُ مِنْ الْفَضَائِلِ
Kedha’ifan hadis Abu Umamah itu telah disokong dengan beberapa hadis yang lain. Tambahan pula talkin itu adalah Fadha’ilul A’mal.

   Imam an-Nawawi berkomentar mengenai hadis ini:
وقد اعتضد بشواهد من الاحاديث كحديث " واسألوا له الثبيت " ووصية عمرو بن العاص وهما صحيحان
Ertinya:
Hadis Abu Umamah itu telah disokong dengan beberapa hadis seperti hadis Tatsbit dan Wasiat Amr bin al-Ash yang kedua-duanya adalah hadis Sahih”.

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ كَانَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ : اسْتَغْفِرُوا لأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْأَلُ.

Ertinya:
Daripada Usman bin Affan r.a. dia berkata: Nabi s.a.w. apabila telah selesai menguburkan mayat, baginda berhenti sebentar dan berkata: Mintakanlah ampun untuk saudaramu ini dan mohonkanlah supaya dia diberikan tatsbit, yakni kemantapan untuk menjawab pertanyaan, kerana dia kini sedang disoal. Riwayat Abu Daud.


   عَنِ ابْنِ شَمَاسَةَ الْمَهْرِىِّ قَالَ حَضَرْنَا عَمْرَو بْنَ الْعَاصِ وَهُوَ فِى سِيَاقَةِ الْمَوْتِ قَالَ: فَإِذَا أَنَا مُتُّ فَلاَ تَصْحَبْنِى نَائِحَةٌ وَلاَ نَارٌ فَإِذَا دَفَنْتُمُونِى فَشُنُّوا عَلَىَّ التُّرَابَ شَنًّا ثُمَّ أَقِيمُوا حَوْلَ قَبْرِى قَدْرَ مَا تُنْحَرُ جَزُورٌ وَيُقْسَمُ لَحْمُهَا حَتَّى أَسْتَأْنِسَ بِكُمْ وَأَنْظُرَ مَاذَا أُرَاجِعُ بِهِ رُسُلَ رَبِّى.
Ertinya:
Daripada Ibn Syumasah al-Mahri berkata: Kami hadir ketika Amr bin al-Ash dalam keadaan hampir mati. Beliau berkata: Apabila aku mati nanti, maka janganlag aku diiringi dengan ratapan dan obor api. Apabila aku telah dikuburkan dan tanah pun  sudah benar-benar diratakan, maka berhentikanlah sebentar di sekeliling kuburku sekadar masa menyembelih kambing dan membahagikan dagingnya sehingga aku terhibur dengan kamu dan mengetahui jawapan apa yang patut aku berikan kepada malaikat-malaikat yang menjadi utusan Tuhanku. Riwayat Muslim.

   Inilah dalil-dalil yang menyebut tentang anjuran talkin di kuburan. Walau bagaimanapun, biarlah kita menghormati pendapat mereka yang berkeras terhadap pendapat kita dalam hal ini. Tidak perlu bergaduh dan mencaci-maki mereka, kerana ianya merupakan suatu pembaziran masa dan menambah dosa. Oleh itu, bagi mereka yang mahu talkinkan si mati di kuburan, diperbolehkannya untuk mengamalkan dalil di atas. Wallahu a’lam bis shawab.




1 comment:

  1. Asaalamualaikum,

    Yang menjadi masaalahnya ialah hadis Umamah di atas selain bertaraf daif, ia mengatakan bahawa malaikat tidak akan bertanya soalan kubur ke atas mayit yang telah ditalkinkan. Ini menyalahi banyak dalil-dalil lain dari hadis Nabi saw yang sahih. Tiada manusia yang mati akan terkecuali dari disoal munkar & nakir. Inilah sebab utama hadis tersebut dipertikaikan.

    ReplyDelete