Friday, June 10, 2011

Kemuliaan Bagi Mereka Yang Sabar

Di dalam kitab Al-Ruh ada kisah yang diceritakan oleh Mutarrif bin Abdullah Al-Harasyi bahawa beliau ingin berjumpa dengan Al-Rabi’ pada hari Jumaat. Ketika sedang dalam perjalanan, dia telah melalui kawasan perkuburan dan terlihat ada jenazah yang sedang dikuburkan. Lalu, beliau mengambil kesempatan untuk menyembahyangkan jenazah itu. 

Seusai solat, beliau mengantuk kemudian tertidur. Tiba-tiba dia ternampak di dalam mimpinya tuan punya kubur yang menegurnya dan berkata: “Engkau telah solat dua rakaat tetapi tidak kau sempurnakan segala bacaannya?” Jawabku, “Benar itu!” Lalu tuan punya kubur berkata, “Kamu dapat beramal tetapi kamu tidak mengetahui. Malangnya kami mengetahui, namun kami tidak dapat beramal lagi. Andaikata aku dapat lakukan dua rakaat seperti yang kau lakukan tadi itu adalah lebih kucintai dari dunia dan segala isinya.” Kemudian aku bertanya, “Siapakah gerangan ahli kubur di sini?” Jawabnya, “Semua Muslim, dan semua kami mendapat balasan yang baik-baik.” Aku bertanya lagi, “Siapakah di antara kalian yang paling baik sekali?” Lalu tuan punya kubur mengisyaratkan kepada suatu kubur. 

Mutarrif pun berkata di dalam diri, “Ya Allah Ya Tuhanku, kalaulah dapat Kau takdirkan dia keluar dari kuburnya untuk aku bertanyakannya sesuatu.” Maka dengan tiba-tiba orang yang di dalam kubur itu pun keluar, dan dia adalah seorang pemuda. Aku pun bertanya kepadanya, “Adakah engkau orang yang paling baik sekali di antara ahli kubur ini?” Jawabnya, “Begitulah menurut mereka”. 

Tanyaku pula, “Bagaimana engkau boleh mendapat keutamaan ini? Demi Allah, aku tidak terbayangkan sesuatu yang dapat menarikmu kepada tingkat yang tinggi sebegini, kerana engkau masih muda. Apakah engkau mendapat tingkat itu dengan memperbanyak mengerjakan haji dan umrah, berjihad pada jalan Allah serta banyak beramal?” Jawabnya, “Bukan dengan semua itu. Sebenarnya aku telah diuji oleh Allah dengan berbagai macam musibah (bencana), dan syukurlah, aku telah dikurniakan Allah kesabaran ke atas bencana itu, dan kerana itulah aku memperoleh keutamaan itu.”

Kisah ini menjadi pedoman tentang kisah seseorang yang sering dilanda musibah, namun semua itu dihadapinya dengan kesabaran yang tinggi sampai memperoleh keutamaan yang agung.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155, “Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan kekurangan makanan. Dan sampaikanlah khabar gembira buat orang-orang yang sabar.”  

Kisah yang lain adalah mengenai Imam Ahmad bin Hanbal (seorang yang mencapai mujtahid mutlak) ketika beliau diseksa dengan keras oleh khalifah Al-Ma’mun tatkala keengganannya untuk menurut perintah khalifah supaya mengakui Al-Qur’an itu makhluk. Imam Ahmad tetap bersabar dalam mempertahankan kebenaran dan tidak sesekali mahu mengatakan Al-Qur’an itu makhluk walaupun telah dibelenggu dengan besi. Penderitaan beliau ini berakhir setelah kekhalifahan al-Mutawakkil dan namanya menjadi semakin masyhur dari kalangan orang awam mahupun ulama’. Semoga Allah menempatkan beliau di tempat yang terpuji.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran ayat 200, “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaran kamu serta tetap bersiap siaga, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”   

Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim dari Shuhaib bin Sinan RA, katanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Sungguh mengagumkan keadaan seorang mukmin, segala keadaannya serba baik, dan tidak mungkin terjadi demikian itu kecuali bagi seorang mukmin; jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu lebih baik baginya, dan apabila menderita kesusahan ia sabar, maka kesabaran itu lebih baik baginya.

Mudah-mudahan dua kisah ini dapat menjadi pengajaran yang baik buat kita dalam mengharungi perjalanan kehidupan yang dipenuhi dengan ujian dan cabaran  serta menjadikan kita lebih tabah dan menambahkan keimanan. Ingatlah! Allah sentiasa bersama dengan mereka yang bersabar dan sangat redha dengan sifat sabar. 

4 comments:

  1. sifat sabar itu indah :)

    ReplyDelete
  2. tapi ramai dah tak amalkan sifat sabar dalam kehidupan seharian mereka

    ReplyDelete
  3. Sifat sabar dibuktikan melalui musibah. tak ke?

    ReplyDelete