Telah direkodkan bahawa Imam Al-Syafi’i mempunyai dua pendapat iaitu pendapat lama yang dikenali sebagai Qoul Qodim dan pendapat baru yang dikenali sebagai Qoul Jadid. Pendapat lama ini adalah merupakan pendapat beliau sebelum berhijrah ke Mesir, manakala pendapat baru beliau pula adalah merupakan pendapat beliau setelah berada di Mesir. Apa yang mendorong Imam Al-Syafi’i menukar pendapat lamanya kepada pendapat yang baru adalah disebabkan faktor penemuan dalil-dalil yang baru dan penemuan kekuatan atau kelemahan dalil.
Antara perbezaan Qoul Qodim dan Qoul Jadid Imam Al-Syafi’i ialah:
- Hukum air mengalir yang terkena najis, namun sifat-sifatnya tidak berubah. Qoul Qodim: Air mengalir tidak akan menjadi najis. Qoul Jadid: Air mengalir hukumnya sama dengan air yang tenang. Jika kuantitinya kurang dari dua kullah, maka menjadi najis.
- Hukum air mustakmal untuk bersuci yang wajib. Qoul Qodim: Air mustakmal hukumnya suci lagi menyucikan. Qoul Jadid: Air mustakmal hukumnya suci tetapi tidak dapat menyucikan.
- Hukum menjual kulit haiwan yang telah disamak. Qoul Qodim: Tidak boleh menjualnya. Qoul Jadid: Boleh menjualnya.
- Hukum terlupa tertib wuduk. Qoul Qodim: Sah wuduknya. Qoul Jadid: Hukumnya sama dengan orang yang tinggalkan secara sengaja, tidak sah.
- Hukum muwalat dalam berwuduk. Qoul Qodim: Wajib. Qoul Jadid: Sunat, bukan Wajib.
- Batas waktu mengusap khuf (sepatu). Qoul Qodim: Tidak ada batas waktu. Qoul Jadid: Bagi musafir, 3 hari 3 malam manakala bagi yang mukim sehari semalam.
- Hukum mengusap khuf yang koyak. Qoul Qodim: Boleh mengusapnya. Qoul Jadid: Tidak boleh mengusapnya apabila koyakan itu sampai menampakkan bahagian kakinya.
- Hukum wuduk bagi orang yang tertidur ketika solat. Qoul Qodim: Tidak membatalkan wuduk. Qoul Jadid: Batal wuduk. Hukum tidur dalam solat sama dengan hukum tidur di luar solat.
- Hukum wuduk bagi orang yang menyentuh dubur manusia. Qoul Qodim: Tidak membatalkan wuduk. Qoul Jadid: Wuduknya batal.
- Hukum wuduk bagi orang yang menyentuh dubur binatang ternak. Qoul Qodim: Batal wuduk. Qoul Jadid: Tidak batal wuduk.
- Hukum wuduk bagi orang yang memakan daging unta. Qoul Qodim: Batal wuduk. Qoul Jadid: Tidak batal wuduk.
- Batas usapan tayamum pada tangan. Qoul Qodim: Sehingga pergelangan tangan sahaja. Qoul Jadid: Sampai ke siku.
- Tayamum dengan pasir. Qoul Qodim: Boleh bertayamum dengan pasir. Qoul Jadid: Tidak boleh bertayamum dengan pasir.
- Kes orang yang mempunyai air tetapi tidak cukup untuk mandi hadas dan berwuduk. Qoul Qodim: Tidak wajib menggunakan air itu, tayamum sahaja. Qoul Jadid: Wajib menggunakan air itu terlebih dahulu, kemudian tayamum untuk menyucikan sebahagian anggota tubuhnya yang belum tersentuh air.
- Kafarah menggauli isteri yang sedang haid. Qoul Qodim: Dikehendaki membayar kafarah dengan sedekah sebanyak 1 dinar jika menggauli isteri yang sedang haid pada saat datangnya darah, dan setengah dinar bagi suami yang menggauli isterinya yang sedang haid pada saat hilangnya darah. Qoul Jadid: Tidak wajib membayar kafarah, tetapi sekadar dianjurkan sahaja. Dikehendaki memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT.
- Hukum bersenang-senang di sekitar pusat dan lutut isteri yang sedang haid. Qoul Qodim: Perbuatan itu tidak diharamkan, tetapi makruh. Qoul Jadid: Perbuatan itu hukumnya Haram.
- Waktu Solat Maghrib. Qoul Qodim: 2 waktu-1 waktu saat terbenam matahari dan 1 waktu lagi sampai hilangnya sinar merah matahari. Qoul Jadid: 1 waktu. Sebatas cukup bersuci, menutup aurat, azan, iqamah dan solat.
- Tidak mengetahui atau terlupa membersihkan najis pada pakaian ketika solat. Qoul Qodim: Solatnya sah. Qoul Jadid: Solat tidak sah dan wajib mengulang.
- Lupa membaca Al-Fatihah dalam solat. Qoul Qodim: Solatnya sah. Qoul Jadid: Solatnya tidak sah.
- Hukum baca Al-Fatihah bagi makmum pada rakaat solat yang dikeraskan suara. Qoul Qodim: Makmum tidak wajib membaca Al-Fatihah melainkan pada rakaat 3 dan 4. Qoul Jadid: Makmum wajib membaca Al-Fatihah dalam setiap rakaat pada setiap solat.
