Friday, February 18, 2011

Simpan Wang & Urus Perbelanjaan

   Allah s.w.t. yang Maha Pemurah telah memberikan kepada kita kudrat yang elok agar kita dapat menggunakannya untuk mencari rezeki. Rezeki merupakan suatu material yang akan membantu kita untuk terus melangsungkan kehidupan. Lantaran itu, manusia mesti bersyukur kepada pemberi nikmat atau rezeki tersebut.

   Rezeki Allah s.w.t. sangat meluas. Agak terkejut sekiranya ada sebahagian manusia yang mengatakan dia “tidak ada wang”. Wang boleh dicari jika kita rajin mencarinya! Dan wang akan habis jika kita asyik mencedok ke dalam simpanan dan menggunakannya. Tanpa pengurusan kewangan yang betul, anda tidak mampu menjadi anak yang baik, saudara yang baik, bapa atau ibu yang baik, suami atau isteri yang baik,  kawan yang baik, pengurus atau pengarah syarikat yang baik hatta perdana menteri yang baik.

   Perkara yang paling penting untuk mengelakkan anda “tiada wang” adalah dengan menyimpan wang. Apabila anda menyimpan wang, hati anda akan menjadi tenang, fikiran anda tidak akan terganggu dan anda akan melalui detik-detik yang paling bahagia. Ramai orang tertanya-tanya bagaimana seorang peniaga kecil-kecilan sahaja tiba-tiba kini memiliki syarikat yang sangat besar? Tidak lain tidak bukan kerana mereka telah melakukan langkah pertama untuk menjadi orang kaya seterusnya mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik dan sempurna iaitu menyimpan wang.



   Saya masih ingat ketika masih kecil ibu telah mendidik saya agar rajin menyimpan wang. Sampai sekarang, saya masih lagi menyimpan wang. Dan saya tahu sikap saya ini merupakan sikap orang kaya dan para jutawan- walaupun saya belum menjadi orang  kaya dan bergelar jutawan. Dalam menyimpan wang, kita mesti tumpukan kepada matlamat kita dengan sepenuh perhatian dan penuh kekuatan.

   Kekuatan dan kesabaran memang sangat diperlukan bagi menyimpan wang. Tanpa keduanya, hati akan gundah-gelana dek kerana ujian yang berlaku di sekeliling anda setiap masa. Kebanyakan kita sangat suka membelanjakan wang demi memenuhi setiap impian dan kehendak kita. Dan mereka akan menyesal setelah itu apabila menimpa kepada mereka kondisi “tiada wang”.

   Apabila anda membuka televisyen, mata anda akan dipanahi oleh pelbagai iklan produk-produk yang mengasyikkan. Begitu juga dengan iklan yang anda terima daripada helaian yang telah dilempar ke kediaman anda, iklan di tiang lampu jalan, iklan di internet dan lain-lain. Semuanya iklan. Semuanya memujuk anda supaya memuaskan nafsu serakah yang penuh dengan kehendak keterlaluan dan melampau supaya berbelanja melebihi yang sepatutnya.

   Kita perlu bijak melawan arus godaan yang setiap hari membelenggu diri. Lantaran itu, kita semua mesti belajar cara-cara untuk mengurus perbelanjaan dengan lebih baik sekaligus mengumpul lebih banyak wang.  

   Berdasarkan pengalaman dan pengamalan saya dalam kehidupan seharian, saya lebih suka mengawal perbelanjaan diri dengan teknik berfikir dan membuat bayangan. Begini, setiap kali nafsu saya ingin membeli sesuatu, saya akan berfikir dahulu apa akan jadi jika saya membeli barang atau produk tersebut. Adakah saya akan miskin satu jam setelah saya membeli produk itu? Adakah saya akan miskin pada keesokan hari setelah membeli produk itu? Adakah saya akan mati jika tidak membeli produk itu? Persoalan-persoalan sebegini memang banyak membantu saya bagi mengawal perbelanjaan dalam kehidupan seharian. Selain itu, saya juga tak sanggup untuk membayangkan suatu tragedi yang sangat duka lagi nestapa apabila melihat wang RM5 atau RM10 atau RM50 jalan terkedek-kedek di atas tempat pembayaran menuju ke tangan juruwang. Inilah cara saya bagi mengawal perbelanjaan supaya hanya membeli sesuatu yang menjadi keperluan penting dan mengehadkan kehendak yang keterlaluan.

   Di dalam buku The Richest Man in Babylon, pengarangnya (George S. Clason) ada menyarankan supaya menulis dahulu perbelanjaan yang ingin dilakukan. Cara ini boleh membantu diri kita supaya mudah mengetahui apa yang mesti kita beli dan apa yang kita tidak perlu beli.  

   Intihanya, jika anda betul-betul mahu menjadi orang yang kaya dan bergelar jutawan maka anda perlu bermula dengan langkah pertama sebagaimana kehidupan orang yang kaya dan bergelar jutawan, iaitu menyimpan wang dengan bijaksana dan mampu mengawal perbelanjaan dalam kehidupan seharian anda. Apabila anda menjadi orang yang kaya dan bergelar jutawan, maka anda dapat menjadi insan yang mulia di sisi Allah dan makhluk-Nya.



2 comments:

  1. Salam hormat. Ini bermakna kita perlu memikirkan "Cause & Effect" setiap perbelanjaan yang akan kita lakukan. Betul tak ?

    Pokoknya...belajar kawal nafsu.

    Terima kasih saudara Lutfi Latif kerana perkongsian info yang bermanfaat ini.

    ReplyDelete
  2. Salam hormat. Ya, betul tu saudara.

    Sama-sama. :)

    ReplyDelete