Sunday, October 28, 2012

Bank Islam Bantu Ummah Atau Cari Untung?




Bank Islam Bantu Ummah Atau Cari Untung?

Alhamdulillah, rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih dihidupkan dan masih diberi kemampuan untuk terus menulis di sini. Semalam ketika membaca majalah ‘Dewan Ekonomi’ Edisi September 2012 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saya tertarik dengan sebuah artikel yang berjudul, “Matlamat Perbankan Islam: Ummah Atau Untung?” Oleh itu, saya berhasrat untuk berkongsi secara ringkas tentang artikel tersebut di sini.

Penulisnya (Muhammad Hafiz) menjelaskan bahawa terdapat 2 pendapat dalam persoalan tersebut:

Pendapat Pertama: Matlamat perbankan Islam adalah untuk ummah.

   Hujahnya, perbankan Islam tidak berasaskan riba’, tidak mempunyai unsur ‘gharar’  dan tidak membiayai aktiviti haram seperti judi, arak dan lain-lain. Kesemua hal tersebut boleh menyebabkan kehancuran ummah. Maka, perbankan Islam dikira membantu ummah.

Pendapat Kedua: Matlamat perbankan Islam adalah untuk keuntungan semata-mata.

   Hujahnya, perbankan Islam hanya bertanggungjawab terhadap pemegang saham. Juga perbankan Islam perlu terus mendapatkan keuntungan bagi melangsungkan hidupnya. Jika keuntungan semakin berkurangan dikhuatiri pemegang saham akan mengeluarkan modal mereka dan melabur ke dalam syarikat lain yang lebih menguntungkan. Ini jelas menunjukkan persaingan di antara sebuah bank Islam dengan bank Islam yang lain dan persaingan di antara sebuah bank Islam  dengan bank Konvensional.

   Setelah penulis (Muhammad Hafiz) menerangkan secara panjang lebar, beliau membuat kesimpulan: “Namun pada hakikatnya, untung menjadi matlamat utama bank Islam, manakala matlamat (maqasid) syariah, Islam, dan patuh-syariah hanyalah alat pemasaran yang baharu dan popular.”

   Daripada ucapan tersebut dapat kita fahami bahawa matlamat utama perbankan Islam adalah semata-mata meraih keuntungan. Dan label “Islam” pada perbankan Islam hanyalah sebuah strategi pemasaran. Saya fikir mungkin yang dimaksudkan oleh penulis adalah merujuk kepada bank-bank yang mempunyai 2 sistem sekaligus: perbankan konvensional dan perbankan Islam.

    Walau bagaimanapun, saya berpendapat sebenarnya sebuah bank Islam mampu menjadikan ummah dan untung sebagai dua matlamat utama mereka. Ini kerana hakikatnya kini mereka (perbankan Islam) mampu melaksanakan kedua-duanya dengan baik yakni menjalankan urusniaga tanpa berasaskan riba’, tanpa ada unsur ‘gharar’, tanpa membiayai aktiviti haram, memberi tajaan kepada aktiviti atau program keislaman dan menunaikan zakat di samping meraih keuntungan dan bersaing dalam pasaran ekonomi.

Wallahu a’lam bis shawab.



1 comment:

  1. As Salam, i am currently conducting a survey about mosque in Malaysia for my master thesis. it would be a big help if u could help me to answer the survey. Thanks in advance.
    https://docs.google.com/spreadsheet/viewform?formkey=dGhMa19JeDlpZ04xajZTVnROYVl2cWc6MQ#gid=0

    ReplyDelete