MEMINANG GAYA ISLAM
Ada yang bertanya kepada saya, bagaimanakah cara bertunang (meminang) yang dianjurkan dalam Islam?
Jawapan saya: Saya minta maaf, saya tidak arif tentang itu kerana ketika ditanya saya sendiri belum tahu bagaimana cara bertunang yang dianjurkan dalam Islam.
Tetapi, setelah saya meneliti apa yang disebutkan di dalam kitab-kitab ulama, peminang seharusnya:
(1) Sudah bersedia untuk berumah tangga.
Sabda Rasulullah SAW:
مَنِ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ
Ertinya: “Barangsiapa yang sudah berkemampuan untuk berumah tangga, maka berkahwinlah!” (Riwayat al-Bukhari)
(2) Melihat wanita yang ingin dipinang.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا ». قَالَ لاَ. قَالَ « فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا ».
Ertinya:
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Pada suatu hari, sedang aku berada hampir dengan Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki mengkhabarkan kepada baginda “Aku akan mengahwini seorang wanita.” Lantas Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “Sudahkah kamu lihat wanita tersebut?” Lelaki itu menjawab, “Belum.” Rasulullah SAW pun bersabda, “Pergilah dan lihatlah kepadanya.!” (Riwayat Muslim)
(3) Memilih wanita yang baik agamanya.
Sabda Rasulullah SAW:
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا ، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Ertinya: “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang baik agamanya. Jika tidak, kamu akan berdukacita.” (Riwayat al-Bukhari)
(4) Berjumpa dengan keluarga wanita tersebut dan menyatakan hasrat untuk melamar.
عَنْ عُرْوَةَ أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - خَطَبَ عَائِشَةَ إِلَى أَبِى بَكْرٍ فَقَالَ لَهُ أَبُو بَكْرٍ إِنَّمَا أَنَا أَخُوكَ ، فَقَالَ « أَنْتَ أَخِى فِى دِينِ اللَّهِ وَكِتَابِهِ وَهْىَ لِى حَلاَلٌ » .
Ertinya: Daripada Urwah RA, sesungguhnya Nabi SAW pergi meminang Aisyah kepada Abu Bakar. Lalu Abu Bakar berkata kepadanya, “Sesungguhnya saya ini adalah saudaramu.” Rasulullah SAW bersabda, “Kamu adalah saudaraku seagama dan menurut kitabnya (di sisi al-Quran), sedang Aisyah adalah halal untuk saya kahwini.” (Riwayat al-Bukhari)
(5) Melamar janda dengan menggunakan orang tengah.
عَنْ أَنَسٍ وَهَذَا حَدِيثُ بَهْزٍ قَالَ لَمَّا انْقَضَتْ عِدَّةُ زَيْنَبَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- لِزَيْدٍ « فَاذْكُرْهَا عَلَىَّ ».
Ertinya: Daripada Anas RA, ini adalah hadis Bahz RA, dia berkata: “Ketika Zainab (bekas isteri Zaid) telah selesai ‘iddah, Rasulullah SAW bersabda kepada Zaid, “Wahai Zaid, pergilah kamu melamar Zainab untukku.” (Riwayat Muslim)
(6) Memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah semasa meminang.
Sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ أَمْرٍ ذِى بَالٍ لاَ يُبْدَأُ فِيهِ بِالْحَمْدِ أَقْطَعُ
Ertinya: “Setiap perkara yang bernilai tetapi tidak dimulakan dengan memuji Allah adalah cacat.” (Riwayat Ibnu Majah)
(7) Menyatakan hasrat untuk melamar.
“Kami datang untuk meminang anak kamu.”
Habib Ali al-Jufri dalam salah satu ceramahnya menyarankan supaya berkata kepada bapa atau wali wanita itu:
“Jika kamu melihat pada diri saya sesuatu yang diredhai oleh Allah, maka terimalah lamaran saya.”
(8) Menanti jawapan wanita yang dipinang.
« لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ وَلاَ تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ » . قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ إِذْنُهَا قَالَ « أَنْ تَسْكُتَ »
Ertinya: “Seorang janda tidak boleh dikahwinkan begitu saja sebelum meminta persetujuannya, dan seorang gadis (anak dara) tidak (baik) dikahwinkan sebelum meminta persetujuannya.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana caranya (untuk mengetahui persetujuannya)?” Rasulullah SAW bersabda, “Diamnya (itulah tanda persetujuannya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sumber Rujukan:
(1) Al-Fiqh al-Manhaji. Dr. Mustafa al-Bugha, Dr. Mustafa al-Khen, Ali al-Syarbaji.
(2) Sistem Kekeluargaan Dalam Islam. Prof. Madya Dr. Musa bin Fathullah Harun.
(3) Maktabah Syamilah: Sunan al-Sittah.
No comments:
Post a Comment