- Mengucapkan salam di akhir solat. Qoul Qodim: Disyariatkan hanya salam pertama sahaja. Qoul Jadid: Salam kedua disyariatkan dan sunat hukumnya.
- Hadas ketika solat. Qoul Qodim: Hanya batal wuduk, tidak batal solat. Oleh itu, perlu keluar barisan solat dan pergi berwuduk lalu sambung kembali solat tadi. Qoul Jadid: Solatnya batal. Perlu mengulangi solat dari awal.
- Menggantikan imam yang berhadas. Qoul Qodim: Tidak boleh menggatikannya. Qoul Jadid: Boleh mengganti imam.
- Kes melewatkan solat dalam perjalanan lalu ia mengqadanya di rumah. Qoul Qodim: Boleh mengqasarnya, apabila melakukan solat di rumah. Qoul Jadid: Tidak boleh mengqasarkannya, jika melaksanakan solat di rumah.
- Hukum merampas sebahagian harta orang yang tidak mahu membayar zakat. Qoul Qodim: Boleh. Qoul Jadid: Tidak boleh.
- Hutang menghalangi bayar zakat. Qoul Qodim: Hutang menggugurkan kewajipan membayar zakat. Qoul Jadid: Hutang tidak menghalangi kewajipan membayar zakat.
- Permulaan waktu wajib membayar zakat fitrah. Qoul Qodim: Saat terbitnya fajar di hari Ied Fitri. Qoul Jadid: Wajib membayar zakat fitrah pada waktu selepas terbenamnya matahari di hari terakhir bulan Ramadan atau malam menjelang Ied Fitri.
- Membayar fidyah bagi orang tua atau orang sakit yang tidak mampu berpuasa. Qoul Qodim: Tidak wajib membayar fidyah. Qoul Jadid: Wajib membayar fidyah.
- Gila sampai setengah hari bagi orang yang berpuasa. Qoul Qodim: Sah puasanya. Qoul Jadid: Tidak sah puasanya.
- Meninggal dunia sebelum mengqada puasa. Qoul Qodim: Walinya boleh berpuasa untuk orang yang meninggal dunia atau membayar fidyah. Boleh pilih salah satu. Qoul Jadid: Walinya tidak boleh menggantikan puasa untuk orang yang meninggal dunia. Tetapi, wajib membayar fidyah.
- Hukum Umrah. Qoul Qodim: Umrah hukumnya sunat, bukan wajib. Qoul Jadid: Hukum Umrah adalah wajib.
- Hukum ihram bagi anak kecil yang mumayyiz (boleh membezakan baik & buruk) tanpa izin walinya. Qoul Qodim: Tidak boleh. Qoul Jadid: Boleh.
- Hukum melanggar larangan ihram bagi anak kecil dengan sengaja. Qoul Qodim: Mesti membayar fidyah dengan wang anak kecil itu. Qoul Jadid: Fidyah diambil dari wang walinya.
- Meninggal dunia ketika sedang menunaikan haji. Qoul Qodim: Diperbolehkan menggantikan hajinya. Qoul Jadid: Tidak diperbolehkan menggantikan hajinya.
- Hukum berihram sebelum waktu ihram. Qoul Qodim: Ihramnya boleh ditangguhkan sampai bulan-bulan haji. Qoul Jadid: Ihramnya dianggap ihram umrah.
- Hukum tawaf dengan badan serong (45 darjah) atau kurang sempurna. Qoul Qodim: Boleh. Qoul Jadid: Tidak boleh. Hendaklah betul-betul sempurna dan bukan dengan sebahagian badan sahaja.
- Hukum berhadas ketika sedang tawaf. Qoul Qodim: Mesti pergi berwuduk dan tidak boleh menyambung tawafnya dan perlu mulai dari awal. Qoul Jadid: Boleh melanjutkan tawafnya setelah berwuduk.
- Hukum menjual sesuatu yang belum dimiliki. Qoul Qodim: Akad penjualan ditangguhkan sampai mendapat izin pemilik barang yang hendak dijual. Apabila diizinkan maka penjualan itu sah. Qoul Jadid: Hukum penjualan ini batal.
- Azan bagi solat qada’. Qoul Qodim: Tetap perlu azan. Qoul Jadid: Tidak perlu azan, hanya iqamah sahaja.
- Memakan kulit bangkai haiwan yang telah disamak. Qoul Qodim: Tidak boleh memakannya, tidak kira binatang yang halal atau haram dimakan. Qoul Jadid: Boleh dimakan jika dari binatang yang halal.
- Solat Isya’. Qoul Qodim: Mendahulukan solat Isya’ lebih utama. Qoul Jadid: Mengakhirkan solat Isya’ lebih utama.
- Makmum yang membaca amin. Qoul Qodim: Makmum dianjurkan membaca amin dengan keras (jahar). Qoul Jadid: Makmum tidak perlu membaca amin dengan keras.
- Membaca surah bagi imam atau orang yang solat sendirian pada rakaat ketiga dan keempat. Qoul Qodim: Tidak disunatkan. Qoul Jadid: Disunatkan.
Sumber Rujukan: Al-Imam Al-Syafi’i fi Mazhabihil Qodim wal Jadid. Dr. Ahmad Nahrawi Abd Salam.
No comments:
Post a Comment